Allahyarham Daniel disifat rakan berhati mulia
Sekitar 40 ahli keluarga, sahabat, dan kenalan hadiri pengebumian remaja lemas di Sungai Kallang
Penyabar, penyayang dan berhati mulia – itulah sifat unggul yang tersemat pada Allahyarham Muhammed Qayyim Daniel Putra Rosli, 13 tahun, yang sentiasa dikenang oleh rakan-rakan yang mengenalinya.
Bagi rakan sekelasnya, Mohd Iqwal Zulkifli Talip, juga 13 tahun, Daniel tidak pernah lekang daripada mengambil berat tentang kebajikan teman-temannya.
Mereka pelajar Menengah 2 di Sekolah NorthLight.
“Kalau kami ada masalah, dialah orang pertama yang akan tanya tentang kesejahteraan kami,” kata Iqwal.
“Dia seorang rakan yang tak sampai hati tengok kawan susah,” tambahnya.
Arwah dikatakan hilang di Sungai Kallang sekitar 4.30 petang pada 25 Februari.
Mayat remaja itu ditemui lewat 26 Februari, lebih 24 jam selepas dia dilaporkan hilang ketika sedang memancing di sungai tersebut.
Polis dan Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) menerima makluman sekitar 10.35 malam mengenai seorang individu yang dilihat terapung di sungai.
Mayatnya berjaya dibawa naik oleh anggota bomba SCDF dan Pasukan Penyelamat dan Bantuan Bencana (Dart), sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh paramedik.
Siasatan awal polis mendapati tiada unsur jenayah yang disyaki.
Menjawab pertanyaan Berita Harian (BH), PUB, agensi air negara, mengingatkan orang ramai agar mematuhi peraturan dan hanya memancing di kawasan yang ditetapkan.
“Kawasan memancing yang ditetapkan dibekalkan dengan prasarana sesuai bagi memastikan keselamatan pemancing, dan dipilih berdasarkan pertimbangan penting.
Ini termasuk mengimbangi keperluan keselamatan dengan akses awam serta mengelakkan kawasan kegiatan air seperti berkayak dan perahu naga.
“Faktor keselamatan pemancing turut diutamakan, memandangkan terdapat kawasan berisiko tinggi seperti tebing curam atau licin, serta lokasi yang terdedah kepada kenaikan paras air mendadak,” jelas agensi itu.
Allahyarham selamat dikebumikan di Pusara Aman pada 27 Februari, sejurus selepas solat Jumaat.
Sekitar 40 ahli keluarga, sahabat, dan kenalan hadir untuk mendoakan serta memberikan penghormatan terakhir.
Kebaikan arwah turut meninggalkan kesan kepada ayah Iqwal, Encik Zulkifli Talip, terutama apabila arwah membahasakan dirinya sebagai ‘Daddy’ atau bapa.
Ketika ditemui BH di rumah mayat Hospital Besar Singapura (SGH) pada 27 Februari, Encik Zulkifli, 56 tahun, meluahkan:
“Dia sangat rapat dengan anak saya dan saya anggap dia seperti anak sendiri.
“Sebab mereka rakan sekelas dan juga rakan kegiatan kokurikulum (CCA) bola lantai, memang banyak masa dihabiskan bersama.”
Salah seorang ahli keluarga Allahyarham, yang ingin dikenali sebagai ‘Sham’, diminta mengenal pasti mayat arwah apabila mayatnya ditemui.
Beliau kemudian mengesahkan identiti jenazah itu lalu menyampaikan berita pilu kepada ahli keluarga lain.
Ketika ditemui BH di pusara, ‘Sham’ menyifatkan Allahyarham sebagai seorang yang periang, namun enggan mengulas lanjut.
Sifat ini berbeza dengan pandangan seorang kenalan lain yang menyifatkan Allahyarham sebagai seorang yang pendiam, pemalu, dan manis perwatakannya.
“Saya tidak berpeluang memiliki kenangan mendalam bersamanya. Namun, dalam setiap ingatan saya, beliau adalah penceria suasana dalam keluarga,” katanya.
Setiausaha Parlimen Kanan (Pembangunan Sosial dan Keluarga) merangkap Anggota Parlimen Queenstown, Encik Eric Chua, turut hadir di ruang persiapan pengebumian.
Beliau menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga terdekat Allahyarham, termasuk ibunya, yang ingin dikenali sebagai Cik Siti, dan dua adiknya yang berusia 11 dan 14 tahun.
Ayah arwah, yang dibawa ke ruang persiapan pengebumian di Pusara Aman menaiki van Perkhidmatan Penjara Singapura (SPS) sambil diapit dua pegawai SPS, turut kelihatan memberikan penghormatan terakhir.
Cik Siti sebelum ini mendedahkan kepada The Straits Times (ST) bahawa suaminya dikatakan sedang menjalani hukuman penjara.
Ayah Allahyarham meluangkan sekitar 30 minit sebelum beredar.
Sekitar 40 ahli keluarga, sahabat dan kenalan hadir memberikan penghormatan terakhir kepada remaja tersebut.
Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Pusara Aman pada 27 Februari sekitar 3.30 petang.

