Satu program pendidikan Islam percuma bagi kanak-kanak anjuran bersama enam pertubuhan telah dilancarkan pada 22 Mac.
Program Pembelajaran kanak-kanak dan Belia Arqam (AKYL), yang dahulunya dikenali sebagai Kelas Kanak-kanak Darul Arqam dan Sekolah Belia (DACCnDAYS) itu bertujuan memastikan setiap kanak-kanak, tanpa mengira latar belakang, mempunyai akses kepada pembelajaran agama.
Pelancarannya berlangsung semasa satu majlis iftar pada 22 Mac bersama 800 tetamu, yang turut dihadiri Menteri Tenaga Manusia, Dr Tan See Leng, yang juga Anggota Parlimen GRC Marine Parade.
Di majlis anjuran Darul Arqam Singapura (MCAS) itu, Dr Tan menegaskan bahawa “kanak-kanak merupakan masa depan kita, dan menjadi tanggungjawab bersama untuk membimbing serta menyokong mereka.”
Inisiatif ini merupakan kerjasama antara enam pertubuhan, termasuk MCAS, Persatuan Dana Amanah Muslimin (MTFA) , Pertapis, Muhammadiyah, Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS), dan Khidmat Masyarakat Epworth.
Menurut Presiden MCAS, Encik Muhammad Imran Kuna Abdullah, kanak-kanak yang menyertai inisiatif ini datang dari pelbagai latar belakang, melambangkan kesatuan dan keterangkuman dalam masyarakat setempat.
“Saya berharap bantuan ini dapat disampaikan kepada setiap kanak-kanak dengan latar belakang yang berbeza.
“Asal usul mereka tidak seharusnya menjadi penghalang untuk mendapat pendidikan yang sewajarnya,” ujar Encik Imran.
Ditubuhkan lebih 20 tahun lalu, program ini bertujuan menyediakan pendidikan Islam yang tersusun bagi setiap kanak-kanak.
Namun buat pertama kali tahun ini, MCAS mengumumkan inisiatifnya untuk menawarkan kelas madrasah hujung minggu secara percuma, termasuk bayaran buku teks dan pakaian seragam.
Tajaan ini juga merangkumi kemudahan pengangkutan bagi perjalanan pelajar dari Stesen MRT Jurong East, Woodlands, Sengkang, dan Tampines ke kelas AKYL yang diadakan di Madrasah Al-Ma’arif Al-Islamiah di Lorong 39 Geylang.
Program madrasah hujung minggu ini menyasarkan kanak-kanak dan belia berusia tujuh hingga 17 tahun, dalam usaha memupuk pendidikan agama mereka dalam persekitaran yang inklusif dan menyokong.
Dengan Pengetahuan Agama (RK) dan Literasi Al-Quran (QL) sebagai dua komponen utama dalam setiap sesi pembelajaran serta aktiviti, Darul Arqam berharap setiap kanak-kanak akan dilengkapi dengan ilmu Islam asas yang penting untuk mereka sebagai Muslim.
Pada masa yang sama MCAS turut meluaskan bantuannya kepada 110 kanak-kanak daripada rumah anak yatim dan keluarga angkat melalui inisiatif kasih sayang dinamakan ‘Cabang Harapan’, atau ‘Branches of Hope’.
Di majlis iftar itu, setiap kanak-kanak menulis hajat mereka pada sekeping daun kertas dan menggantungnya pada ‘pokok simbolik’.
Para hadirin kemudian dijemput untuk memilih hajat yang ingin mereka tunaikan, dan hadiah-hadiah tersebut akan dihantar kepada kanak-kanak selepas Hari Raya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg