Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Peningkatan masjid utamakan tambah ruang solat

Masjid Darul Makmur masih perlukan $2.9j bagi projek naik taraf
Nov 29, 2024 | 5:30 AM
Pegawai sepenuh masa di Masjid Darul Makmur menjalani latihan kecemasan agar dapat memberikan tindak balas awal jika berlaku sebarang kecemasan di persekitaran masjid. Latihan diadakan pada awal November 2024.
Pegawai sepenuh masa di Masjid Darul Makmur menjalani latihan kecemasan agar dapat memberikan tindak balas awal jika berlaku sebarang kecemasan di persekitaran masjid. Latihan diadakan pada awal November 2024. - Foto MASJID DARUL MAKMUR

Laungan azan yang memecah kesunyian pada waktu subuh sudah menjadi perkara biasa bagi mereka yang beriadah awal pagi di kawasan Yishun Park.

Malah, setelah selesai bersenam, ada yang menggunakan alat pendingin air, atau water-cooler, yang disediakan di pintu kawasan masuk Masjid Darul Makmur untuk diminum atau mengisi botol air mereka setelah selesai bersenam.

Ini adalah antara ciri mesra masyarakat yang disediakan Masjid Darul Makmur – yang sedang mengumpulkan dana bagi kerja peningkatan – demi menabur ihsan kepada semua.

Kerja peningkatan itu dijangka siap pada pertengahan 2025. Warga kerja masjid mengharapkan sokongan dan sumbangan derma daripada masyarakat agar semua proses berjalan lancar apabila ia bermula kelak.

Pengerusi Eksekutif Masjid Darul Makmur, Encik Izuan Mohd Rais, berkata masjid masih memerlukan sokongan ramai bagi kerja peningkatan itu. Beliau turut berkata, Masjid Darul Makmur masih memerlukan $2.9 juta untuk kerja peningkatan ini.

“Kami masih mencari dana untuk projek peningkatan. Kami telah menerima sokongan yang menggalakkan daripada masyarakat dan usaha pengumpulan dana yang sedang dijalankan perlu terus dipertingkatkan agar jumlah dana yang kami sasarkan dapat dicapai,” katanya.

Masjid Darul Makmur, yang sudah berdiri selama 37 tahun, perlukan kerja peningkatan berskala besar agar ia dapat memberi keselesaan kepada jemaah yang semakin bertambah.

Apatah lagi kini banyak flat Bina Ikut Tempahan (BTO) baru telah siap dan sedang dibangunkan di kawasan kejiranan Yishun, Canberra dan kawasan baru Chencharu yang bakal dibina.

Buat masa ini, masjid dapat menampung sekitar 3,000 anggota jemaah pada satu-satu waktu dan merancang menambah ruang solat bagi lebih 4,600 anggota jemaah.

Kini terdapat juga 1,000 pelajar madrasah aLIVE yang mengikuti program madrasah mingguan.

Tumpuan utama peningkatan adalah untuk memastikan ruang masjid kondusif, kelas pengajian selesa dan ruang mudah digunakan oleh warga emas.

Buat masa ini, ruang solat dan kelas pengajian madrasah terhad.

Masjid juga menjalankan kelas prasekolah sepenuh masa untuk kanak-kanak berusia empat tahun hingga enam tahun.

Pendaftaran bagi kelas prasekolah bagi 2025 masih berjalan.

Encik Izuan berkata antara peralatan yang perlu diperbaiki oleh pihak masjid ialah sistem pandang dengar. Ia amat penting terutama pada waktu solat, kuliah agama dan kegiatan lain.

“Penggunaan alat audio seperti pembesar suara, mikrofon dan skrin monitor setiap hari sepanjang tahun mengakibatkan kerosakan teknikal yang tidak dapat dielakkan.

“Isu-isu teknikal berkaitan wayar, dan pembesar suara yang tidak jelas semasa kuliah sering berlaku, menyebabkan jemaah tidak dapat menghayati apa yang disampaikan asatizah, dan menjejas tumpuan jemaah kerana bacaan imam tidak jelas.

“Audio perlu diganti dengan sistem yang lebih canggih dan bermutu supaya jemaah dapat menghayati dan fokus pada majlis yang berjalan,” jelasnya.

Menjelaskan tentang kegiatan masjid, Encik Izuan berkata pegawai sepenuh masa masjid telah menjalani latihan bantuan kecemasan pernafasan, atau CPR, dan cara menggunakan AED (Defibrilator Luaran Automatik) pada awal November 2024.

“Kami ingin memastikan semua pegawai masjid dilatih agar dapat memberi respons awal dan membantu jemaah sekiranya berlaku sebarang kecemasan di persekitaran masjid.

“Pihak masjid juga menubuhkan Pasukan Respons Kecemasan, atau CERT Team, dalam kalangan ahli jawatankuasa masjid dan pegawai sepenuh masa agar dapat menangani sebarang kejadian atau kecemasan secara serta-merta dan cekap,” jelasnya.

Encik Izuan berkata Masjid Darul Makmur mengalu-alukan sumbangan derma dan wakaf oleh masyarakat bagi menampung kos projek peningkatan yang masih memerlukan $2.9 juta lagi.

“Kami mendoakan agar semua penderma diberikan kesihatan dan dimurahkan rezeki mereka sekeluarga,” ujarnya.

Sumbangan derma untuk Projek Peningkatan Masjid Darul Makmur boleh dilakukan melalui:

1. PayNow ke UEN: S87MQ0033J (Ruang Rujukan: Wakaf).

2. Pemindahan bank ke dalam akaun semasa OCBC 581-652138001 (Ruang Rujukan: Wakaf).

3. Cek atas nama ‘MASJID DARUL MAKMUR’ dan dihantar melalui pos ke alamat 950 Yishun Avenue 2, Singapura 769099.

4. Hadir di pejabat sementara Masjid Darul Makmur, (bertempat di Masjid Assyafaah) di alamat 1 Admiralty Lane, Singapura 757620. Dari Isnin hingga Jumaat, 10 pagi hingga 4 petang.

5. Hubungi talian 6752-1402 pada waktu pejabat untuk pengambilan derma dari rumah dan pertanyaan lain.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg