Masyarakat
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

21 pelajar terkandas di Doha selamat pulang ke S’pura

Kumpulan kedua seramai 15 pelajar tiba pada 25 Jun pada 6 petang selepas terkandas hampir 24 jam
Jun 25, 2025 | 11:00 AM
Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim (dua dari kiri), menyambut kepulangan 15 pelajar Singapura di Jordan yang terkandas pada 25 Jun di Lapangan Terbang Changi Terminal 1.
Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim (dua dari kiri), menyambut kepulangan 15 pelajar Singapura di Jordan yang terkandas pada 25 Jun di Lapangan Terbang Changi Terminal 1. - Foto MDDI

Encik Talhatul Khair Muhammad Kahfi baru sahaja menamatkan peperiksaan di Universiti Yarmouk, Jordan, pada 22 Jun dan bersemangat ingin pulang ke pangkuan keluarganya di Singapura.

Penerbangan beliau dijadualkan berlepas dari Jordan pada 23 Jun dan mendarat di Singapura pada tengah hari 24 Jun.

Namun, serangan peluru berpandu oleh Iran ke atas sebuah pangkalan tentera Amerika Syarikat di Qatar pada 23 Jun, menyebabkan ruang udara negara Timur Tengah itu ditutup, lantas mengubah haluan perjalanannya.

Akibatnya, Encik Talhatul Khair, 24 tahun, terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Doha, Qatar, selama hampir 24 jam.

Beliau merupakan salah seorang daripada kumpulan kedua seramai 15 pelajar Singapura yang menuntut di Jordan dan terkandas di sana.

Pesawat yang dinaikinya dari Amman, Jordan, ke Doha terpaksa mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammed Bin Abdulaziz, Madinah, Arab Saudi, sebelum meneruskan perjalanan ke Doha.

Kumpulan pelajar itu tiba di Doha pada 24 Jun, 5 pagi (waktu Qatar) dan berangkat ke Singapura pada 5 pagi keesokan harinya.

Mereka selamat mendarat di Terminal 1, Lapangan Terbang Changi, sekitar 6 petang, 25 Jun.

Sebelum itu, kumpulan pertama enam pelajar – yang menuntut di Jordan dan Mesir – terkandas di Doha selama 13 jam, telah tiba di Singapura lebih awal, sekitar 1.15 pagi pada hari yang sama.

Secara keseluruhannya, seramai 21 pelajar yang menuntut di Jordan dan Mesir terjejas dalam perjalanan pulang mereka.

Ini memandangkan ruang udara beberapa negara di Teluk Parsi ditutup beberapa jam sebelum dan selepas Iran menyerang pangkalan udara Amerika Syarikat pada 23 Jun.

Ia adalah serangan balas selepas Amerika mengebom tiga tapak nuklear di Iran.

Konflik bersenjata terkini antara Israel dengan Iran tercetus selepas Israel menyerang Teheran pada 13 Jun.

Apabila dihubungi Berita Harian (BH) Encik Talhatul Khair, pelajar tahun keempat jurusan Syariah, yang dalam perjalanan pulang, berkata selepas melalui pengalaman mencemaskan itu, beliau berharap ia adalah kali pertama dan terakhir untuknya.

Beliau memberi bayangan betapa bimbangnya pelajar tahun pertama yang turut bersamanya ketika perjalanan pulang.

“Boleh lihat kerisauan pada wajah mereka kerana mereka tidak pernah lalui kelewatan penerbangan.

“Ada yang benar-benar tidak sabar ingin pulang. Maka apabila terkandas, bermacam-macam perkara yang bermain di fikiran mereka, seperti berapa lama yang harus kita harungi sehingga selamat menaiki penerbangan,” ujarnya.

Beliau menambah pelajar lain pula cuba mengisi masa menunggu penerbangan dengan membaca, berborak-borak dan meneroka lapangan terbang.

Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, turut menyambut kepulangan 15 pelajar itu selepas menghadiri sambutan kepulangan jemaah haji Singapura.

Bercakap kepada wartawan ketika menyambut kepulangan jemaah haji Singapura pada 25 Jun di Lapangan Terbang Changi Terminal 3, Dr Faishal berkata beliau bersyukur kerana bukan sahaja jemaah haji selamat mendarat bahkan juga pelajar yang terkandas di Doha.

“Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) telah berhubung dengan para pelajar yang sedang dalam perjalanan pulang ke Singapura.

“Jadi sama-sama kita doakan keselamatan rakan-rakan kita di sana dan saya harap sama-sama kita dapat memberikan nasihat dan doakan kedamaian di dunia ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, Cik Siti Nur Fatimah Abdul Rashid, 21 tahun, yang merupakan antara kumpulan pertama seramai enam pelajar, berkata ketika terkandas di Doha, pelajar risau mengenai berita serangan itu.

Beliau berkongsi bahawa beliau terus menghubungi Pegawai Perhubungan Pelajar (SLO) Muis yang telah memberikan sokongan moral.

Selepas membuka semula ruang udara itu, Lapangan Terbang Antarabangsa Hamad mengarahkan penumpang yang terjejas agar ke Dek Pemindahan atau Transfer Deck untuk mendapatkan penerbangan baru, kata Cik Fatimah.

Menurutnya, keadaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Hamad di Doha amat sibuk dan kacau-bilau, dengan ramai yang beratur untuk mendapatkan tiket.

“Kalau kami tak sabar untuk terus beratur, memang kami tak akan dapat penerbangan seterusnya untuk pulang ke rumah,” ujarnya.

Sekumpulan ibu bapa yang ditemui BH di Lapangan Terbang Changi berkata mereka bersyukur dengan kepulangan anak-anak mereka dan saling menyokong satu sama lain, dengan harapan anak-anak mereka selamat sampai ke Singapura.

Cik Fauziah Abdul Kader, 55 tahun, pemodel maklumat bangunan, berkata sepanjang menunggu kepulangan puterinya, Cik Fardhiah Azizu Rahman, 20 tahun, pelajar tahun pertama jurusan Syariah di Universiti Yarmouk, Jordan, beliau sentiasa berjaga untuk terus berhubung dengannya.

Menurutnya, ramai ibu bapa turut berhubung rapat antara satu sama lain, meluahkan kebimbangan serta saling memberi sokongan di wadah seperti WhatsApp.

Beliau lega dan bersyukur sebaik sahaja anak beliau akhirnya berjaya menaiki pesawat dan memaklumkannya melalui panggilan video.

Encik Muhammad Salihin Sulaiman Jeem, 59 tahun, tenaga pengajar penerbangan, yang menanti kepulangan anaknya, Cik Ilya Umairah, 20 tahun, daripada Universiti Yarmouk, pula menambah:

“Mereka terkandas di pintu pelepasan dan tak dibenarkan keluar.

“Kami risau mereka lapar, penat, malah ada yang kekurangan wang. Kami cuba bantu sedaya mungkin dari jauh – kerana kami tahu selalunya di kawasan transit mahal,” ujarnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg