Masjid Alkaff Kampung Melayu kini sedang “sibuk berkemas” untuk kerja naik taraf (MUP) yang bakal bermula pada bulan Mei 2025. Masjid yang terletak di Bedok Reservoir Road ini telah beroperasi lebih daripada 30 tahun. Bangunan masjid yang semakin tua memerlukan peningkatan demi keselesaan dan keselamatan jemaah.
Menjelaskan hal ini, Pengerusi Masjid Alkaff Kampung Melayu, Encik Mohamed Faizul Othman, berkata:
“Masjid kami yang semakin berusia ini kini menampung jemaah yang semakin ramai terutama sekali untuk solat Jumaat. Bukan saja penduduk berdekatan, malahan mereka yang tinggal di luar kawasan Bedok tetap mahu bersolat Jumaat di sini.
“Ini belum termasuk jemaah yang terdiri daripara pekerja kawasan perindustrian dan pekerja migran Bangladesh. Begitu juga apabila tiba solat tarawih, solat Aidilfitri dan Aidiladha. Jumlah jemaah melimpah ruah. Jadi, perluasan dan naik taraf bangunan masjid sangat diperlukan.”
Menyentuh masalah bangunan masjid, Pegawai Masjid, Encik Mohammad Taufiq Mohd Ismail, berkata:
‘’Masjid juga menghadapi masalah seperti kebocoran yang berlaku semasa musim hujan dan gangguan bekalan elektrik berlaku akibat keadaan bangunan yang semakin usang.
“Pemasangan lif juga akan dilakukan bagi memudahkan jemaah yang mahu ke aras dua dan tiga bangunan masjid. Ini termasuk jemaah berkerusi roda dan mereka yang menggunakan pengangkutan peranti mobiliti peribadi (PMD). Kami juga merancang menyediakan laluan bebas tanjakan bagi kemudahan jemaah yang beribadah dengan lebih mudah.”
Menjawab soalan bila kerja naik taraf ini akan dimulakan, Encik Faizul berkata:
“Kami masih lagi berkemas dan mengalih barang-barang yang terjejas. Kami telah mula menutup beberapa kawasan sejak beberapa bulan lalu bagi memberi laluan kepada persiapan projek ini. Jadi, penyerahan sepenuhnya kepada kontraktor ialah pada akhir bulan April.”
Bagi memberi laluan kepada projek MUP, beberapa kawasan masjid yang biasa digunakan untuk kegiatan Ramadan seperti iftar/buka puasa dan pengagihan bubur masjid terpaksa dialihkan ke sudut lain.
Menjelaskan hal ini, Encik Faizul berkata:
“Solat tarawih akan berjalan seperti biasa. Tetapi disebabkan keterbatasan ruang, kami hanya dapat menampung sekitar 350 orang untuk iftar setiap hari. Kami merancang menghidangkan secara bento dan jemaah perlu beratur untuk mendapatkannya. Bagaimanapun, kurma dan bubur masjid masih tetap boleh dinikmati jemaah yang mahu berbuka puasa di masjid kami.”
Anggaran perbelanjaan naik taraf ialah sekitar $15 juta. Setakat ini, hampir $7 juta sudah terkumpul. Bagi menambah lagi pungutan dana, Masjid Alkaff Kampung Melayu yang berada dalam lingkungan Kelompok Timur turut meletakkan tabung-tabung derma di masjid-masjid Kelompok Timur Singapura.
Pihak masjid juga merayu agar masyarakat turut menderma bagi menjayakannya. Sumbangan boleh dibuat melalui pelbagai saluran yang telah disediakan oleh masjid, dan setiap derma akan digunakan bagi memastikan kelancaran projek serta penyelenggaraan masjid yang lebih baik.
Cara menderma bagi Dana Peningkatan Masjid Alkaff Kampung Melayu:
1. Pindahan bank ke dalam akaun OCBC 581-608668-001. Sila nyatakan ‘Dana Peningkatan’ di bahagian ‘Rujukan’. dan e-mel tangkap layar, atau screenshot, transaksi kepada finance@alkaffkm.mosque.sg
2. Cek atas nama LPM ALKAFF KG MELAYU. Sila nyatakan ‘Dana Peningkatan’, nama, alamat dan nombor telefon anda di bahagian belakang cek dan kirimkan kepada Masjid Alkaff Kampung Melayu, 200 Bedok Reservoir Road, Singapura 479221.
3. PayNow ke UEN: S94MQ0017D. Sila nyatakan ‘Dana Peningkatan’ di bahagian ‘Rujukan’.
4. Langsung ke pejabat masjid dari Isnin hingga Khamis. 9 pagi hingga 5.30 petang. Pada Jumaat pula, waktu operasi bermula dari 9 pagi hingga 5 petang.
* Sila hubungi Masjid Alkaff Kampung Melayu di talian 6242-7244 untuk keterangan lanjut.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg