Dengan hasrat mahu berkongsi ilmu agama dan memperkasakan kaum Hawa, Masjid Alkaff Kampung Melayu terus mendekati masyarakat dengan pelbagai program dan kegiatan kerohanian yang diminati ramai.
Terbaru, masjid yang terletak di Bedok Reservoir ini bakal mengadakan acara Fiqh Wanita. Kelas ini akan membincangkan soal-soal kesihatan wanita dalam Islam seperti cara membezakan jenis-jenis darah seperti darah haid, istihadhah dan nifas, tiga jenis darah yang lazim dihadapi oleh kaum wanita.
Menurut Pegawai Agama Masjid di Masjid Alkaff Kampung Melayu, Ustazah NurulHuda Muhammad Zulkiffli, tujuan masjid ini mengadakan program pendek khusus bagi wanita adalah mahu berkongsi pengetahuan selain mendekati masyarakat, amnya kaum Muslimah.
“Antara matlamat kami menganjurkan program Fiqh Wanita ini ialah mahu berkongsi cara bagaimana membezakan jenis-jenis darah seperti darah haid, istihadhah dan nifas – tiga jenis darah yang boleh dihadapi seorang wanita. Selain itu, tujuan kami juga mahu mendedahkan kepada jenis-jenis darah tersebut dan kiraan yang betul supaya mereka tahu sama ada mereka dalam keadaan bersih ataupun tidak, dan sama ada darah yang mengalir itu darah haid, istihadhah ataupun nifas.
“Selain itu, ustazah jemputan kami, Ustazah Nadia Hanim A.R, akan berkongsi mengenai persiapan Ramadan seperti perkara-perkara yang seorang wanita boleh lakukan pada bulan Ramadan sama ada dalam keadaan diri mereka bersih ataupun sebaliknya,” jelas Ustazah NurulHuda.
Beliau berkata, acara Fiqh Wanita ini diadakan setiap tahun dan mengetengahkan pelbagai tajuk lain yang dekat di hati dan berunsurkan perihal wanita.
“Program wanita sebegini kami adakan secara tahunan. Oleh itu, saya berharap peserta yang hadir dapat terus meraikan program ini lagi pada masa akan datang, serta membawa pulang ilmu yang bermanfaat dan mampu dikongsikan dengan teman-teman lain, atau peserta yang tidak dapat hadir pada acara tersebut,” ujar Ustazah NurulHuda.
Ustazah NurulHuda berkata perancangan Masjid Alkaff Kampung Melayu pada masa hadapan terutama sekali daripada Jabatan Dakwah dan Ibadah ialah mahu terus mengadakan program yang sesuai dan kepelbagaian untuk semua peringkat umur. Antara usaha mereka ini adalah dengan mengadakan program-program khas bagi Muslimah dan mengajak lebih ramai Muslimah datang ke masjid dan memeriahkan masjid di sini.
“Antara usaha lain Masjid Alkaff Kampung Melayu adalah mengadakan program-program singkat yang berbayar tetapi bermanfaat untuk jemaah, kem-kem semasa cuti sekolah untuk kanak-kanak, tabung Infaq Fajar dan juga penjualan barangan, atau merchandise, masjid seperti kemeja-T, payung lipat (besar dan kecil) dan juga beg jinjing, atau tote bag,” tambah Ustazah NurulHuda.
Selain itu, ‘Syarahan Roadshow’ sebanyak tiga siri bakal dijalankan. Siri pertama telah pun berlangsung pada 3 Februari 2024 di Masjid Al-Istighfar. Siri kedua dan ketiga akan diadakan di dua masjid berlainan di barat dan utara Singapura pada bulan Mei dan Oktober tahun ini.
Program singkat Fiqh Wanita ini akan berlangsung pada 17 Februari ini, dan bayaran $20 dikenakan kepada setiap peserta. Tempat terhad dan jamuan ringan disediakan.
DERMA IKHLAS
Cara menderma bagi Dana Peningkatan Masjid Alkaff Kampung Melayu:
1. Pemindahan bank ke dalam akaun OCBC : 581-608668-001. Sila nyatakan ‘Dana Peningkatan’ di bahagian ‘Rujukan’, dan e-mel tangkap layar,atau screenshot, transaksi kepada finance@alkaffkm.mosque.org.sg.
2. Kiriman cek atas nama LPM ALKAFF KG MELAYU. Sila nyatakan ‘Dana Peningkatan’, nama, alamat dan nombor telefon anda di bahagian belakang cek dan kirimkan ke Masjid Alkaff Kampung Melayu, 200 Bedok Reservoir Road, Singapura 479221.
3. PayNow UEN : S94MQ0017D. Sila nyatakan ‘Dana Peningkatan’ di bahagian ‘Rujukan’.
4. Langsung ke Pejabat Masjid dari Isnin hingga Jumaat, 9 pagi hingga 5.30 petang.
5. Sila hubungi Masjid Alkaff Kampung Melayu di talian 6242-7244 untuk mendapatkan keterangan lanjut.
6. Ikutlahlah Masjid Alkaff Kampung Melayu di Tik Tok, Facebook dan Instagram: @MasjidAlkaffKampungMelayu.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg