Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Masyarakat Nee Soon kumpul dana untuk Gaza, salur $28,600 kepada RLAF

Oct 28, 2023 | 10:19 PM
HULUR BANTUAN: Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K. Shanmugam (tengah) dan Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim (sembilan dari kiri)  bergambar bersama ahli akar umbi dan wakil pertubuhan keagamaan serta rakan masyarakat Nee Soon dalam majlis penyampaian cek kepada Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF) di Kelab Masyarakat Nee Soon Central pada Sabtu malam.
HULUR BANTUAN: Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K. Shanmugam (tengah) dan Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim (sembilan dari kiri) bergambar bersama ahli akar umbi dan wakil pertubuhan keagamaan serta rakan masyarakat Nee Soon dalam majlis penyampaian cek kepada Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF) di Kelab Masyarakat Nee Soon Central pada Sabtu malam. - Foto BH oleh HARITH MUSTAFFA

Lebih $28,600 telah didermakan oleh masyarakat Nee Soon, pada hari pertama pihak akar umbi dan rakan masyarakat kawasan undi itu melancarkan usaha kumpul dana selama sebulan bagi mangsa krisis Gaza pada Sabtu malam.

Usaha mengumpul dana bagi sokongan kemanusiaan kepada mangsa yang dibayangi ketegangan antara Israel dengan kumpulan Hamas itu akan berlangsung hingga 30 November.

Semua derma yang dikumpul sehingga 31 Oktober akan disalurkan kepada Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF) sementara baki derma hingga hujung November bakal akan diderma kepada Pertubuhan Palang Merah Singapura (SRC).

Berucap dalam majlis penyampaian cek kepada RLAF di Kelab Masarakat Nee Soon Central, Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K. Shanmugam, menyebutkan daya usaha ini sebagai satu petunjuk semangat dan ‘inti hati’ warga Singapura.

“Hari ini (Sabtu) adalah satu paparan bagi menawarkan sokongan kepada mangsa. Hari ini, adalah tanda petunjuk di mana hati kita sama-samaberada,” kata Encik Shanmugam kepada sekitar 150 hadirin terdiri daripada anggota masyarakat dan aktivis akar umbi di kejiranan Nee Soon.

“Sesiapa yang sedang menderita, kita akan menawarkan sokongan, dan hari ini kita telah bersatu untuk menyokong penduduk di Gaza,” tambahnya.

“(Bantuan) Ini kita hulurkan kepada semua yang sedang menderita, tidak kira bangsa atau agama mereka.”

TABUNG DERMA: Derma tunai yang dikumpul semasa acara penyampaian cek pada malam Sabtu daripada hadirin.
TABUNG DERMA: Derma tunai yang dikumpul semasa acara penyampaian cek pada malam Sabtu daripada hadirin. - Foto BH oleh HARITH MUSTAFFA

Sepanjang acara berlangsung sekitar sejam, hadirin kelihatan memasukkan wang kepada sebuah tabung yang disediakan di tempat acara berkenaan untuk menghulurkan derma itu.

Pihak Nee Soon berkata penduduk boleh menghulurkan derma dalam bentuk cek yang dikirim kepada pihak RLAF hingga 31 Oktober; dan kepada SRC antara 1 hingga 30 November menerusi semua Kelab Masyarakat Nee Soon.

Encik Shanmugam berkata pihaknya di Nee Soon akan memperluas daya usaha mengumpulkan derma itu menerusi saluran media sosial akar umbi dan menyebarkan maklumat di lobi lif kejiranan kawasan itu.

Beliau memberitahu usaha ini dirancang sejak seminggu lalu dan beliau akur ramai warga Singapura terkesan terhadap apa yang sedang berlaku di rantau Timur Tengah itu.

Encik Shanmugam berkata sambutan dari seluruh masyarakat terhadap usaha itu di Nee Soon amat menggalakkan, juga daripada pihak kuil Hindu dan juga Cina, gereja, masjid serta pemimpin masyarakat.

SEMANGAT PADU: Lebih 150 orang terdiri daripada wakil pertubuhan keagamaan, pihak akar umbi dan rakan masyarakat Nee Soon, hadir semasa majlis penyampaian cek kepada RLAF di Kelab Masyarakat Nee Soon Central pada Sabtu bagi membantu usaha kemanusiaan bagi mangsa di Gaza.
SEMANGAT PADU: Lebih 150 orang terdiri daripada wakil pertubuhan keagamaan, pihak akar umbi dan rakan masyarakat Nee Soon, hadir semasa majlis penyampaian cek kepada RLAF di Kelab Masyarakat Nee Soon Central pada Sabtu bagi membantu usaha kemanusiaan bagi mangsa di Gaza. - Foto BH oleh HARITH MUSTAFFA

Dalam ucapannya beliau juga menerangkan pendirian Singapura semasa Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB); iaitu untuk mencapai resolusi bagi melindungi orang awam dan mematuhi undang-undang kemanusiaan semasa konflik di Jaluran Gaza.

Encik Shanmugam memberitahu wartawan beliau telah bertemu dengan pemimpin dan wakil masyarakat Melayu/Islam awal Sabtu menyusuli isu berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) RLAF, Encik Muhd Faizal Othman berkata jumlah derma yang diterima RLAF bagi mangsa Gaza telah mencecah sekitar $3.4 juta tengah hari Sabtu.

Selain beliau, majlis itu turut dihadiri Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim; dan para Anggota Parlimen GRC Nee Soon; Encik Louis Ng, Encik Derrick Goh dan Cik Carrie Tan.

Dr Faishal berkata daya usaha itu selain memaparkan semangat padu antara masyarakat berbilang bangsa di Singapura juga menyediakan wadah bagi mereka yang hendak melakukan sesuatu semasa dibayangi sebuah situasi yang dipenuhi kesedihan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg