Topik diikuti
Pergi ke BHkuMasjid sedia 240,000 ruang bagi solat Aidiladha
Masjid sedia 240,000 ruang bagi solat Aidiladha
Sebanyak 20,300 ruang solat tambahan turut disediakan kumpulan kariah, naik 10% berbanding 2025
Masjid sedia 240,000 ruang bagi solat Aidiladha
Kira-kira 240,000 ruang solat akan disediakan oleh masjid serata Singapura merentasi sehingga tiga sesi solat, termasuk ruang solat khusus untuk jemaah wanita bagi solat Aidiladha pada 27 Mei.
Sebanyak 20,300 ruang solat tambahan, naik hampir 10 peratus berbanding 2025, juga akan disediakan di hingga 44 tempat tambahan, umum Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) dalam satu kenyataan pada 20 Mei.
Dalam hantaran Facebook pada 20 Mei, Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, berkata ruang solat tambahan disediakan agar lebih ramai anggota masyarakat dapat mengerjakan solat dengan lebih selesa.
“Masjid akan menyediakan ruang solat untuk jemaah Muslimin dan Muslimat, manakala kariah akan menyediakan ruang solat tambahan di lokasi terpilih di kawasan perumahan – terutamanya buat warga emas dan mereka yang memerlukan kemudahan mobiliti.
“Terima kasih kepada kakitangan masjid, sukarelawan dan kumpulan kariah kami atas usaha anda untuk memastikan setiap anggota masyarakat dapat menyambut (Aidiladha) dengan tenang dan penuh kemuliaan,” kata Dr Faishal.
Bagi anggota jemaah yang mahu menunaikan solat Aidiladha di masjid, Muis berkata tempahan untuk ruang solat tidak diperlukan, kecuali untuk sesi 1 di Masjid Darul Ghufran di Tampines.
Mereka yang ingin menempah ruang solat di masjid tersebut boleh menempah tempat melalui pautan, book.masjids.sg mulai 10 pagi, pada Jumaat, 22 Mei.
Jemaah yang mahu ke Masjid Darul Ghufran amat digalakkan agar menimbangkan sesi solat kedua bagi pengalaman yang lebih selesa, kata Muis.
Dalam kenyataannya Muis menggesa jemaah supaya menimbangkan menghadiri sesi solat kedua dan ketiga.
Sesi itu pada amnya kurang sesak dan mungkin sesuai untuk keluarga yang mempunyai anak kecil, warga emas, dan mereka yang memerlukan akses yang lebih mudah ke kemudahan masjid.
Orang ramai boleh mengakses maklumat terkini tentang pengaturan solat Hari Raya Haji, termasuk waktu solat, ruang Muslimah dan bahasa khutbah di go.gov.sg/rayaprayer (masjid) dan go.gov.sg/rayaprayersupp (tempat tambahan).
Jemaah juga boleh melayari maps.gov.sg/raya-prayer untuk mencari tempat solat yang mudah, kata Muis.
Muis turut menggesa mereka yang memandu agar meletak kereta secara bertanggungjawab di tempat letak kereta yang ditetapkan kerana kereta yang diletakkan secara sembarangan boleh menghalang kenderaan kecemasan dan menyebabkan kesulitan kepada penduduk di kawasan kejiranan tersebut.
“Muis memohon sokongan masyarakat agar kekal bertanggungjawab secara sosial semasa majlis yang diberkati ini.
“Jemaah digalakkan untuk menunjukkan kebaikan dan kesabaran kepada kakitangan masjid dan sukarelawan yang menyokong operasi solat di seluruh Singapura,” kata Muis.
