Topik diikuti
Pergi ke BHkuMasjid Sallim Mattar CERAHi masa depan 3 generasi
Masjid Sallim Mattar manfaatkan Halal International 2026 untuk mengumpul dana bagi perkasa belia, memperkukuh institusi keluarga dan menyantuni warga emas mulai 2027
Masjid Sallim Mattar CERAHi masa depan 3 generasi
Buat julung kalinya, Masjid Sallim Mattar (MSM) membawa masjid itu ‘keluar’ kepada masyarakat di Halal International 2026 di Singapore EXPO pada 4 hingga 6 Disember 2026.
Selain program pentas selama tiga hari, dari 10 pagi hingga 10 malam setiap hari, reruai MSM bertujuan mengumpul dana bagi memperluas program CERAH kepada tiga cabang baharu – belia, keluarga dan warga emas – mulai 2027.
Program CERAH membantu penghuni penjara dan keluarga mereka.
Inisiatif itu dibina sebagai Hab Transformasi Keluarga berteraskan naratif ‘Jejak Ibadurrahman’ berpandukan ayat ke-63 hingga 76 Surah Al-Furqan, dengan penekanan terhadap pembentukan akhlak, pengukuhan institusi keluarga dan pembangunan masyarakat.
PELBAGAI KEGIATAN PENTAS MENARIK
Pengunjung berpeluang mengikuti pelbagai kegiatan pentas yang mengetengahkan isu berkaitan kehidupan masyarakat.
Ini termasuk sesi ‘Santunan Emas’ mengenai kesihatan dan pendidikan celik undang-undang, termasuk Surat Kuasa Berkekalan (LPA) dan Jagaan Lanjut (ACP).
Turut diadakan ialah demonstrasi bacaan Al-Quran teknik Al-Baghdadi dan forum kekeluargaan bersama Ustaz Hidayat Ismail dan kaunselor Ustazah Noraini Abd Wahab.
Forum itu akan mengupas isu kelesuan emosi, pengurusan emosi dan penggunaan gajet oleh anak-anak.
Kemuncak acara pada 6 Disember akan menyaksikan finalis berusia antara 14 dengan 19 tahun berentap dalam peringkat akhir Pertandingan Da'i Muallim bagi mendorong bakat muda berjinak dalam bidang dakwah.
HAB SOKONGAN MASYARAKAT
Sejak 2023, MSM giat menyantuni masyarakat menerusi pelbagai program percuma yang digerakkan oleh asatizah, kakitangan dan sukarelawan pelbagai generasi.
Ini termasuk program CERAH yang menyokong pemulihan dan integrasi semula penghuni penjara ke dalam masyarakat dan memperkukuh hubungan kekeluargaan.
Sekitar 1,000 orang telah menamatkan program ini.
MSM turut menjalankan program mingguan warga emas bersama THK (Thye Hua Kwan), kelas pengajian Muslimah, kelas Al-Quran belia, kegiatan bersama Kumpulan Orang Cacat Muslim Singapura (KCMS) dan perjumpaan bersama pekerja hijrahan.
Ia juga bekerjasama dengan Persatuan Dana Amanah Muslimin (MTFA) menganjurkan program tuisyen percuma BrightGuides dan BrightStep bagi pelajar yang menghadapi kesukaran dalam pelajaran.
Usaha itu dilengkapi dengan pengajian agama berterusan, qiamullail bulanan, sambutan Maulidurrasul dan kegiatan penghargaan sukarelawan, sekali gus memperkukuh peranan masjid sebagai pusat pembangunan masyarakat inklusif.
INISIATIF ‘CERAH’ DIPERLUAS
Menerusi CERAH Belia, MSM merancang menyediakan ruang kondusif dan patuh syariat bagi golongan muda belajar, berinteraksi dan mengembangkan potensi diri.
Pertandingan Da’i Muallim pula menjadi antara wadah mencungkil bakat dan melahirkan generasi pendakwah muda.
CERAH Keluarga memberi tumpuan kepada pengukuhan institusi keluarga menerusi siri pendidikan agama, Seminar Ilmu Ibadurrahman pada 17 Januari 2027, sokongan kepada keluarga peserta CERAH dan bimbingan keluarga asnaf zakat ke arah berdikari.
CERAH Warga Emas diperkenal menerusi program Santunan Emas mulai April 2027. Ia merangkumi pendidikan agama, pemeriksaan kesihatan, penyediaan bahan pembelajaran mesra warga emas dan pelibatan sukarelawan belia sebagai ‘cucu angkat’.
SUMBANGAN ANDA BIAYAI PROGRAM
Kesemua program MSM disediakan secara percuma kepada masyarakat. Namun, geran yang diterima MSM hanya menampung sebahagian kosnya, sedangkan permintaan bagi program kian meningkat.
Dana yang dikumpul digunakan bagi menampung honorarium asatizah dan penceramah pakar, penyediaan bahan pembelajaran, latihan sukarelawan, pengangkutan warga emas dan pembangunan ruang belia.
Sebagai contoh, sumbangan $200 dapat membiayai bimbingan asatizah bagi satu sesi kelas, $250 dapat menampung satu perjalanan bas mini bagi membawa warga emas uzur menghadiri program, manakala $400 dapat menaja seorang warga emas mengikuti keseluruhan program tujuh sesi.
“CERAH telah membuktikan masjid boleh menjadi tempat seseorang bermula semula. Kini, kami ingin membawa santunan sama kepada belia, keluarga dan warga emas kita.
“Kami mengajak masyarakat bersama-sama membina program yang akan terus memberi manfaat, insya-Allah, jauh melangkaui mana-mana satu lembaga atau individu,” kata Pengerusi Kehormat MSM, Encik Muhamad Sharul Abdul Latib.
Cara Menyokong di Reruai Masjid
Daftar kelas dan program CERAH terus di reruai.
Sumbang melalui tabung infak, kod QR, atau PayNow ke UEN S60MQ0063E.
Sokong peniaga perniagaan dari rumah (HBB) yang berkolaborasi dengan masjid.
Bawa pulang tote bag edisi khas “Journey to Being an Ibadurrahman” sebagai tanda mata.