Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Masjid, pertubuhan giat tingkat usaha jadikan Ramadan lebih terangkum

Penambahan kemudahan di masjid, guna khidmat bahasa isyarat dalam kelas agama dilaksana
Mar 17, 2025 | 5:30 AM
Masjid Al-Islah di Punggol, menawarkan tafsiran bahasa isyarat bagi kelas agama Ramadan seperti ‘Fiqh Ramadan for the Deaf’.
Masjid Al-Islah di Punggol, menawarkan tafsiran bahasa isyarat bagi kelas agama Ramadan seperti ‘Fiqh Ramadan for the Deaf’. - Foto BH oleh MOHD RIEFQAN IMAN

Pelbagai daya usaha diperkenal bagi memastikan ibadah Ramadan lebih bersifat terangkum, membolehkan setiap individu berpeluang menyertai kegiatan keagamaan dengan selesa. Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), masjid, dan pertubuhan berkongsi dengan Berita Harian (BH) mengenai usaha mereka dalam memenuhi keperluan golongan yang mempunyai cabaran fizikal, pendengaran, penglihatan dan keperluan pembelajaran khas.

Lebih banyak masjid dan pertubuhan di Singapura giat memperluas usaha mereka untuk menjadikan ibadah puasa, solat dan program keagamaan lebih bersifat terangkum bagi setiap lapisan masyarakat Islam, termasuk mereka yang mempunyai cabaran fizikal, deria atau kognitif.

Menyedari akan pelbagai keperluan masyarakat Islam, masjid dan pertubuhan berkongsi dengan Berita Harian (BH) bahawa selain menambah baik kemudahan sedia ada untuk dijadikan mesra dan inklusif, turut dilaksanakan ialah inisiatif seperti tafsiran bahasa isyarat untuk sesi khutbah, tazkirah dan kelas agama, serta program khas bagi individu dengan keperluan pembelajaran khusus. 

Menurut Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), masjid-masjid giat mempertingkatkan kebolehcapaian melalui penambahbaikan kemudahan dan pelaksanaan program inklusif, memastikan ia kekal sebagai ruang ibadah yang mesra dan memenuhi keperluan seluruh masyarakat. 

Mengulas lanjut, Muis berkata: “Muis sedang menambah baik masjid-masjid agar ia lebih mudah dan sesuai diakses melalui peningkatan kemudahan secara menyeluruh serta pelaksanaan program inovatif.”

“Usaha ini mencerminkan komitmen kami dalam memastikan masjid kekal sebagai ruang yang mesra dan inklusif, memenuhi keperluan pelbagai lapisan masyarakat.”

Kian banyak guna khidmat isyarat bahasa

Anggota jemaah yang mengalami masalah pendengaran kini lebih berpeluang mengikuti sesi keagamaan dengan lebih baik, hasil usaha berterusan pelbagai pihak dalam memperluas penggunaan bahasa isyarat di masjid.

“Lebih banyak masjid dan pertubuhan keagamaan lain kini mendapatkan perkhidmatan jurubahasa isyarat bagi khutbah, tazkirah dan kelas agama,” kata Persatuan Orang Pekak Singapura (SADeaf).

Antaranya Masjid Al-Islah di Punggol, menawarkan tafsiran bahasa isyarat bagi kelas agama Ramadan seperti Fiqh Ramadan for the Deaf (Fiqah Ramadan untuk Orang Pekak).

Jurubahasa isyarat, Cik Suhaila Sulaiman, memberi terjemahan semasa kelas ‘Fiqh Ramadan for the Deaf’, di Masjid Al-Falah pada 2023.
Jurubahasa isyarat, Cik Suhaila Sulaiman, memberi terjemahan semasa kelas ‘Fiqh Ramadan for the Deaf’, di Masjid Al-Falah pada 2023. - Foto SADEAF

Darul Arqam Singapura (MCAS) juga telah menyediakan tafsiran bahasa isyarat dalam sesi tazkirah sebelum iftar, yang turut disiarkan secara langsung di Facebook agar lebih ramai anggota jemaah yang pekak dapat mengakses kandungan tersebut.

“Kami gembira melihat lebih banyak masjid mengambil langkah proaktif untuk memastikan golongan pekak dapat menikmati pengalaman ibadah yang lebih bermakna,” kata SADeaf.

Setakat ini, jurubahasa isyarat SADeaf telah dihubungi untuk menterjemahkan Takbir Raya dan Khutbah Hari Raya pada pagi Aidilfitri, kata persatuan itu.

Program agama untuk golongan keperluan khas

Bagi individu dengan keperluan pembelajaran khas, pusat pendidikan berkeperluan khas, My Inspiring Journey atau singkatannya, MIJ Hub giat menjalankan program keagamaan yang direka khas bagi memastikan pelajar mereka dapat memahami dan menghayati Ramadan dengan lebih baik.

“Pada hujung minggu 22 dan 23 Mac, sesi khas bagi memperkenalkan konsep 10 malam terakhir Ramadan kepada pelajar, diadakan dalam bentuk yang lebih mudah diakses dan sesuai dengan tahap pembelajaran mereka,” kongsi MIJ Hub.

Selain itu, ia bekerjasama dengan Masjid Wak Tanjong dalam kegiatan gotong-royong membersihkan masjid dan membungkus bubur lambuk, memberikan pelajar mereka peluang untuk rasai pengalaman beramal dan menyumbang kepada masyarakat.

“Kami percaya bahawa ibadah dan pengalaman Ramadan harus inklusif untuk semua dan kami sentiasa berusaha mencari jalan untuk memastikan anak-anak kami dapat turut serta dalam amalan keagamaan dengan cara yang sesuai untuk mereka,” kata MIJ Hub.

Pusat pendidikan berkeperluan khas, My Inspiring Journey atau singkatannya, MIJ Hub, bekerjasama dengan Masjid Wak Tanjong dalam memberi pelajar mereka peluang menyertai kegiatan seperti membungkus bubur lambuk pada Ramadan 2024.
Pusat pendidikan berkeperluan khas, My Inspiring Journey atau singkatannya, MIJ Hub, bekerjasama dengan Masjid Wak Tanjong dalam memberi pelajar mereka peluang menyertai kegiatan seperti membungkus bubur lambuk pada Ramadan 2024. - Foto MIJ HUB

Prasarana masjid terus penuhi pelbagai keperluan

Seperti program naik taraf masjid (MUP), sejak 2009, Muis telah menambah baik kemudahan di masjid termasuk laluan khas untuk pengguna berkerusi roda, tandas yang memenuhi keperluan khas, ruang penyusuan dan kawasan khas untuk kanak-kanak.

Mengambil Masjid Maarof sebagai contoh, masjid itu menampilkan rekaan mesra inklusif dengan sistem bantuan pendengaran dalam dewan solat utama, papan tanda Braille dan penanda lantai khas untuk membantu jemaah kurang penglihatan, kongsi Muis.

Masjid Al-Khair dan Masjid Al-Mawaddah pula menyediakan ruang solat khas untuk pengguna kerusi roda dan mereka yang menggunakan alat bantuan mobiliti, kongsi Muis lagi.

Beberapa masjid lain yang turut menawarkan kemudahan mesra akses termasuk Masjid Al-Ansar, Masjid Kampung Siglap, Masjid Hajjah Rahimabi Kebun Limau, Masjid Darul Ghufran, Masjid Assyakirin dan Masjid Mujahidin. 

Masjid baru seperti Masjid Yusof Ishak dan Masjid Al-Islah dibina dengan keutamaan kepada kemudahan mesra pengguna bagi memastikan akses yang lebih inklusif, tambah Muis lagi.

Usaha inklusif masih belum cukup

Meskipun pelbagai inisiatif telah dilaksanakan termasuk di Masjid Alkaff Upper Serangoon – satu-satunya masjid yang menyediakan kelas mengaji Al-Quran khusus untuk golongan yang cacat penglihatan – usaha memperluas suasana inklusif masih belum mencukupi dan memerlukan lebih banyak sokongan.

Persatuan Cacat Penglihatan Singapura (SAVH) mengakui bahawa kemudahan bagi mereka masih terhad, termasuk ruang solat serta penyediaan Al-Quran Braille dan bahan Islam lain. 

“Tanpa bahan rujukan dalam format Braille atau audio serta sokongan prasarana yang sesuai, mereka menghadapi cabaran untuk beribadah atau mempelajari Al-Quran secara berdikari,” jelas SAVH.

Sumber digital Islam, seperti platform Al-Quran dalam talian, artikel keagamaan dan bahan pendidikan, turut masih belum sepenuhnya memenuhi keperluan pengguna golongan itu.

Bilangan asatizah dan sukarelawan terlatih juga masih tidak mencukupi untuk menyokong pembelajaran mereka, tambah persatuan itu.

Berkongsi sentimen serupa, SADeaf menghadapi kekurangan jurubahasa isyarat yang terlatih dalam istilah keagamaan.

Justeru, SADeaf menegaskan pentingnya meningkatkan kesedaran serta memperkukuh komunikasi antara golongan yang mengalami masalah pendengaran dengan masyarakat umum dalam mewujudkan persekitaran yang lebih terangkum.

“Kami menggalakkan lebih banyak interaksi antara kededua pihak dalam membantu mengurangkan jurang komunikasi.

“Apabila lebih banyak peluang berinteraksi diwujudkan, semakin ramai individu pekak dapat mengambil bahagian dalam kegiatan keagamaan dengan lebih bermakna,” ujar SADeaf.

Masjid sebagai ruang inklusif bagi semua

“Muis sedang menambah baik masjid-masjid agar ia lebih mudah dan sesuai diakses melalui peningkatan kemudahan secara menyeluruh serta pelaksanaan program inovatif. Usaha ini mencerminkan komitmen kami dalam memastikan masjid kekal sebagai ruang yang mesra dan inklusif, memenuhi keperluan pelbagai lapisan masyarakat.”
Kenyataan Majlis Ugama Islam Singapura (Muis).
Usaha jalani program agama bagi pelajar berkeperluan khas

“Pada hujung minggu 22 dan 23 Mac, sesi khas bagi memperkenalkan konsep 10 malam terakhir Ramadan kepada pelajar, diadakan dalam bentuk yang lebih mudah diakses dan sesuai dengan tahap pembelajaran mereka.”
Kenyataan My Inspiring Journey atau singkatannya, MIJ Hub, pusat pendidikan berkeperluan khas.
Perkukuh komunikasi antara golongan pekak dengan masyarakat umum

“Kami menggalakkan lebih banyak interaksi antara kededua pihak dalam membantu mengurangkan jurang komunikasi.  Apabila lebih banyak peluang berinteraksi diwujudkan, semakin ramai individu pekak dapat mengambil bahagian dalam kegiatan keagamaan dengan lebih bermakna.”
Kenyataan Persatuan Orang Pekak Singapura (SADeaf).
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg