Masjid Ar-Raudhah telah mengadakan majlis penyampaian watikah kepada anggota lembaga masjid yang baru, antaranya merupakan golongan muda daripada bidang korporat, kejuruteraan dan asatizah.
Majlis itu berlangsung pada 1 Jun di Dewan Yam Ar-Raudhah.
Ia dihadiri oleh pegawai masjid, sukarelawan dan pihak berkepentingan.
Dalam majlis tersebut, sesi kenal suai untuk tetamu turut diadakan.
Bagi penggal yang baru, Encik Hendra Wahyuni, 25 tahun, salah seorang anggota muda yang dilantik memulakan khidmatnya sebagai sukarelawan belia di masjid itu.
Lulusan politeknik tempatan, Encik Hendra dilantik menjadi anggota lembaga Masjid Ar-Raudhah yang termuda.
Menurut Encik Hendra, minatnya menjadi sukarelawan bermula ketika beliau masih belajar di sekolah menengah.
“Sebulan menjadi setahun dan seterusnya tanpa saya sedari sudah 10 tahun.
“Kini, saya merupakan ahli pengurusan masjid,” ujar Encik Hendra yang bekerja sambilan sebagai pekerja penghantaran.
“Sebelum menjadi sebahagian daripada Lembaga Pengurusan Masjid, saya menghadiri program Inkubator Kepimpinan Pemuda Daerah Barat yang diadakan dalam tiga sesi.
“Dengan bantuan dan bimbingan daripada profesional dan pemimpin masjid berpengalaman, sesi ini merangkumi beberapa program seperti ‘fireside chat’, atau perbincangan secara santai, bekerja dalam kumpulan, dan kami diberi peluang membincangkan dan memaparkan perspektif kami terhadap suasana dan keadaan masjid secara amnya,” jelasnya tentang pengalaman berharga menghadiri program belia itu.
Tentang pelantikannya, beliau berkata:
“Sekiranya 10 yang lalu, saya diberitahu bahawa saya akan menjadi sebahagian daripada pengurusan masjid dalam tahun-tahun mendatang, saya akan tertawa. Alhamdulillah, kini berbeza, dan saya bersyukur dengan pemberian watikah dan peluang ini.”
Masjid Ar-Raudhah berharap sumbangan golongan muda dapat memberi kesan positif kepada masyarakat dan memakmurkan masjid dengan cemerlang.
“Penghargaan tertinggi untuk ahli-ahli yang telah lama berkhidmat lebih tiga penggal atau 10 tahun seperti Cikgu Mostakim Mahmood dan Encik Khosni Rahmat.
“Mereka masih kami lantik sebagai Ketua Kanan Masjid untuk dapat terus berkhidmat kepada Masjid Ar-Raudhah melalui pengalaman mereka yang sangat luas,” ujar Pengerusi Eksekutif Masjid Ar-Raudhah, Ustaz Mohamed Ali Atan.
Beliau mengucapkan syabas dan terima kasih kepada ahli-ahli Lembaga Pentadbir Masjid yang baru bagi penggal 2024-2027.
Penghargaan turut diberikan kepada ahli-ahli yang lalu untuk penggal 2021-2024 yang telah memberi sumbangan sangat berharga apatah lagi semasa mengharungi pandemik Covid-19.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg