Sekumpulan 21 pelajar dari Singapura yang menuntut di Jordan dan Mesir dan sedang dalam perjalanan pulang ke Singapura terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Doha di Qatar pada 24 Jun apabila ruang udara di negara Timur Tengah itu ditutup.
Ini menyusuli serangan peluru berpandu Iran ke atas sebuah pangkalan tentera Amerika Syarikat di Qatar pada 23 Jun.
Sehingga 4 petang pada 24 Jun (waktu Singapura) dan selepas penantian 13 jam, enam pelajar lelaki dan perempuan itu berjaya menempah penerbangan baru untuk pulang apabila ruang udara di Doha dibuka semula.
Mereka dijadual tiba di Lapangan Terbang Changi sekitar 10 malam pada 24 Jun dengan penerbangan Qatar Airways QR944.
Namun, kumpulan kedua pelajar – seramai 15 orang – dari Jordan pula masih terkandas di Doha selepas pesawat yang dinaiki mereka dari Amman, Jordan untuk ke Doha, terpaksa mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammed Bin Abdulaziz, Madinah, Arab Saudi apabila ruang udara Doha ditutup.
Mereka tiba di Doha dari Madinah dengan menaiki pesawat yang sama dari Jordan dan sehingga akhbar ini dicetak, sedang menanti penerbangan baru untuk pulang ke Singapura.
Dua kumpulan pelajar itu berhasrat pulang ke Singapura sempena cuti penggal.
Apabila dihubungi Berita Harian (BH), seorang pelajar yang berjaya mendapat penerbangan baru, Cik Siti Nur Fatimah Abdul Rashid, 21 tahun, berkata mereka sudah terkandas selama lebih 13 jam di Doha.
Beliau dan lima pelajar lain dijadual menaiki penerbangan Qatar Airways QR942 ke Singapura pada 7.45 malam pada 23 Jun (waktu Qatar).
Namun, apabila mereka menuju ke pintu pelepasan pada 7 malam, mereka mendapati terdapat ramai orang berkumpul di sana.
Mereka diberitahu penerbangan mereka dibatalkan sekitar 2 pagi.
“Ketika itulah semuanya berlaku, kami melihat terdapat ramai orang dan terdapat rasa ingin tahu dalam diri kami mengenai apa yang sedang berlaku.
“Kemudian kami nampak berita – tepat pada waktu itu, semasa kami berada di pintu pelepasan – terdapat berita tentang amaran di Qatar, Doha,” ujar Cik Fatimah, pelajar tahun 2 jurusan Fiqh Usul di Universiti Yarmouk itu.
Ruang udara di beberapa negara di Teluk Parsi, termasuk di Qatar dan Amiriah Arab Bersatu (UAE) ditutup beberapa jam sebelum dan selepas Iran menyerang pangkalan udara Amerika di Qatar pada 23 Jun.
Selepas dibuka semula, beberapa syarikat penerbangan menyambung operasi di beberapa lapangan terbang tersibuk di dunia.
Selepas membuka semula ruang udara itu, Lapangan Terbang Antarabangsa Hamad mengarahkan penumpang yang terjejas agar ke Dek Pemindahan atau Transfer Deck untuk mendapatkan penerbangan baru, kata Cik Fatimah.
Menurutnya, keadaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Hamad di Doha amat sibuk dan kacau-bilau.
Beliau berkata mereka perlu beratur bersama orang ramai yang juga ingin mendapatkan penerbangan baru.
Seorang lagi pelajar, Encik Talhatul Khair Muhammad Kahfi, 24 tahun, yang terpaksa mendarat di Madinah, memberitahu BH bahawa beliau sudah menerima berita mengenai penutupan ruang udara Qatar sebelum berlepas dari Jordan.
Beliau bersyukur kerana masih dapat berlepas ke Doha meskipun dengan berita penutupan tersebut.
Namun, pelajar tahun 4 jurusan Syariah di Universiti Yarmouk itu tidak menyangka pesawat yang dinaiki akhirnya terpaksa mendarat di lokasi lain.
“Sekitar 20 hingga 30 minit selepas berlepas, tiba-tiba kapten buat pengumuman bahawa ruang udara Qatar ditutup dan pesawat kami terpaksa mendarat di Madinah,” ujarnya.
Menjawab pertanyaan BH, Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) berkata ia sedang memantau rapi keadaan pelajar-pelajar Singapura yang terjejas akibat penutupan sementara ruang udara.
“Kami faham bahawa beberapa penerbangan telah dijadualkan semula atau dialihkan, dan pasukan kami sedang berkomunikasi secara aktif serta menjejak pergerakan pelajar-pelajar yang sedang dalam perjalanan pulang ke Singapura,” katanya.
Qatar Airways memberitahu BH bahawa keutamaan mereka pada masa ini ialah membantu penumpang meneruskan perjalanan mereka dengan selamat dan lancar.
Mereka juga sedang bekerjasama rapat dengan kerajaan dan pihak berkuasa di Qatar bagi memulihkan operasi secepat mungkin.
“Kami juga telah menempatkan lebih ramai kakitangan darat di Lapangan Terbang Antarabangsa Hamad dan beberapa lapangan terbang utama lain bagi membantu para penumpang yang terjejas, mengurangkan gangguan dan memberikan layanan serta sokongan terbaik kepada semua pelanggan,” jelasnya.
Dengan penyambungan semula operasi, Qatar Airways menjangkakan kelewatan ketara pada jadual penerbangan.
“Kami menasihatkan para penumpang supaya menyemak laman web qatarairways.com atau aplikasi mudah alih Qatar Airways sebelum membuat perjalanan,” tambahnya. – Laporan tambahan Irma Kamarudin
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg