Lebih ramai imam muda kini pimpin tarawih di masjid

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lebih ramai imam muda kini pimpin tarawih di masjid

Sebahagian langkah pupuk generasi imam masa depan, tarik minat belia ke masjid
Mar 6, 2026 | 5:05 PM

Lebih ramai imam muda kini pimpin tarawih di masjid

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Masjid Al-Iman, pegawai dakwah, imam muda
Masjid Al-Amin melancarkan usaha yang dipanggil ‘Akademi Imam/Bilal’, berlangsung dari November 2025 hingga April 2026 yang bertujuan memupuk generasi baru imam dan bilal di masjid itu. Pegawai Dakwah Masjid Al-Amin, Ustaz Abdul Rashid Suhaimi, 30 tahun (dalam gambar), berkata kursus selama enam bulan itu mendapat sokongan beberapa masjid di kawasan selatan Singapura. - Foto MASJID AL-AMIN

Lebih banyak masjid di Singapura telah melantik imam muda untuk memimpin solat tarawih sempena Ramadan ini.

Berdasarkan tinjauan Berita Harian (BH) melibatkan 20 masjid, sehingga 14 masjid atau 70 peratus daripada kumpulan masjid yang dipilih secara rambang ini, melantik imam dalam lingkungan usia 20-an tahun untuk memimpin solat tarawih.

Biasanya, imam-imam baru ini perlu menjalani kursus atau bengkel yang disediakan oleh masjid sebelum dibolehkan memimpin solat tarawih.

Bercakap kepada BH, jurucakap beberapa masjid berkata langkah menampilkan imam muda adalah antara strategi bagi membentuk generasi baharu imam masjid demi masa depan.

Malah, ia juga dapat memupuk nilai kepimpinan dalam diri para belia, kata mereka.

Antara masjid yang dihubungi ialah Masjid Al-Amin di Telok Blangah yang melancarkan inisiatif ‘Akademi Imam/Bilal’ dari November 2025 hingga April 2026.

Akademi tersebut, antara lain, bertujuan memupuk generasi baharu imam dan bilal di masjid sekitar daerah selatan Singapura.

Kursus yang dijalankan selama enam bulan itu mendapat sokongan beberapa masjid di kawasan selatan Singapura seperti Masjid Abdul Ghafoor di Dunlop Street; Masjid Omar Kampung Melaka berhampiran Havelock Road; dan Masjid Haji Muhammad Salleh di Palmer Road; yang menyediakan tenaga pengajar untuk melatih peserta kursus.

Peserta juga diberikan kesempatan menjalani latihan amali sebagai imam atau bilal di masjid-masjid tersebut sebelum diberi kepercayaan memimpin solat tarawih semasa Ramadan.

Pegawai Dakwah Masjid Al-Amin, Ustaz Abdul Rashid Suhaimi, 30 tahun, berkata ia sebahagian penilaian untuk memastikan peserta menepati mutu sebagai imam atau bilal.

Ustaz Abdul Rashid Suhaimi berkongsi ‘Akademi Imam/Bilal’ ini melatih imam muda tentang tajwid, fiqah solat dan juga persediaan memberi perkhidmatan seperti tahlil dan doa selamat.
Ustaz Abdul Rashid Suhaimi berkongsi ‘Akademi Imam/Bilal’ ini melatih imam muda tentang tajwid, fiqah solat dan juga persediaan memberi perkhidmatan seperti tahlil dan doa selamat. - Foto BH oleh KHALID BABA

“Kita melatih para imam muda tentang tajwid, fiqah solat dan juga persediaan memberi perkhidmatan seperti tahlil dan doa selamat. Ada yang sudah menunjukkan prestasi yang baik dan berkebolehan untuk memimpin solat.

“Jadi dalam kalangan segelintir yang sudah bersedia ini, kita mula lantik mereka untuk menjadi imam dan bilal pada Ramadan ini,” ujar beliau.

Satu lagi masjid, Masjid Al-Ansar di Chai Chee, juga menganjurkan bengkel melatih imam/bilal edisi solat tarawih pada Januari lalu khusus bagi belia berumur 15 hingga 25 tahun.

Masjid Al-Ansar turut menganjurkan bengkel melatih imam/bilal edisi solat tarawih pada Januari 2026, khusus bagi belia berumur 15 hingga 25 tahun. Pihak masjid menjemput qari tempatan, Ustaz Ahmad Fathi Al-Quwais Mazlan (dalam gambar), sebagai tenaga pengajar jemputan.
Masjid Al-Ansar turut menganjurkan bengkel melatih imam/bilal edisi solat tarawih pada Januari 2026, khusus bagi belia berumur 15 hingga 25 tahun. Pihak masjid menjemput qari tempatan, Ustaz Ahmad Fathi Al-Quwais Mazlan (dalam gambar), sebagai tenaga pengajar jemputan. - Foto MASJID AL-ANSAR

Kursus tersebut diiringi kelas susulan setiap minggu untuk melatih alunan bacaan peserta.

Menurut Pegawai Pembangunan Belia masjid tersebut, Ustaz Noor Firdaus Zainal, 24 tahun, bengkel itu diadakan demi meningkatkan keyakinan dan pengetahuan belia dalam memimpin solat tarawih.

Katanya: “Kami ingin golongan belia ini membiasakan diri dengan memimpin tarawih bersama keluarga mereka di rumah terlebih dahulu. Sebagai anak lelaki, menjadi imam itu cerminan dan latihan buat mereka sebagai ketua atau pemimpin di rumah.

“Namun, kesan jangka panjang yang kita harapkan juga adalah agar para belia ini dapat menyumbang semula kepada masjid sebagai imam,” jelas Ustaz Noor Firdaus.

‘Pikat’ belia ke masjid

Di Masjid Yusof Ishak pula, kumpulan sayap belia menjadi ruang penting bagi pihak masjid mengenal pasti belia yang mempunyai keupayaan dan potensi menjadi imam.

Justeru, selepas tempoh Covid-19 pada 2021, Masjid Yusof Ishak mempergiat usaha membangkitkan semula semangat anak muda untuk ke masjid.

Menurut Pegawai Dakwah masjid tersebut, Ustaz Muhammad Idris Rifaie, 33 tahun, antara cara memastikan anak muda terpaut pada masjid adalah dengan memberi mereka tanggungjawab menjadi bilal atau imam di masjid.

Berdasarkan pengalaman beliau bekerja di masjid dalam peranan itu sejak lima tahun lalu, Ustaz Idris berkata sebahagian imam yang dilantik akan mula mengajar belia lain daripada kumpulan sayap belia itu.

Pegawai Dakwah Masjid Yusof Ishak, Ustaz Muhammad Idris Rifaie, 33 tahun, berkata antara cara memastikan anak muda terpaut pada masjid adalah dengan memberi mereka tanggungjawab untuk menjadi bilal atau imam di masjid.
Pegawai Dakwah Masjid Yusof Ishak, Ustaz Muhammad Idris Rifaie, 33 tahun, berkata antara cara memastikan anak muda terpaut pada masjid adalah dengan memberi mereka tanggungjawab untuk menjadi bilal atau imam di masjid. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

“Dengan melantik belia sebagai imam atau bilal, ini akan membuat mereka sentiasa ke masjid dan sedikit sebanyak membantu mereka mempertingkatkan ilmu dan kerohanian mereka.

“Mereka juga berpeluang memperhalusi bacaan Al-Quran serta mendalami hukum fiqah solat sesama sendiri,” kata Ustaz Idris, sambil menambah hal demikian dapat mengukuhkan lagi kebolehan mereka dalam memimpin solat.

Beliau turut berkongsi:

“Di Masjid Yusof Ishak, adakala kita nampak belia yang fasih dan berpotensi menjadi imam. Jadi dari situ, kita lantik belia ini menjadi seorang bilal terlebih dahulu, kemudian sebagai imam.

“Pihak masjid akan galakkan dan hantar belia seperti ini ke kursus imam/bilal di masjid lain untuk memantapkan ilmu mereka,” tambah beliau.

Usaha proaktif menarik minat belia supaya ke masjid telah meraih hasil bagi beberapa masjid.

Di Masjid Al-Iman, golongan imam dan bilal muda yang ditugaskan di masjid tersebut mencakupi sekitar 40 peratus daripada keseluruhan imam dan bilal yang bertugas.

Ketua Penglibatan dan Jangkauan Masyarakat di Masjid Al-Iman, Ustaz Khaider Rohani, 40 tahun, berkata lebih ramai belia kini kian berani ke depan dalam memimpin solat.

Perkara ini membawa kesan yang baik dalam mempengaruhi kebaikan buat golongan sebaya, ujar beliau.

Ustaz Khaider Rohani, 40 tahun, yang bertugas sebagai Ketua Penglibatan dan Jangkauan Masyarakat di Masjid Al-Iman, berkata lebih ramai belia kini kian berani ke depan dalam memimpin solat. Malah, golongan anak muda mencakupi sekitar 40 peratus daripada keseluruhan imam dan bilal yang bertugas di Masjid Al-Iman.
Ustaz Khaider Rohani, 40 tahun, yang bertugas sebagai Ketua Penglibatan dan Jangkauan Masyarakat di Masjid Al-Iman, berkata lebih ramai belia kini kian berani ke depan dalam memimpin solat. Malah, golongan anak muda mencakupi sekitar 40 peratus daripada keseluruhan imam dan bilal yang bertugas di Masjid Al-Iman. - Foto BH oleh KHALID BABA

“Apabila kita ketengahkan imam muda untuk memimpin solat, golongan sebaya mereka akan lihat dan terdorong untuk buat perkara yang sama.

“Jadi ini mencetuskan semacam ripple effect atau kesan berulang... dengan lebih ramai anak muda ingin tampil.

“Malah baru-baru ini, saya dihampiri dua anak muda yang menyatakan hasrat dan minat mereka untuk menjadi imam dan bilal di masjid,” ujar beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg