Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Masjid Alkaff Kampung Melayu anjur kursus maqamat

Feb 7, 2025 | 5:30 AM
Masjid Alkaff Kampung Melayu dijadualkan akan memulakan kerja naik taraf pada akhir April 2025.
Masjid Alkaff Kampung Melayu dijadualkan akan memulakan kerja naik taraf pada akhir April 2025. - Foto MASJID ALKAFF KAMPUNG MELAYU

Masjid Alkaff Kampung Melayu akan menganjurkan dua program bersama Imam Ibrahim Bakeer, seorang pakar Ilmu Maqamat dari Mesir.

Ini merupakan salah satu usaha masjid ini bagi projek naik taraf yang bakal dilaksanakan. Maqamat, atau taranum, bermaksud kaedah memperelok atau memperindah bacaan Al-Quran secara berlagu.

Program ini bertujuan memperlengkapkan ilmu kepada para imam dan muazin agar mereka lebih bersedia dalam memperbaiki suara dan bacaan Al-Quran mereka dengan bimbingan salah seorang ulama berpengalaman.

“Tujuan majlis ini diadakan adalah bagi melengkapkan pengetahuan kaum Muslimin kita tentang mengimami solat dengan bacaan Al-Quran dan azan yang agung.

“Ini juga merupakan peluang bagi kita sebagai umat Islam untuk memperbaiki diri dan mengetahui masa untuk menggunakan maqamat tertentu pada keadaan dan ayat tertentu.

“Ini juga untuk memahami Al-Quran dengan lebih baik, setiap kali kita membacanya.

“Memandangkan Ramadan semakin tiba, ini juga adalah peluang yang baik untuk mempelajari lebih lanjut tentang tajwid dan juga meningkatkan prestasi vokal kita,” jelas Eksekutif Media dan Acara di Masjid Alkaff Kampung Melayu, Encik Mahy Umar.

Encik Mahy berkata program ini terbuka kepada imam dan muazin yang ingin terus memperhalusi dan meningkatkan ilmu pengetahuan mereka, selain ia juga terbuka kepada umum.

“Program ini terbuka kepada semua imam dan muazin tempatan kita supaya suara mereka boleh menjadi satu-satunya motivasi agar lebih ramai jemaah datang mendengar bacaan indah mereka.

“Ia juga terbuka kepada orang ramai dan adalah peluang keemasan untuk bertemu dan belajar daripada Imam Ibrahim Bakeer sendiri,” kata Encik Mahy.

Imam Ibrahim Bakeer ialah seorang ulama terkenal dan qari Al-Quran, lulusan Universiti Al-Azhar yang menetap di Amerika Syarikat. Beliau berasal dari Kahirah, Mesir. Beliau pakar dalam tafsir Al-Quran dan maqamat dalam bacaan.

Beliau kini menjadi Imam Persatuan Islam di Greater Kansas City. Imam Ibrahim Bakeer juga mempunyai saluran YouTube khusus untuk membantu sesiapa di seluruh dunia yang berminat meningkatkan suara dan gaya mereka dalam bacaan Al-Quran.

Program-program yang disediakan juga sangat istimewa kerana ini merupakan kali pertama beliau ke Singapura.

Program pertama merupakan sesi ceramah yang akan diadakan di Masjid Darul Ghufran, pada 8 Februari dari 5 petang hingga 6 petang yang terbuka kepada semua.

Program kedua pula kelas fizikal berbayar bersama Imam Ibrahim Bakeer pada 9 Februari 2025 dari 10 pagi hingga 11 pagi, di Masjid Alkaff Kampung Melayu.

Setiap peserta dikenakan bayaran $20 seorang. Kelas maqamat ini akan melibatkan lebih banyak latihan praktikal peserta.

Imam Ibrahim Bakeer juga akan mengimamkan solat maghrib di Masjid Alkaff Kampung Melayu pada 7 Februari.

“Ini semua merupakan salah satu inisiatif projek naik taraf masjid kami dan kami berharap agar lebih ramai jemaah dapat datang ke masjid kami dan memeriahkan kedatangan beliau, sambil membantu kami menyokong projek naik taraf masjid ini,” tambah Encik Mahy.

Masjid Alkaff Kampung Melayu ingin menaik taraf masjid demi memudahkan ramai warga emas bersolat dan menunaikan amal ibadah mereka.

Kebanyakan mereka memerlukan bantuan berjalan seperti alat bantuan mobiliti peribadi (PMA), kerusi roda, dan sebagainya.

Dengan itu, masjid ini memerlukan kemudahan mesra warga emas serta mempunyai ciri bebas halangan seperti lif, laluan tanjakan, dan sebagainya.

Masjid Alkaff Kampung Melayu mengalu-alukan sokongan masyarakat setempat dengan menghadiri acara bersama Imam Ibrahim Bakeer serta menyumbang kepada Dana Peningkatan Masjid Alkaff Kampung Melayu.

Kerja peningkatan masjid akan dimulakan pada akhir April 2025.

SEKILAS

Cara menderma kepada Dana Peningkatan Masjid Alkaff Kampung Melayu:

1. Pemindahan bank ke dalam akaun OCBC 581-608668-001. Sila nyatakan ‘Dana Peningkatan’ di bahagian ‘Rujukan’, dan e-mel tangkap layar, atau screenshot, transaksi kepada finance@alkaffkm.mosque.sg.

2. Cek atas nama LPM ALKAFF KG MELAYU. Sila nyatakan ‘Dana Peningkatan’, nama, alamat dan nombor telefon anda di bahagian belakang cek dan kirimkan kepada Masjid Alkaff Kampung Melayu, 200 Bedok Reservoir Road, Singapura 479221.

3. PayNow ke UEN S94MQ0017D. Sila nyatakan ‘Dana Peningkatan’ di bahagian ‘Rujukan’.

4. Langsung ke pejabat masjid dari Isnin hingga Khamis, 9 pagi hingga 5.30 petang. Pada Jumaat pula, waktu operasi bermula dari 9 pagi hingga 5 petang.

* Hubungi Masjid Alkaff Kampung Melayu di talian 6242-7244 untuk keterangan lanjut.

* Ikuti Masjid Alkaff Kampung Melayu di TikTok, Facebook dan Instagram: @MasjidAlkaffKampungMelayu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg