Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Masyarakat India telah buat sumbangan besar kepada S’pura

PM Wong galak belia terima asal usul mereka namun turut bergaul dengan warga di luar komuniti agar luaskan ruang bersama
Apr 13, 2025 | 8:49 PM
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong (kiri), berswafoto bersama peserta belia daripada kalangan masyarakat India di Singapura di acara ‘Vaanga Ippo Pesalaam Chat’ (Mari, kita berbual dalam bahasa Tamil).
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong (kiri), berswafoto bersama peserta belia daripada kalangan masyarakat India di Singapura di acara ‘Vaanga Ippo Pesalaam Chat’ (Mari, kita berbual dalam bahasa Tamil). - Foto TM

Kaum India di Singapura telah memberikan sumbangan besar kepada negara dalam pelbagai bidang, termasuk dalam perniagaan, industri dan kementerian.

Demikian dinyatakan oleh Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, dalam sesi dialog pada 13 April.

Dalam sesi dialog, ‘Vaanga Ippo Pesalaam Chat’ (Mari, kita berbual dalam bahasa Tamil), atau ‘VIP Chat’, dianjurkan oleh akhbar, Tamil Murasu, dan diadakan di Huone Singapore, sebuah ruang acara di Clarke Quay, Encik Wong, berkata:

“Anda mungkin sebuah masyarakat yang kecil, tetapi sumbangan anda kepada Singapura dan kesan yang anda bawa tidak kecil sama sekali.

“Malah, saya akan katakan anda sudah pun mencerminkan semangat Singapura. Kisah anda adalah kisah Singapura – kecil tetapi berupaya memberi kesan yang besar.”

Dalam ucapan pembukaannya, Encik Wong berkata, Singapura telah banyak meraih manfaat daripada khidmat ramai penjawat awam berbangsa India, termasuk Menteri Negara Kanan (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Dr Janil Puthucheary.

Dr Janil turut hadir dalam sesi dialog selama sejam itu bersama sekitar 130 belia.

Menurut Encik Wong, akan ada calon baru dalam Parti Tindakan Rakyat (PAP) daripada kalangan masyarakat India.

Encik Wong telah memperkenalkan lapan wajah baru PAP dalam satu video dan berkata parti itu akan menampilkan lebih 30 calon baru – jumlah paling ramai dalam sejarah baru-baru ini – dalam senarai calon yang dijangka bertanding dalam Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025).

Mereka akan diperkenalkan secara berperingkat mengikut kawasan pilihan raya dalam beberapa hari akan datang.

Dalam ucapannya, Encik Wong menggalakkan peserta agar terus membina identiti India Singapura yang tersendiri.

Beliau berkata masyarakat India di Singapura sangat berbilang, dan telah mengekalkan tradisi sambil berkembang menjadi satu budaya yang berbeza.

“Bagi orang India Singapura, nilai, norma dan cara pemikiran anda adalah berbeza daripada orang India di India.

“Dan ini sesuatu yang sangat berharga yang telah kita bina di sini. Ia adalah satu sikap, minda dan cara hidup yang bersifat Singapura.

“Anda boleh berbangga dengan akar budaya anda dan pada masa yang sama berbangga menjadi rakyat Singapura, dan inilah maksud sebenar menjadi orang Singapura,” ujar Encik Wong.

Di samping itu, beliau turut menggalakkan peserta agar menerima asal usul mereka, namun dalam masa yang sama, turut bergaul dengan rakyat Singapura lain di luar komuniti mereka supaya dapat “meluaskan ruang bersama yang kita kongsi”.

“Beginilah cara kita, walaupun sebagai sebuah negara kecil, (kita) boleh memastikan kita kekal kuat dan bersatu padu.

“Kita boleh terus hidup dalam harmoni antara satu sama lain, walaupun dunia kini semakin bergolak,” tambahnya.

Dr Janil menyatakan bahawa saiz masyarakat India yang kecil sebenarnya boleh menjadi satu kelebihan.

“Kita boleh kekal berhubung rapat dengan semua orang, memanfaatkan semua hubungan, rangkaian, persahabatan dan kepercayaan yang ada.

“Ini adalah kelebihan menjadi sebuah masyarakat yang kecil dan berpotensi lebih rapat,” kata Dr Janil.

Dr Janil turut berkata bahawa walaupun kebanyakan belia di Singapura berkongsi kebimbangan yang sama, masyarakat India mewakili isu berkaitan kaum, agama dan bahasa dengan cara yang berbeza.

Sesi itu dihadiri oleh belia berusia antara 18 dengan 35 tahun, dan mewakili empat universiti serta 14 pertubuhan masyarakat.

Mereka mengemukakan pelbagai soalan daripada usaha melindungi masyarakat India dalam menghadapi peningkatan keganasan etno-agama, sehinggalah kebimbangan berkaitan kos sara hidup, perumahan dan pekerjaan.

Sebagai respons, para panelis menyeru rakyat Singapura agar sentiasa berwaspada terhadap pandangan ekstrem, dan meyakinkan peserta bahawa pemerintah sedang menangani isu-isu asas yang dibangkitkan.

Antara peserta, ialah Presiden, Persatuan Belia Sikh (Singapura), Encik Harishpal Singh, 32 tahun, penganalisis perniagaan dalam sektor Teknologi Maklumat (IT).

Beliau berkata, wadah penglibatan belia seperti itu penting untuk membantu penggubal dasar memahami sentimen kumpulan tertentu dengan lebih berkesan dan dengan cara yang membina.

“Penglibatan sebegitu dengan perdana menteri atau menteri lain memberi peluang kepada kami untuk menyuarakan kebimbangan ini dan meminta ia ditangani,” ujar Encik Singh yang berkata peranannya ialah untuk membawa kembali maklumat dan idea kepada pasukan dan masyarakatnya.

“Saya boleh menggunakan maklumat ini untuk mencipta inisiatif yang selaras dengan dasar sedia ada atau akan datang supaya kita semua bergerak ke hadapan sebagai sebuah negara,” ujarnya.

Sesi dialog itu dijalankan di bawah peraturan Chatham House, yang membenarkan pelaporan terhadap apa yang dikatakan tetapi bukan siapa yang mengatakannya – termasuk peserta dan panelis – bagi menggalakkan perbincangan yang jujur dan terbuka.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg