Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Masjid masih perlukan $2.4 juta bagi projek naik taraf

Masjid Darul Makmur perlu sokongan ramai sebelum dibuka dalam beberapa bulan lagi
Jan 10, 2025 | 5:30 AM
Lembaga Pentadbir dan warga kerja masjid (pada tahun 2017) pada acara pertama sempena acara Jamuan Amal untuk Dana Peningkatan Masjid Darul Makmur. Beberapa inisiatif pengumpulan dana bermula selepas acara ini, pada 2017.
Lembaga Pentadbir dan warga kerja masjid (pada tahun 2017) pada acara pertama sempena acara Jamuan Amal untuk Dana Peningkatan Masjid Darul Makmur. Beberapa inisiatif pengumpulan dana bermula selepas acara ini, pada 2017. - Foto MASJID DARUL MAKMUR

Masjid Darul Makmur genap berusia 38 pada tahun 2025 ini. Meskipun ia sedang ditutup untuk menjalani projek peningkatan, seperti biasa, banyak perubahan dan peningkatan perlu dilaksanakan agar terus kekal relevan dan sesuai dengan keperluan dan kehendak jemaah pada masa ini.

Sebelum penutupan masjid pada bulan Mei 2023 lalu, jemaah Masjid Darul Makmur melimpah sehingga ramai yang menunaikan solat Jumaat di kawasan terbuka masjid serta di kolong blok kejiranan sewaktu solat Jumaat dan Hari Raya.

Menyingkap kembali perjalanan masjid ini yang terletak di Yishun Avenue 2, Pengerusi Eksekutif Masjid Darul Makmur, Encik Izuan Mohd Rais, berkata perancangan untuk pembinaan masjid di Yishun ini diinginkan sejak tahun 1980-an lagi.

“Pelan mendirikan sebuah masjid dicetus oleh sukarelawan dan pemimpin masyarakat di kejiranan Yishun pada tahun 1984. Sokongan yang diberikan oleh masyarakat di kawasan estet perumahan kejiranan yang baru ketika itu amat menggalakkan sekali,” jelas Encik Izuan.

Masjid Darul Makmur telah dibuka secara rasmi pada bulan Julai 1987.

Demi meneruskan legasi pemimpin terdahulu, ahli Lembaga Pentadbir Masjid Darul Makmur bagi penggal ke-15 bersama warga kerja masjid sepenuh masa, kini giat mengumpulkan dana bagi menampung kos untuk peningkatan masjid.

Antara tumpuan utama sewaktu proses peningkatan yang sedang berjalan adalah menyediakan sebuah lif bagi memudahkan jemaah bergerak dari aras 1 ke aras 3. Buat masa ini, masjid yang dikenali dengan cogan kata ‘Masjid Tanpa Sempadan’ itu tidak mempunyai lif dan jemaah yang hadir dari aras 1 perlu menaiki tangga jika hendak ke aras 3.

“Dengan adanya lif ini, ia akan dapat memudahkan lagi khususnya golongan Muslimah di mana dewan solat mereka berada di aras 3. Kami amat prihatin mengenai keselesaan jemaah terutama sekali golongan warga emas yang termengah-mengah perlu menaiki tangga hingga ke aras 3,” ujar Encik Izuan.

Beliau turut memberitahu Berita Harian (BH) bahawa pengumpulan dana peningkatan telah bermula sejak sambutan ulang tahun masjid yang ke-30 pada tahun 2017.

Pada waktu itu, pelbagai kegiatan pengumpulan dana telah dimulakan demi memastikan kewangan masjid mantap bagi menjalani proses peningkatan apabila tiba masanya nanti. Antara usaha pertama pengumpulan dana untuk projek peningkatan ialah sempena sambutan ulang tahun masjid ke-30 pada bulan Julai 2017.

Satu acara jamuan amal diadakan di Orchid Country Club yang dihadiri lebih daripada 800 penderma yang mendapatkan tiket untuk acara tersebut. Menerusi acara jamuan makan malam amal ini, sebanyak $80,000 dapat dikumpul.

Namun, usaha pengumpulan dana menerusi program dan kegiatan yang dirancangkan tidak dapat dilaksanakan secara sepenuhnya akibat penutupan masjid pada bulan Mei dua tahun lalu (2023) dengan bermulanya projek peningkatan.

Ini turut menjejas tabung harian Masjid Darul Makmur kerana jumlah kehadiran jemaah terhad pada hari Jumaat sahaja sewaktu diadakan solat Jumaat di tempat sementara.

“Dengan keadaan ini, kami mula mencari dana melalui media sosial dan juga sumbangan derma khas yang kami usahakan.

“Kami amat berharap sokongan dan sumbangan daripada penderma agar projek peningkatan ini dapat dijalankan dengan sebaiknya memandangkan kami masih mempunyai beberapa bulan sahaja dengan terus mengumpulkan dana dan mencapai jumlah yang masih dicari,” kata Encik Izuan.

Penderma boleh memberi sumbangan kepada Projek Peningkatan Masjid Darul Makmur dengan sumbangan kepada Dana Wakaf yang diperlukan ataupun sumbangan Infak Khas yang sedang dijalankan pihak masjid.

Terdapat 15 masjid yang juga turut membantu dengan memberikan izin kepada Darul Makmur meletakkan tabung dana peningkatan di pekarangan masjid tersebut. Pihak masjid juga mengadakan pungutan dari rumah oleh asatizah masjid, bagi memudahkan penderma yang mempunyai halangan untuk berkunjung ke pejabat masjid.

Sehingga kini, pihak Masjid Darul Makmur telah berjaya mengumpul lebih daripada $12.5 juta untuk menampung kos peningkatan yang menelan sekitar $15 juta.

Kini, Masjid Darul Makmur masih memerlukan $2.4 juta untuk projek peningkatan yang sedang berjalan yang dianggarkan selesai pada lewat suku kedua tahun 2025 ini.

Sumbangan derma untuk Projek Peningkatan Masjid Darul Makmur juga boleh dilakukan melalui:

1. PayNow ke UEN: S87MQ0033J (Rujukan: Wakaf).

2. Pemindahan wang ke dalam akaun semasa OCBC 581-652138001 (Rujukan: Wakaf).

3. Cek atas nama ‘MASJID DARUL MAKMUR’ dan dihantar melalui pos ke alamat 950 Yishun Avenue 2, Singapura 769099.’

4. Untuk pertanyaan atau pengambilan derma $500 ke atas dari rumah, sila hubungi pejabat masjid di talian 6752-1402.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg