Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Masyarakat yang inklusif mampu tangani bencana dengan lebih baik

Aug 23, 2024 | 7:20 PM
Menteri Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Menteri Kedua Ehwal Dalam Negeri, Cik Josephine Teo, menekankan kepentingan daya usaha bersama daripada masyarakat bagi pengurusan bencana di Asean.
Menteri Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Menteri Kedua Ehwal Dalam Negeri, Cik Josephine Teo, menekankan kepentingan daya usaha bersama daripada masyarakat bagi pengurusan bencana di Asean. - Foto fail

Negara Asean mampu mencapai hasil yang lebih baik dalam menangani bencana apabila ia melibatkan semua lapisan masyarakat, sama ada di peringkat serantau atau nasional.

Demikian ditekankan Menteri Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Menteri Kedua Ehwal Dalam Negeri, Cik Josephine Teo, dalam Dialog Dasar Strategik Asean mengenai Pengurusan Bencana 2024.

Beliau menekankan kepentingan daya usaha bersama daripada masyarakat dalam pengurusan bencana di Asean, rantau yang mudah mengalami bencana alam.

Tsunami Lautan Hindi, yang berlaku pada 2004 dan meragut hampir 230,000 nyawa, menjadi titik perubahan dalam pendekatan pengurusan bencana di rantau ini.

Dua dekad kemudian, Asean telah memperkukuh usahanya dalam pengurusan bencana.

Dalam ucapannya, Cik Teo berkongsi beberapa daya usaha yang sudah dilaksanakan negara Asean secara bersama dalam menangani bencana.

Antaranya ialah Sistem Pemantauan dan Tindak Balas Bencana Asean, yang berfungsi untuk berkongsi maklumat penting mengenai bencana antara negara Asean.

Selain itu, Asean telah menyediakan jaringan keselamatan pada masa krisis, seperti Kemudahan Insurans Risiko Bencana Asia Tenggara (Seadrif).

Ia menyediakan jaminan kewangan segera selepas bencana, membantu negara itu pulih dengan lebih cepat.

Asean juga telah menjalin hubungan yang lebih kukuh dengan badan sektor lain untuk pendekatan lebih komprehensif dalam pengurangan risiko bencana.

“Asean merupakan salah satu kawasan yang pelbagai dan mudah mengalami bencana di dunia.

“Setiap bencana memberi kesan yang berbeza kepada masyarakat berbeza. Yang paling terdedah kepada bencana ialah wanita, kanak-kanak, orang tua dan yang kurang upaya.

“Namun, terdapat sebuah perkara yang kita kongsi – iaitu komitmen untuk tidak meninggalkan sesiapa pun di belakang,” kata Cik Teo.

Pendekatan inklusif Asean boleh dilihat dalam usaha seperti Wawasan Asean 2025 mengenai Pengurusan Bencana, yang menekankan pendekatan rakyat untuk bersama.

Cik Teo turut menukil contoh di Yogyakarta, Indonesia, di mana sebuah organisasi tempatan telah memberikan latihan dan sokongan kewangan kepada masyarakat tempatan untuk meningkatkan respons dan ketahanan terhadap bencana.

Daya usaha itu berjaya menarik lebih 1,600 individu, 780 daripada mereka merupakan golongan kurang upaya, warga tua dan wanita, dari bandar berbeza.

Menurut Cik Teo lagi, Singapura juga telah menerapkan pendekatan inklusif, iaitu “melibatkan setiap segmen masyarakat, dalam usaha meningkatkan daya tahan bencana di dalam negara”.

Usaha seperti Hari Ketahanan Komuniti, yang dianjurkan oleh Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) dan Persatuan Rakyat (PA), bertujuan meningkatkan kesedaran dan kemahiran dalam kalangan masyarakat agar mereka boleh bertindak balas ketika kecemasan.

Aplikasi mudah alih seperti myResponder, yang dibangunkan oleh SCDF, adalah satu lagi contoh bagaimana teknologi digunakan untuk menyelaras individu dalam memberikan bantuan kepada situasi kecemasan di kawasan berdekatan.

Keberkesanan pendekatan itu jelas terlihat dengan lebih 2,300 Pihak Pertama Bertindak dalam Masyarakat (CFR) telah memberikan bantuan kecemasan pada 2023.

Cik Teo turut berkongsi daya usaha masyarakat negara Asean yang lain dalam menangani bencana bersama.

Di Cebu, Filipina, Rangkaian Orang Kurang Upaya dalam Pengurangan Risiko Bencana melatih pemerintah dan pekerja sektor awam dalam menyertakan orang kurang upaya dalam persiapan mereka mengharungi bencana.

Di Thailand, sebuah persatuan, yang dibentuk oleh sekumpulan warga tua di Pong Nam Ron, memimpin pengurusan risiko bencana sebagai sebuah masyarakat.

Mereka telah mengadakan pelbagai daya usaha seperti membina empangan kecil dan menanam pokok di tepi sungai untuk mengurangkan risiko banjir.

Cik Teo mengalu-alukan Jawatankuasa Asean mengenai Pengurusan Bencana (ACDM) dan pihak berkepentingan supaya dapat membincangkan bagaimana “kita secara praktikal boleh mengekalkan komitmen terhadap kepelbagaian dan keterangkuman dalam daya tahan bencana”.

“Keterangkuman adalah matlamat yang memerlukan kerja keras yang berterusan untuk mencapainya. Saya berbesar hati apabila mengetahui bahawa kita berada di landasan yang betul,” ujar Cik Teo. – Muhd Hazman Abd Aziz

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg