Dulu pernah ‘ditegur’, kini bacaan Al-Quran yang lunak tambat hati jemaah
Dulu pernah ‘ditegur’, kini bacaan Al-Quran yang lunak tambat hati jemaah
Walaupun pernah menerima maklum balas yang mempertikaikan kelayakannya untuk memimpin solat, hal itu tidak pernah mematahkan semangat Encik Hadi Irfan Basri untuk terus berbakti kepada masjid sebagai imam muda.
Pemuda berusia 20 tahun itu merupakan seorang imam muda yang memimpin solat tarawih di beberapa masjid di Singapura seperti Masjid Yusof Ishak, Masjid An-Nur dan Masjid Al-Muttaqin pada Ramadan 2026 ini.
Bermula dengan menjadi bilal di Masjid Yusof Ishak pada usia seawal 14 tahun, beliau kemudian diberi kepercayaan untuk memimpin solat sebagai imam pada tahun berikutnya.
Sebagai seorang imam muda, beliau berdepan dengan kesangsian jemaah akan kebolehannya mengimamkan solat.
Pelajar tahun akhir jurusan kejururawatan di Politeknik Ngee Ann (NP) itu berkongsi:
“Apabila saya memimpin solat berjemaah, saya biasa mendapat maklum balas daripada mereka.
“Malah, pada peringkat awal saya menjadi imam, salah seorang jemaah pernah menghampiri saya dan bertanya ‘Awak ni layak ke jadi imam?’,” jelas Encik Hadi.
Meski rasa terkilan dengan ungkapan sedemikian, beliau tetap cekalkan semangat untuk terus menjadi imam atas dorongan para asatizah dan gurunya.
“Tenaga pengajar di Masjid Yusof Ishak terus mendorong dan memberikan saya semangat.
“Apabila saya menerima maklum balas sebegitu, saya cuba berbalik kepada niat saya iaitu untuk buat kerana Allah,” ujar beliau.
Menjadi seorang imam di masjid tidak lepas daripada berdepan dengan pelbagai ragam jemaah.
Namun, bagi Encik Hadi, beliau harus mengurus jangkaan jemaah dan mengambil jalan tengah agar mereka senang dengan pengalaman solat mereka di masjid.
“Susah untuk menepati jangkaan dan puaskan hati semua jemaah. Malah, ada yang minta macam-macam seperti suruh baca surah tertentu dan suruh pakai serban.
“Walaupun begitu, saya cuba sedaya upaya untuk melakukan yang terbaik demi memenuhi keperluan jemaah agar dapat menambat hati mereka,” tambah beliau.
Kini, setelah beberapa tahun berkhidmat sebagai imam muda, Encik Hadi berkata para jemaah kini lebih terbuka dan berlapang dada dengan dirinya sebagai imam.
Hal itu juga berpucuk daripada usahanya bergaul dan berinteraksi dengan jemaah secara lebih rapat.
Perjalanan Encik Hadi menjadi seorang imam dan bilal itu bermula secara kebetulan.
Pada ketika itu, beliau sedang menyertai pimpinan bacaan maulid di Masjid Yusof Ishak.
Secara tidak disangka, beliau kemudian diminta melaungkan azan tatkala sudah masuk waktu isyak.
Sejak itu, bakatnya melaungkan azan dikesan, lalu beliau ditugaskan menjadi bilal waktu solat secara sambilan.
Pada 2021, apabila berusia 15 tahun, beliau diberi kepercayaan menjadi imam bagi solat fardu di masjid.
Alunan bacaan yang sayup dengan sebutan jelas dalam solat tarawih mencerminkan kefasihan Encik Hadi dalam bacaan Al-Quran dan kebolehannya sebagai imam.
Kebolehan itu merupakan berkat usahanya yang telah mendalami pengajian bacaan Al-Quran sejak usia kecil lagi.
Beliau telah menyertai kelas kendalian iTarannum @ Softa yang terletak di Woodlands sejak berusia 11 tahun lagi demi memperhalusi bacaan Al-Quran.
Dengan bakat bacaan Al-Quran yang baik lagi merdu, Encik Hadi juga merupakan finalis dan meraih tempat kelima bagi Majlis Tilawah, Tahfiz & Tadabbur Al-Quran (MTTTQ) 2025.
Walaupun mempunyai kebolehan membaca Al-Quran dengan baik, beliau tetap terus mencari ruang dan wadah mempertingkat ilmunya.
Malah, setiap kali sebelum melaksanakan tanggungjawab mengimamkan solat, beliau akan ulang kaji dan menderas bacaannya terlebih dahulu demi memastikan tiada kesilapan ketika membaca dalam solat.
“Saya dengan sendirinya juga akan usaha mencari kelas tentang fiqh solat, khususnya untuk memantapkan lagi ilmu sebagai imam.
“Sebagai imam, kita akan berdepan dengan pelbagai situasi ketika solat. Jadi, kita harus bersedia dan tahu apa yang patut dilakukan ketika berdepan dengan situasi tersebut.
“Pihak masjid juga telah banyak menyokong imam muda seperti saya. Mereka adakalanya akan menghantar kami untuk menghadiri kursus imam/bilal di beberapa masjid lain di Singapura,” jelas beliau.

