Masyarakat Dawoodi Bohra Singapura telah mendermakan $100,000 kepada Cabaran Presiden sebagai sebahagian daripada acara sambutan Hari Raya di Masjid Burhani di City Hall pada 12 April.
Menurut satu kenyataan oleh wakil masyarakat itu, jumlah itu merupakan sumbangan terbesar yang dibuat oleh masyarakat Dawoodi Bohras Singapura dalam sejarahnya selama 150 tahun.
Cek itu disampaikan Ketua Dawoodi Bohra Singapura, Encik Janab Aamil Saheb Shaikh Huzaifa Bahrainwala, kepada Pengerusi Bersama Cabaran Presiden, Cik Teoh Zsin Woon.
Acara itu turut dihadiri Menteri Kanan pada waktu itu, Encik Teo Chee Hean.
Ketua Perhubungan Awam Dawoodi Bohra Singapura, Dr Mustafa Izzuddin, berkata:
“Apa yang mendorong masyarakat Dawoodi Bohra untuk berbakti sebagai dermawan... adalah hasil manfaat daripada persekitaran yang selamat dan sekular, yang membolehkan masyarakat kami berkembang sebagai minoriti di Singapura.”
Encik Janab berkata sumbangan itu mengesahkan usaha sedia ada masyarakat tersebut bagi memperjuangkan matlamat sosial, menggalakkan kepelbagaian budaya dan menyokong usaha pembinaan negara.
Dawoodi Bohra berasal Gujarati India, dengan ramai daripada mereka merupakan pedagang.
Masyarakat tersebut telah lama hidup secara aman di negara ini, dengan terdapat sekitar 1,000 anggota masyarakat itu di Singapura, dan 1.5 juta anggota sedunia.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg