Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lebih ramai relawan muda diperlukan untuk teruskan legasi kariah

Kebanyakan sukarelawan kariah kini berusia 60 hinga 80-an tahun
Feb 28, 2025 | 8:25 PM
Akif Nur Kafi Nur Ihsan, 18 tahun (kanan), merupakan sukarelawan termuda di Qaryah 21, kariah di kolong Blok 786E, Woodlands Drive 60.
Akif Nur Kafi Nur Ihsan, 18 tahun (kanan), merupakan sukarelawan termuda di Qaryah 21, kariah di kolong Blok 786E, Woodlands Drive 60. - Foto BH oleh KHALID BABA

Selepas selesai solat tarawih di Qaryah 21 – kariah di kolong Blok 786E, Woodlands Drive 60 – Akif Nur Kafi Nur Ihsan, 18 tahun, mula menyingsing lengan bajunya mencuci balang air, mengatur kerusi, menutup pintu ruang solat, dan menyediakan poster jadual imam untuk media sosial kariah itu.

Walau masih menuntut pada peringkat Nitec Lanjutan dalam Kejuruteraan Elektrik di Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Barat, Akif mula menceburi dunia sukarelawan kariah, menjadikannya sukarelawan termuda dalam jawatankuasa kariah itu, pada 2024.

Namun, sukarelawan lebih berusia yang lazimnya memainkan peranan penting dalam menjalankan operasi kariah dan bilangan mereka semakin berkurangan, kata para sukarelawan.

Lantas legasi kariah berkemungkinan hilang jika golongan muda tidak tampil untuk meneruskan usaha tersebut, tambah mereka.

Menurut Encik Mustaffa Hassan, seorang sukarelawan yang telah berkhidmat selama 15 tahun di Jawatankuasa Kejiranan Islam Simei (JKIS) di kariah kolong Blok 116, Simei Street 1, ramai belia hanya menyertai kariah itu secara ad hoc, atau berkala, dan berasa “kekok” untuk menyertai kumpulan yang didominasi golongan berusia.

Bercakap kepada Berita Harian (BH), Encik Mustaffa, yang juga bendahari jawatankuasa itu, berkata:

“Hendak tarik belia masuk amat susah, mereka tidak mahu commit (mengatakan kesanggupan). Tetapi jika kariah memerlukan mereka untuk bantu seperti pada pagi Hari Raya, mereka sudi membantu.

“Mungkin mereka rasa ini untuk pak cik-pak cik sahaja atau mereka mempunyai tugasan seperti Perkhidmatan Negara (NS) dan waktu kerja berbeza, jadi mereka tidak boleh commit.”

Menurut penelitian pengerusi Qaryah 21, Encik Muhammad Basyar Mohd Yusoff, kebanyakan sukarelawan kariah umumnya berusia 60 hingga 80-an tahun.

“Disebabkan faktor umur, semakin ramai yang tidak mampu menjaga kariah. Sukarelawan mapan ini inginkan pelapis agar golongan muda dapat meneruskannya.

“Namun, adalah sukar kerana semakin kurang orang yang ingin melakukannya.

“Apabila anak muda menerajui kariah, ia menakjubkan dan harus dijadikan contoh agar lebih ramai boleh ikut jejak langkah mereka dan menyumbang,” kata beliau.

Qaryah 21 kini mempunyai 10 anggota jawatankuasa dan 15 hingga 20 sukarelawan, kata Encik Basyar, 32 tahun.

Pengerusi ‘Qaryah 21’, Encik Muhammad Basyar Mohd Yusoff (empat dari kanan), bersama sukarelawan kariah berusia 21 hingga 23 tahun.
Pengerusi ‘Qaryah 21’, Encik Muhammad Basyar Mohd Yusoff (empat dari kanan), bersama sukarelawan kariah berusia 21 hingga 23 tahun. - Foto BH oleh KHALID BABA

Kariah lebih daripada siap ruang solat tarawih

Kumpulan kariah biasanya bekerjasama dengan masjid berhampiran, dan dipimpin oleh sukarelawan untuk menganjurkan solat tarawih di kolong blok atau dewan serba guna di estet HDB.

Walaupun terdapat 70 masjid yang mengadakan solat tarawih, kariah masih berperanan menawarkan pilihan untuk individu yang sukar pergi ke masjid, seperti warga emas dan warga yang menghadapi kesukaran pergerakan.

Menjawab pertanyaan BH sebelum ini, Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) berkata lebih banyak kumpulan sukarelawan yang mampu dan bersedia bekerjasama dengan masjid untuk mengadakan kariah pada 2025.

Pada 2024, terdapat 31 kariah tetapi sekarang hingga 38 kariah tersenarai dalam laman ramadan.sg, sebuah laman daripada SalamSG yang memberi perkembangan mengenai Ramadan di Singapura.

Selain membantu mengendalikan solat tarawih, kariah berperanan menganjurkan pelbagai kegiatan keagamaan di kawasan kejiranan.

Kegiatan itu sering tertumpu pada sambutan hari kebesaran Islam, menganjurkan kumpulan membaca Surah Yasin, kumpulan marhaban, kelas agama, mengagihkan makanan dan kegiatan lain yang mengerat silaturahim.

Dalam pada itu, Penolong Pengerusi JKIS, Encik Ramlan Ebrahim, 63 tahun, berkongsi bahawa sejak Covid-19, lebih ramai jemaah dilihat melaksanakan solat tarawih di sana.

“(Ketika itu) ia boleh menampung sekitar 400 hingga 500 anggota jemaah.

“Sejak 2024, kami mengembangkan ruang solat untuk meliputi hampir keseluruhan kolong Blok 116 dan kami berharap lebih ramai jemaah akan bertambah,” ujarnya.

Pengerusi JKIS, Encik Mohamed Said Ali, 66 tahun, bersetuju dengan sentimen tersebut dan menambah, kini terdapat dua televisyen berukuran 29 inci di kawasan wanita. 

Menurutnya, kawasan Simei dan Tampines mempunyai ramai penduduk warga emas lantas kariah itu tetap mendapat sambutan pada setiap Ramadan.

Ruang solat tarawih di kolong Blok 116, Simei Street 1 sudah siap untuk menerima sehingga 1,000 anggota jemaah bagi Ramadan 2025.
Ruang solat tarawih di kolong Blok 116, Simei Street 1 sudah siap untuk menerima sehingga 1,000 anggota jemaah bagi Ramadan 2025. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Usaha tarik generasi muda

Naib pengerusi Qaryah 22 di Blok 286, Tampines Street 22, Encik Ab Hamid Ab Jalal, 71 tahun, berkata aspek paling penting dalam mengekalkan khidmat belia ialah melayani mereka dengan kasih sayang agar mereka terus menghormati golongan lebih berusia.

Kariah yang ditubuhkan pada 1984 itu menerapkan kaedah ‘word of mouth’ (sebaran mulut ke mulut) dengan meminta belia sedia ada di kariah itu untuk menarik kawan-kawan mereka.

“Apabila mereka datang, kami suruh mereka bawa rakan-rakan jadi senang kami melantik ketua dan memberikan kerja untuk dilaksanakan.

“Daripada kerja amal lama-lama mereka menjadi perkasa dan dapat menggembleng tenaga dan menjadi pelapis jawatankuasa kariah,” katanya.

Encik Hamid menambah bahawa disebabkan itu, lebih ramai anggota akan kekal bersama mereka, sambil memberikan contoh seorang anggota yang tetap hadir di kariah itu setiap Ramadan walaupun sudah berpindah ke Johor Bahru.

Encik Basyar pula menggunakan wadah sosial media untuk menarik lebih ramai belia.

Sukarelawan ‘Qaryah 21’ secara purata berusia 21 hingga 23 tahun. 
Sukarelawan ‘Qaryah 21’ secara purata berusia 21 hingga 23 tahun.  - Foto BH oleh KHALID BABA

Percaya pada potensi Akif, yang juga anggota kumpulan belia di Masjid An-Nur, Encik Basyar telah menariknya masuk ke jawatankuasa kariah dan memberikannya tugas sebagai ketua publisiti Qaryah 21.

Antara lain, Akif ditugaskan memuat naik poster jadual imam dan bilal kariah tersebut setiap hari semasa Ramadan dan mengambil gambar acara kariah itu.

Akif berkongsi kepada BH beliau ingin membuat perbezaan dalam kehidupan masyarakat dan lebih manis apabila jemaah kariah menghargai usahanya.

“Jemaah pernah berkata kepada saya, ‘Hebat awak boleh tolong di kariah. Kebanyakan belia mungkin akan duduk di rumah, tetapi awak pilih untuk membantu’.

“Ini membuatkan saya memberikan lebih banyak (daripada sepatutnya),” ujarnya.

Sebagai seorang pelajar, Akif harus mengimbangi masa antara sekolah dengan kerja sukarelawan.

Beliau mengaku pada awalnya agak sukar untuk memikul tugasan kariah.

“Beberapa cabaran yang saya hadapi, terutama di kariah sebagai sukarelawan, adalah jumlah kerja yang diberikan kepada saya.

“Tetapi perlahan-lahan, saya mula berasakan tanggungjawab untuk menjaga penduduk dan memastikan masyarakat selesa dengan kariah,” kata beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg