Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tiga masjid bersatu dalam agihan daging korban

Masjid Al-Amin, Masjid Al-Falah dan Masjid Burhani turut agih nasi beriani kepada 300 keluarga, individu memerlukan
Jul 8, 2024 | 8:00 PM
Kira-kira 300 keluarga dan individu menerima daging korban serta pek beriani daripada Masjid Al-Amin, Masjid Al-Falah dan Masjid Burhani pada 29 Jun lalu. Anggota Parlimen (AP) Radin Mas, Encik Melvin Yong (dua dari kanan), turut hadir untuk membantu mengagihkan daging korban pada acara tersebut.
Kira-kira 300 keluarga dan individu menerima daging korban serta pek beriani daripada Masjid Al-Amin, Masjid Al-Falah dan Masjid Burhani pada 29 Jun lalu. Anggota Parlimen (AP) Radin Mas, Encik Melvin Yong (dua dari kanan), turut hadir untuk membantu mengagihkan daging korban pada acara tersebut. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

SalamSG Korban (SSGK) telah bekerjasama dengan 52 masjid untuk melaksanakan ibadah korban di Australia pada 2024.

Sebanyak 4,323 haiwan ternakan yang terdiri daripada kambing biri-biri dan lembu telah disembelih di rumah penyembelihan yang diluluskan di Australia.

Seperti tahun-tahun sebelumnya, daging korban diterbangkan ke Singapura dan dibahagikan kepada golongan kurang berkemampuan yang terdiri daripada penerima zakat, pekerja migran dan kumpulan yang memerlukan.

Buat kali pertama, tiga masjid dari kelompok masjid selatan iaitu Masjid Al-Amin, Masjid Al-Falah dan Masjid Burhani telah bekerjasama dalam mengadakan acara pengagihan daging korban dan pemberian bungkusan nasi beriani kepada 300 keluarga dan orang perseorangan yang memerlukan.

Golongan penerima itu termasuk penerima zakat Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) dan skim bantuan Kelab Masyarakat Radin Mas serta Pekerja Migran Muslim.

Sebanyak 600 kilogram daging telah diagihkan dalam acara yang turut dihadiri oleh Anggota Parlimen (AP) Radin Mas, Encik Melvin Yong, pada 29 Jun.

Anggota Lembaga Pentadbir Masjid Al-Falah dan penyelia hubungan awam bagi Masjid Burhani, Dr Mustafa Izzuddin, mengalu-alukan kerjasama seperti ini yang mampu membantu masyarakat Islam di Singapura.

“Kerjasama ini membantu untuk mewujudkan kesepaduan antara masjid dan memanfaatkan kekuatan masing-masing untuk memenuhi matlamat perkara ini.

“Ia boleh memberikan kesan berganda kepada masjid lain untuk terus menjalin kerjasama untuk kebaikan masyarakat,” katanya.

Ketiga-tiga masjid menyumbang dengan cara tersendiri.

Masjid Al-Amin menyediakan tempat dan tenaga kerja untuk pengagihan daging; Masjid Al-Falah mempunyai hubungan yang kuat dengan masyarakat Muslim Bangladesh di sini; dan Masjid Burhani sering menyediakan juadah nasi beriani secara besar-besaran.

Naib Pengerusi Masjid Al-Amin, Encik Haji Nordin Mustafa, berharap acara sebegini mampu memberikan keceriaan kepada penerima daging korban sempena sambutan Hari Raya Aidiladha kali ini.

“Kami amat bersyukur dan berbesar hati dapat menganjurkan acara ini di masjid kami.

“Kami seronok dapat bersama dan ikut turut serta untuk membawa senyuman dan kebahagiaan kepada lebih daripada 200 penerima zakat, keluarga yang kurang bernasib baik dan pekerja migran Islam,” tambahnya.

Selain daripada staf dan sukarelawan yang terdiri daripada tiga masjid itu, acara tersebut juga dapat mengumpulkan sukarelawan daripada kumpulan Volunteers on Wheel (VoW) seperti MantapSG dan ForesterSG untuk bantu dalam proses pengagihan.

Encik Melvin melancarkan majlis ‘flag-off’ sebelum kumpulan itu bergerak menaiki kereta dan menuju ke rumah beberapa benefisiari untuk menghantar daging dan nasi beriani.

Sebelum itu, sesetengah penerima telah hadir ke Masjid Al-Amin untuk menerima daging mereka yang disaksikan juga oleh Encik Melvin.

Ketua Dawoodi Bohra Singapura, Shaikh Huzaifa Bahrainwala, berkata pembahagian nasi beriani, yang disediakan dan ditaja oleh masyarakat Singapura Dawoodi Bohra daripada masjid tersebut, memberi peluang untuk masyarakat Dawoodi Bohra mendampingi masyarakat.

“Hasil dorongan untuk bekerjasama antara agama, masyarakat Dawoodi Bohra Singapura, yang berjumlah kira-kira 900 orang di Singapura, gembira dapat memberi kembali kepada masyarakat melalui inisiatif murni iaitu beriani.”

Tambah Dr Mustafa pula, penerima daging korban dan nasi beriani melahirkan rasa syukur atas sumbangan yang diberikan.

“Ia sedikit sebanyak telah membawa kegembiraan kepada diri penerima pada Hari Raya Aidiladha tahun ini (2024),” ujar beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg