Masyarakat
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

200 keluarga terima baju Raya baru dari butik

‘Project Khas Untukmu’ yang dimulakan siswa SUSS suntik ceria kepada penghuni rumah sewa jelang Lebaran
Mar 24, 2025 | 8:23 PM
Antara sukarelawan yang tampil bagi acara pengagihan baju Raya, ‘Project Khas Untukmu (PKU)’, yang dikendalikan pada 23 Mac 2025.
Antara sukarelawan yang tampil bagi acara pengagihan baju Raya, ‘Project Khas Untukmu (PKU)’, yang dikendalikan pada 23 Mac 2025. - Foto PKU

Di ambang sambutan Lebaran dalam masa beberapa hari lagi, sinar harapan dirasakan 200 keluarga kurang berkemampuan yang menetap di flat sewa sekitar Geylang Serai selepas, menerima busana Hari Raya baru.

Daya usaha yang dikenali sebagai, Project Khas Untukmu (PKU), dirasmikan Mayor Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) South East, Encik Mohd Fahmi Aliman, pada 23 Mac.

Ia merupakan sebahagian program Ramadan tahunan, anjuran M3@Geylang Serai, dengan kerjasama Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC) Geylang Serai.

Acara itu membolehkan penerima bantuan memilih sendiri baju Raya mereka daripada hampir 1,000 busana Lebaran berharga antara $150 dengan $300, dari tujuh butik yang menaja.

Ia terdiri daripada BEWA, Sufyaa Bridal, Ilhan Creations, Begum Bridal, Aurah Boutique, AC Collections, dan Persian Boutique.

Pengasas PKU, Cik Maria Zahid, yang juga seorang saintis dan siswa Kejuruteraan Bioperubatan di Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS), memberitahu Berita Harian (BH), beliau mengusahakan projek itu setelah melihat sendiri cabaran yang dihadapi keluarga kurang berkemampuan semasa menjalani latihan amali di Persatuan Rakyat (PA).

Dengan itu, beliau bertekad memberi sokongan lebih bermakna kepada golongan memerlukan.

Cik Maria turut menjelaskan program sebegitu memberi peluang kepada penerima bantuan untuk memilih sendiri busana mereka di samping mempertingkat keyakinan diri dan menyambut Hari Raya dengan penuh keceriaan, sepertimana yang dirasakan umat Islam lain.

“PKU menekankan tentang kepentingan tanggungjawab sosial dan sinergi kemasyarakatan.

“Projek ini adalah hasil usaha penaja bersatu hati menyumbang semula kepada masyarakat, rakan kerjasama penganjur yang bertekad mengusahakan tajaan lokasi dan sukarelawan yang ingin meluangkan masa untuk menjadi sebahagian daripada projek murni ini yang membolehkan golongan kurang berkemampuan rasakan nikmat meraikan Hari Raya dengan baju Raya baru,” jelasnya.

Menurut Cik Maria lagi, jumlah busana yang ditaja pada 2025 meningkat tiga kali ganda berbanding 2024.

Ini merupakan kali ketiga daya usaha itu diadakan dengan Kembangan, Chai Chee dan MacPherson, menjadi kejiranan yang pernah mereka dekati sebelum ini.

Menurut Cik Maria, acara itu mendapat pujian penduduk yang menghargai peluang memperolehi pakaian Raya baru yang cantik rekaan dan juga diperbuat daripada fabrik bermutu.

“Lebih daripada itu, Ramadan sendiri menggalakkan kita untuk bersedekah dan memperbanyakkan amalan kebaikan sambil berkongsi rezeki, menyebarkan kegembiraan, dan saling membangun semangat satu sama lain,” katanya.

Selain sumbangan pakaian, sukarelawan PKU turut diraikan dengan satu majlis iftar khas yang ditaja Black Hole Group sebagai tanda penghargaan atas usaha mereka menjayakan program tersebut.

Bagi projek akan datang, Cik Maria berkongsi hasrat melanjutkan projek itu kepada dua hingga tiga kelompok kejiranan setahun.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg