Masjid Sallim Mattar rintis sistem derma masa nyata; kutipan lonjak 2 kali ganda

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Masjid Sallim Mattar rintis sistem derma masa nyata; kutipan lonjak 2 kali ganda

Feb 25, 2026 | 1:19 PM

Masjid Sallim Mattar rintis sistem derma masa nyata; kutipan lonjak 2 kali ganda

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Masjid Sallim Mattar, sistem derma, Ramadan, ISGN Ventures,
Jemaah kini hanya perlu mengimbas kod QR pada skrin digital untuk menderma. Sistem itu membolehkan sumbangan diproses dan dipaparkan secara masa nyata, sekali gus meningkatkan ketelusan dalam urusan kutipan dana di Masjid Sallim Mattar. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Masjid Sallim Mattar memperkenalkan sistem paparan derma digital secara masa nyata pada Ramadan ini, satu inovasi yang berjaya melonjakkan kutipan dana masjid sekitar dua kali ganda berbanding tempoh sama pada 2025.

Data terkini menunjukkan kutipan derma bagi tempoh awal tahun hingga 20 Ramadan 2026 mencecah hampir $35,000, berbanding sekitar $17,900 bagi tempoh yang sama pada 2025.

Melalui sistem yang dibangunkan oleh syarikat ISGN Ventures, sumbangan jemaah melalui kod QR akan dipaparkan di skrin televisyen bersaiz 75 inci di bahagian luar dan dua televisyen 55 inci ditempatkan di ruang solat.

Pengarah bersama ISGN Ventures, Encik Fazli Mansor (kiri), dan Encik Fadzuli Wahab (kanan), bersama Eksekutif Operasi Masjid Sallim Mattar, Encik Muhammed Jamil Abdul Aziz (tengah), meneliti fungsi skrin paparan derma digital 75 inci yang kini beroperasi sepenuhnya di pekarangan masjid tersebut.
Pengarah bersama ISGN Ventures, Encik Fazli Mansor (kiri), dan Encik Fadzuli Wahab (kanan), bersama Eksekutif Operasi Masjid Sallim Mattar, Encik Muhammed Jamil Abdul Aziz (tengah), meneliti fungsi skrin paparan derma digital 75 inci yang kini beroperasi sepenuhnya di pekarangan masjid tersebut. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Sistem itu menggantikan kaedah slaid PowerPoint yang sebelum ini memerlukan pemantauan harian di masjid yang terletak di Mattar Road itu.

Pengerusi Masjid Sallim Mattar, Encik Muhammad Sharul Abdul Latib, berkata langkah ke arah pendigitalan itu telah menarik minat jemaah untuk menyumbang dengan lebih aktif.

“Dulu kami gunakan papan kayu atau sepanduk yang perlu dikemas kini secara manual. Sekarang, bila jemaah lihat nama atau jumlah pada skrin berubah dalam beberapa saat selepas menderma, ia menarik minat mereka.

“Kami dapat lihat nombor itu naik, dan ia mendorong orang ramai untuk turut serta,” kata Encik Sharul kepada Berita Harian (BH) baru-baru ini.

Inspirasi projek perintis itu bermula hasil lawatan pengarah bersama ISGN Ventures, Encik Fadzuli Wahab dan Encik Fazli Mansor, ke Perlis, Malaysia, pada Julai 2025.

Mereka memerhatikan bagaimana sistem maklumat bersepadu di sana dapat mengurangkan beban kerja manual kakitangan masjid.

Walaupun konsep asal dari Perlis ialah seragam, sistem di Singapura direka secara modular bagi membolehkan setiap masjid menyesuaikan paparan mengikut identiti dan keperluan operasi masing-masing.

“Teknologi mampu mengurangkan beban operasi kakitangan masjid secara senyap tetapi berkesan, sambil meningkatkan pengalaman jemaah.

“Saya rasakan pendekatan ini sangat sesuai untuk memberi manfaat kepada masjid-masjid di Singapura.

“Banyak masjid hari ini masih menggunakan slaid PowerPoint yang dipaparkan di skrin televisyen. Walaupun waktu solat dipaparkan, ia selalunya memerlukan kemas kini manual setiap hari oleh kakitangan masjid.

“Jika kakitangan bercuti atau tidak dapat hadir, maklumat tersebut mungkin tidak dikemas kini dengan tepat,” kata Encik Fadzuli dalam temu bual dengan BH.

“Selain itu, infrastruktur digital di Singapura kini sangat kukuh, membolehkan paparan dikemas kini secara masa nyata dengan lebih stabil.

“Pada masa yang sama, jemaah juga semakin selesa menggunakan telefon bimbit untuk membuat sumbangan, menjadikan integrasi paparan digital dan derma mudah alih lebih praktikal dan mesra pengguna,” tambah Encik Fadzuli.

Dari aspek teknikal, penggunaan kod QR membolehkan setiap transaksi dihubungkan dengan nombor invois unik yang dipaparkan pada rujukan pembayaran.

Ini memudahkan pegawai kewangan mengesahkan pembayaran di bahagian belakang dengan lebih pantas sebelum jumlah terkini dipaparkan di skrin setiap 10 saat.

Menurut Encik Fadzuli, sistem itu mampu menjimatkan ratusan jam kerja pentadbiran yang sebelum ini digunakan untuk menyemak akaun secara manual.

Kos pemasangan modul waktu solat bermula daripada $500, dengan yuran tahunan antara $50 dengan $100 bagi penyelenggaraan pangkalan data.

Setakat ini, enam masjid termasuk Masjid Darul Makmur, Masjid Abdul Razak, Masjid Aleem Siddique, Masjid Mydin dan Masjid Al-Muttaqin telah melaksanakan modul waktu solat digital.

Namun, hanya Masjid Sallim Mattar merupakan yang pertama mempelopori paparan skrin derma secara langsung.

Daya usaha digital itu juga menyokong sasaran dana Ramadan masjid sebanyak $80,000 bagi membiayai pelbagai kegiatan sepanjang bulan suci ini.

Ia termasuk program ilmu seperti ceramah mingguan, cabaran hafazan, kuiz Ramadan, penyediaan hidangan iftar dan sahur bagi 10 malam terakhir serta membiayai elaun imam dan bilal.

Meskipun langkah pendigitalan masjid itu canggih, Encik Sharul menambah bahawa aspek kerohanian tetap diutamakan.

“Kita perlu berhati-hati supaya paparan ini tidak terlalu berwarna-warni atau mengganggu jemaah seperti menonton televisyen di dalam dewan solat. Ia harus menjadi alat bantuan, bukan gangguan,” katanya.

Bagi anggota jemaah yang ingin mengekalkan kerahsiaan, sistem itu turut menyediakan pilihan nama “hamba Allah”.

Encik Sharul turut memerhatikan bahawa golongan jemaah warga emas kini semakin selesa dengan teknologi itu.

“Warga emas kita sekarang sudah mahir menggunakan perbankan telefon. Malah bagi urusan zakat, kita nampak mereka lebih selesa melakukan transaksi sendiri secara dalam talian,” ujar beliau.

Melihat ke hadapan, Encik Sharul berharap penggunaan teknologi itu dapat memastikan operasi masjid tetap mampan walaupun jumlah jemaah terus meningkat.

Beliau berhasrat agar kakitangan dapat dibantu dengan tugasan manual dan supaya tenaga kerja masjid dapat dialihkan sepenuhnya kepada khidmat masyarakat.

“Kita perlu sentiasa menyesuaikan diri dengan teknologi seperti AI (kecerdasan buatan) dan pendigitalan untuk memastikan proses lebih cekap.

“Matlamat akhirnya adalah supaya kakitangan tidak lagi terbeban dengan tugas rutin, sebaliknya dapat memberi lebih tumpuan kepada jemaah,” tambahnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg