Warisan kulinari Melayu menjadi tumpuan program sehari di Wisma Geylang Serai (WGS) pada 19 September, yang menghimpunkan penggiat kulinari, peniaga dan anggota masyarakat menerusi pelbagai kegiatan berkaitan makanan dan budaya.

Bertema, ‘Meraikan Warisan Kulinari’, Hikayat Cita Rasa 2026 menampilkan lawatan warisan makanan, demonstrasi membuat kuih tradisional serta sesi perkongsian bersama tokoh kulinari seperti Cef Siti Mastura Alwi dan Cik Aziza Ali.

Antara kegiatan yang diadakan semasa acara pada 19 September itu ialah lawatan, Tracing Rencah, Rasa and Our Roots, yang membawa peserta meneroka Wisma Geylang Serai, Galeri Warisan Geylang Serai dan Pasar Geylang Serai.

Sepanjang lawatan itu, peserta berpeluang mengenali bahan-bahan serta sejarah di sebalik masakan Melayu dan Nusantara, sambil bertemu peniaga yang berkongsi resipi keluarga, kisah peribadi dan tradisi kulinari yang diwarisi turun-temurun. 

Turut diketengahkan ialah bengkel memasak kendalian cef selebriti, Cef Siti Mastura serta perkongsian oleh Cik Aziza, yang berkongsi kisah perjalanan hidup membesar di Kampung Radin Mas pada 1979, sehingga penubuhan Aziza’s, yang diiktiraf secara meluas sebagai restoran hidangan mewah Melayu yang pertama di Singapura.

Pengurus Besar WGS, Encik Mokhtar Jaffar, berkata makanan merupakan wadah penting untuk menghubungkan masyarakat dengan warisan.

“Makanan merupakan wadah berkesan untuk menghubungkan masyarakat dengan warisan kerana ia menyatukan kenangan, kisah, tradisi dan pengalaman hidup.

“Memandangkan ini merupakan program pertama WGS yang memberi tumpuan kepada warisan kulinari, kami mahu meneroka budaya makanan Melayu bukan sekadar hidangannya, malah mendekatkan masyarakat dengan individu serta kisah di sebalik makanan tersebut,” ujar beliau.

Mereka yang berminat masih boleh mengunjungi pameran, Deliciously Singaporean, oleh Lembaga Warisan Negara (NHB), yang berlangsung di WGS hingga 29 September.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti