Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Masyarakat, pemerintah perlu campur tangan atasi pengalaman buruk kanak-kanak

Oct 14, 2024 | 7:38 PM
Setiausaha Parlimen Kanan (Pembangunan Sosial dan Keluarga), Encik Eric Chua, berkata masyarakat dan pemerintah perlu campur tangan dan menyokong mereka yang telah melalui lebih banyak Pengalaman Buruk Kanak-Kanak (ACE).
Setiausaha Parlimen Kanan (Pembangunan Sosial dan Keluarga), Encik Eric Chua, berkata masyarakat dan pemerintah perlu campur tangan dan menyokong mereka yang telah melalui lebih banyak Pengalaman Buruk Kanak-Kanak (ACE). - Foto MDDI

Walaupun sebahagian besar kes Pengalaman Buruk Kanak-Kanak (ACE) di Singapura dan kesannya boleh dicegah atau dikurangkan, sebilangan individu yang telah melalui lebih banyak ACE atau yang lebih buruk, akan memerlukan lebih sokongan.

Sehubungan itu, masyarakat dan pemerintah akan perlu campur tangan dan menyokong mereka, kata Setiausaha Parlimen Kanan (Pembangunan Sosial dan Keluarga), Encik Eric Chua, di sidang Parlimen pada 14 Oktober.

ACE merujuk kepada peristiwa tekanan atau trauma yang berlaku sejak lahir hingga usia 18 tahun, dan mengakibatkan bahaya atau potensi bahaya kepada kanak-kanak itu.

Encik Chua berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Anggota Parlimen Dilantik (NMP), Profesor Madya Razwana Begum Abdul Rahim, menyusuli kajian oleh Institut Kesihatan Mental (IMH) dengan kerjasama Hospital Wanita dan Kanak-kanak KK (KKH) pada Julai, yang mendedahkan bahawa masyarakat dijangka menanggung tambahan $767 dalam jumlah kos setahun bagi individu yang terdedah kepada sebarang bentuk ACE berbanding dengan mereka yang tidak terdedah pada keadaan itu.

Anggota Parlimen Dilantik (NMP), Profesor Madya Razwana Begum Abdul Rahim, bertanya di Parlimen pada 14 Oktober tentang respons kementerian mengenai kos yang terlibat dalam menangani kes Pengalaman Buruk Kanak-Kanak (ACE).
Anggota Parlimen Dilantik (NMP), Profesor Madya Razwana Begum Abdul Rahim, bertanya di Parlimen pada 14 Oktober tentang respons kementerian mengenai kos yang terlibat dalam menangani kes Pengalaman Buruk Kanak-Kanak (ACE). - Foto MDDI

Bersetuju bahawa setiap ACE melibatkan kos, Encik Chua memberi jaminan bahawa Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) sedang memperkukuh campur tangan lebih awal untuk memupuk hubungan keluarga yang kukuh dan berdaya tahan serta melengkapi keluarga dengan keupayaan membentuk sekitaran selamat buat anak-anak mereka.

Ini kerana “keluarga membentuk asas masyarakat” dan merupakan “barisan sokongan pertama” buat ramai orang, katanya.

Namun buat sekumpulan kecil, usaha keluarga sahaja tidak cukup dan ia memerlukan bantuan pemerintah serta masyarakat.

Menukil antara contoh usaha MSF, Encik Chua berkata:

“Jadi bagi kanak-kanak yang telah mengalami penderaan atau pengabaian, MSF bekerjasama dengan agensi serta rakan masyarakat untuk menyediakan campur tangan trauma berdasarkan bukti, bagi menangani trauma tersebut serta keperluan emosi dan tingkah laku lain supaya dapat membantu mereka membangunkan mekanisme menangani masalah yang sihat dari segi kanak-kanak yang telah tinggal dengan anggota keluarga yang sedang atau pernah dipenjara.”

Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam, memberi jaminan di Parlimen pada 14 Oktober bahawa pakar klinik dan penyedia penjagaan kesihatan sudah dilatih untuk mengenal pasti tanda-tanda ACE.
Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam, memberi jaminan di Parlimen pada 14 Oktober bahawa pakar klinik dan penyedia penjagaan kesihatan sudah dilatih untuk mengenal pasti tanda-tanda ACE. - Foto MDDI

Dari sudut penjagaan kesihatan, Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam, memberi jaminan bahawa pakar klinik dan penyedia penjagaan kesihatan sudah dilatih untuk mengenal pasti tanda-tanda ACE supaya dapat mengesan kanak-kanak ini pada peringkat awal.

Menteri Negara (Pendidikan merangkap Tenaga Manusia), Cik Gan Siow Huang, berkata di Parlimen pada 14 Oktober bahawa pendidik sekolah dan prasekolah telah untuk mengesan tanda-tanda penderaan kanak-kanak.
Menteri Negara (Pendidikan merangkap Tenaga Manusia), Cik Gan Siow Huang, berkata di Parlimen pada 14 Oktober bahawa pendidik sekolah dan prasekolah telah untuk mengesan tanda-tanda penderaan kanak-kanak. - Foto MDDI

Begitu juga dari sudut pendidikan, Menteri Negara (Pendidikan merangkap Tenaga Manusia), Cik Gan Siow Huang, berkata pendidik sekolah dan prasekolah telah dilatih untuk mengenal pasti tanda-tanda perubahan fizikal, tingkah laku atau emosi dalam pelajar serta mengesan tanda-tanda penderaan kanak-kanak.

Selanjutnya, pihak sekolah akan bekerjasama dengan ibu bapa serta agensi perkhidmatan sosial bagi menyokong mereka yang telah melalui ACE, katanya.

Cik Rahayu menambah bahawa usaha mengatasi ACE melibatkan pelbagai kementerian bagi “memastikan bahawa semua orang yang berinteraksi dengan mereka akan benar-benar mampu mengenal pasti dan bantu dan menanganinya lebih awal”.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg