Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Masjid, M³ hubungkan penduduk kepada sumber bantu kesihatan mental

Lebih 700 sertai acara kesihatan, berjalan kaki anjuran M³@Marsiling-Yew Tee untuk tingkat kesedaran isu itu
Jun 28, 2025 | 4:08 PM
Lawrence Wong, GRC Marsiling-Yew Tee, ‘Hijrah Walk & Health Fiesta’, Zaqy Mohamad, Alex Yam
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong (dua dari kiri) hadir untuk bertemu ramah dengan lebih daripada 700 penduduk GRC Marsiling-Yew Tee yang menyertai acara ‘Hijrah Walk & Health Fiesta’ di Stadium Choa Chu Kang pada 28 Jun. Turut bergambar bersama ialah Mayor CDC North West, Encik Alex Yam (kiri) dan Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Encik Zaqy Mohamad (kanan), yang juga Anggota Parlimen (AP) bagi GRC Marsiling-Yew Tee. - Foto BM oleh NUR DIYANA TAHA

Masjid dan rangkaian M Kuasa Tiga (M3) adalah wadah penting untuk menghubungkan penduduk kepada sumber yang diperlukan dalam usaha menangani isu kesihatan mental dan penjagaan yang masih menjadi topik tabu.

Demikian kongsi Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Encik Zaqy Mohamad, yang juga Anggota Parlimen (AP) bagi GRC Marsiling-Yew Tee.

Ketika ditemui media pada 28 Jun semasa acara ‘Hijrah Walk & Health Fiesta’ (Berjalan Kaki dan Fiesta Kesihatan Hijrah) anjuran M3@ Marsiling-Yew Tee di Stadium Choa Chu Kang, Encik Zaqy berkata:

“Saya rasa dari perspektif masyarakat, penting untuk kita bercakap tentang kesihatan mental.

“Sebenarnya isu ini telah lama wujud, tetapi sering dianggap sebagai isu yang tabu, jadi tidak banyak yang dibincangkan mengenainya.

“Tetapi saya rasa acara pada hari ini adalah salah satu cara untuk kita merapatkan masyarakat, berkongsi pengalaman, sumber dan sokongan yang ada, supaya dapat memecahkan halangan dalam membincangkan isu seperti penyakit mental, kesihatan mental, malah demensia.

“Inisiatif sebegini membantu mereka mengetahui bagaimana untuk mendapatkan bantuan daripada agensi-agensi yang berkaitan dan oleh itu kami libatkan masjid.”

Acara bersempena tahun baru Hijrah itu dihadiri lebih 700 peserta, yang mengambil bahagian dalam acara berjalan kaki, senaman zumba, senaman pemanasan badan gaya silat dan turut disediakan, reruai interaktif untuk para pengunjung.

Sejak awal 2025, M3@Marsiling-Yew Tee telah melibatkan penduduk melalui siri ‘#SinarJiwa@MYT’, yang memberi manfaat kepada lebih 80 peserta dalam perkongsian mengenai kesihatan mental untuk penjaga serta kesedaran tentang demensia. 

Siri ‘SinarJiwa@MYT pertama dilancarkan pada Februari menerusi satu perkongsian panel yang membincangkan pengamalan kesihatan mental dalam bulan Ramadan, hasil kerjasama M3@ Marsiling-Yew Tee dengan Masjid An-Nur, Caregivers Alliance Limited (CAL), National Healthcare Group (NHG) dan Persatuan Rakyat (PA).

Berkata lebih lanjut, Encik Zaqy menjelaskan bagi enam bulan akan datang, tumpuan akan diberikan untuk mendekati golongan belia sebagai duta atau pempengaruh masyarakat yang akan berperanan sebagai titik kontak untuk jangkauan kesihatan mental.

Ini kerana golongan belia lebih terbuka dan bersedia untuk membincangkan topik tersebut bersama ahli keluarga mereka, ujar beliau.

Turut hadir bersamanya ialah Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, serta AP GRC Marsiling-Yew Tee yang lain termasuk Encik Alex Yam, dan Cik Hany Soh.

Ketibaan Encik Wong disambut mesra oleh peserta yang juga penduduk kawasan itu, termasuk Cik Nazurah Zuraini, 36 tahun, yang hadir bersama suaminya, Encik Haikal Abqari, 37 tahun; dan anak mereka, Nikrauz Abqari, lima tahun.

Cik Nazurah berkongsi bahawa acara sedemikian penting bukan sahaja kerana ia memberi peluang untuk masyarakat beriadah bersama, tetapi juga peluang untuk meningkatkan kesedaran terhadap kesihatan mental dan golongan penjaga.

Beliau yang menetap di Woodgrove selama lima tahun mendapat tahu tentang acara itu daripada prasekolah PCF Sparkletots anaknya.

“Saya menerima jemputan daripada sekolah anak saya dan mujur kami sekeluarga mempunyai masa lapang untuk menghadirinya bersama.

“Saya rasa ia satu inisiatif yang bagus kerana kami mendapat peluang untuk bersenam bersama.

“Selain itu, kami dapat pelajari lebih banyak tentang kumpulan sokongan dan sumber-sumber untuk mendapatkan bantuan dari segi kesihatan mental ataupun penjaga.

“Dengan meningkatkan kesedaran terhadap kesihatan mental, saya berharap agar masyarakat tahu bahawa ianya normal untuk tidak rasa ‘okey’ dan tidak salah untuk meminta bantuan apabila kita perlukan,” kongsi Cik Nazurah.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg