Bagi Cik Nurhani Zainal, pagi Ahad selalunya diluangkan bersama keluarga kecilnya dengan santai di kediaman mereka di Bukit Batok.
Namun pada 27 Julai, ibu dua anak berusia 29 tahun itu dan keluarganya siap mengenakan pakaian serta kasut sukan untuk menyertai acara Jalan Kaki Hijrah atau Hijrah Walk buat kali pertama.
Hijrah Walk anjuran bersama M³@Chua Chu Kang, Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC) dari Brickland, Hillview, Chua Chu Kang, Keat Hong, dan divisyen baru Tengah serta rakan kerjasama seperti Masjid Al-Firdaus, Al-Khair, Ar-Raudhah dan Pusara Aman, bertujuan memupuk gaya hidup sihat, keharmonian serta memperkukuh semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat.
Untuk edisi keenam kali ini, lebih 550 peserta menyertai termasuk Cik Nurhani sendiri.
Para Anggota Parlimen (AP) GRC Chua Chu Kang iaitu Menteri Tenaga Manusia merangkap Menteri Bertanggungjawab bagi Tenaga, Sains dan Teknologi, Dr Tan See Leng; Encik Zhulkarnain Abdul Rahim, dan Dr Choo Pei Ling turut menyertai perjalanan sejauh 2.1 kilometer dari Blok 146A Teck Whye Avenue hingga ke Masjid Al-Khair.
Dr Tan, yang menyertai acara tersebut buat julung kalinya, berkata: “Acara ini adalah contoh terbaik model unik negara kita... bagaimana masyarakat berbilang kaum dan agama dapat berkumpul, mengeratkan hubungan dan pada masa yang sama menekankan kepentingan gaya hidup sihat.”
Menerusi kegiatan tersebut, beliau menzahirkan harapannya agar masyarakat, bukan sahaja masyarakat Melayu/Islam, malah masyarakat lain “akan terus membina ikatan yang lebih erat dan mendekatkan diri antara satu sama lain”.
Sementara itu, semasa ditemui Berita Harian (BH) di Blok 146A Teck Whye Avenue, Cik Nurhani berkata: “Kami memang sudah lama mencari aktiviti hujung minggu yang bermakna pada masa yang sama mudah untuk disertai sekeluarga lebih-lebih lagi dengan adanya anak-anak kecil.
“Kami mengetahui tentang acara ini melalui Kelab Masyarakat (CC) Tengah dan terus mengambil peluang kerana ia sangat sesuai untuk kami sekeluarga.”
Penduduk Bukti Batok itu hadir seawal 8 pagi bersama suaminya, Encik Sheikh Azman Ally, seorang jurutera teknologi maklumat (IT) yang berusia 30 tahun, dan anak mereka Hayyan Ally Sheikh Azman Ally berusia dua tahun dan Alya Maisara Sheikh Azman Ally, berusia empat bulan.
Bukan sekadar kegiatan fizikal, acara itu turut mengetengahkan nilai-nilai kebudayaan dan keagamaan.
Bertemakan Healthy Chats, acara tersebut memberi ruang kepada perbincangan terbuka antara doktor, asatizah dan bekas pesakit barah, yang diadakan di Masjid Al-Khair.
Dengan adanya program sedemikian di masjid, Cik Nurhani berpendapat bahawa “ia menjadikannya lebih mudah diakses dan lebih selesa untuk masyarakat menghadiri”.
Dalam respons susulan selepas acara, beliau berkata: “Saya ingin menyertai lagi pada masa akan datang kerana jarak perjalanannya sesuai untuk anak kecil.
“Ia juga sangat memudahkan kerana kami dapat lakukan aktiviti ini bukan sahaja bersama keluarga, tetapi juga bersama masyarakat.”
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg