Topik diikuti
Pergi ke BHkuMasyarakat Sindhi warga contoh, bina jambatan sepadukan masyarakat S'pura: PM Lee
Masyarakat Sindhi warga contoh, bina jambatan sepadukan masyarakat S'pura: PM Lee
KEPELBAGAIAN Singapura tidak statik dan negara ini terus mengalu-alukan kedatangan pendatang dari merata dunia, sedang ia mengekalkan keseimbangan kaumnya secara meluas stabil, kata Perdana Menteri Lee Hsien Loong pada Ahad (13 Mac).
Namun, penting bagi kedatangan baru sebegitu berusaha untuk menyepadukan diri dalam masyarakat setempat walaupun mereka mengekalkan identiti dan budaya mereka yang tersendiri, tambah Encik Lee.
"Setiap kumpulan menambah pada warna-warni sosial kita yang kaya serta melanjutkan hubungan kita dengan masyarakat yang menetap di banyak bahagian dunia ini," kata Encik Lee.
Beliau menambah: "Dengan memupuk identiti Singapura yang dikongsi dan rasa kekitaan, kita akan kekal sebagai masyarakat yang padu dan bersatu."
Menyampaikan ucapannya pada sambutan ulang tahun ke-100 Persatuan Sindhi Singapura (SSA), yang diadakan di Hotel Shangri-La, Encik Lee menambah inilah yang dicapai masyarakat Sindhi setempat.
Persatuan ini khususnya telah membantu memupuk perpaduan antara masyarakat dan kumpulan perkauman lain serta menyumbang juga kepada masyarakat secara meluas, jelas Encik Lee.
Sebagai contoh, anggotanya juga menawarkan khidmat sukarela di rumah penjagaan dan rawatan, menganjurkan sesi derma darah serta membangun klinik guaman pro bono (percuma) buat warga Singapura memerlukan.
Masyarakat Sindhi datang daripada Sindh yang letaknya di negara yang kini dikenali sebagai Pakistan.
Penghijrahan berlaku pada skala besar selepas 1947, di mana pihak British memisahkan sebahagian Asia Selatan kepada India dan Pakistan serta keganasan perkauman turut berlaku ekoran peristiwa ini.
Di Singapura, pedagang Sindhi mula tiba sewaktu awal tempoh penjajahan, dengan SSA ditubuhkan pada 1921 sebagai sebuah kumpulan pedagang. Ia adalah pertubuhan Sindhi paling lama tertubuh di luar India. Kini terdapat sekitar 7,000 warga Sindhi di Singapura.
"Kami bertaburan di merata dunia tetapi kami membuatkan kehadiran kami dirasakan. Kami kecil - hanya 0.001 peratus daripada penduduk...tetapi saya rasa kami melakukan lebih daripada kadar peratusan kami yang kecil ini," kata Presiden SSA, Encik Vashdev Khialani.
Encik Lee mendapati bahawa masyarakat Sindhi di Singapura telah menjadi warga contoh.
"Usaha anda telah membesarkan ruang bersama, membina jambatan dan membawa warga Singapura lebih rapat secara bersama," katanya.