Lebih daripada sekadar tempat beriadah, Kelab Masyarakat (CC) Ang Mo Kio telah menjadi ruang bagi penduduk seperti Cik Aini Hamzah menjalin persahabatan dan mengeratkan hubungan kejiranan.

Sejak menetap di Ang Mo Kio lapan tahun lalu, penduduk berusia 73 tahun itu telah meluangkan masa bertemu jiran tetangganya hampir sekali seminggu di kelab masyarakat yang terletak di 795 Ang Mo Kio Avenue 1 itu.

“Pertemuan seperti ini memberi peluang kepada kami untuk berkenalan dan mengeratkan hubungan dengan jiran tetangga, tanpa mengira kaum.

“Hubungan baik ini penting supaya kita dapat saling membantu apabila memerlukan pertolongan,” katanya.

Walaupun kini kurang sihat dan beliau jarang menyertai kegiatan, Cik Aini tetap menghargai setiap peluang yang ada agar dapat bertemu rakan-rakan dan jiran tetangganya, katanya.

Maka, tidak hairanlah beliau antara yang terawal hadir untuk memeriahkan sambutan ulang tahun ke-50 CC itu pada 15 November, yang menghimpunkan lebih 1,200 penduduk Teck Ghee daripada pelbagai generasi.

Turut hadir sebagai tetamu kehormat ialah Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong, yang juga merupakan penasihat pertubuhan akar umbi GRC Ang Mo Kio.

Sambutan itu menampilkan Ruang Tamu Masyarakat atau Community Living Room yang diubah suai dengan penglibatan penduduk dan sukarelawan agar menjadi ruang selesa untuk penduduk berkumpul, bersantai serta berinteraksi.

Menurut kenyataan media yang dikeluarkan oleh Pejabat Kawasan Undi Teck sambutan itu turut menyaksikan pelancaran mural hasil karya pelajar Sekolah Menengah Ang Mo Kio yang menggambarkan kehidupan masyarakat, budaya makanan warisan, alam semula jadi dan mercu tanda kawasan itu.

Mural tersebut mencerminkan pandangan generasi muda terhadap kawasan kejiranan mereka, di samping meraikan sejarah dan identiti bersama penduduk Ang Mo Kio, tambah kenyataan itu.

Perlumbaan warisan ‘Heritage Amazing Race @ Ang Mo Kio’ membawa peserta daripada pelbagai generasi meneroka sejarah kawasan tersebut menerusi cabaran interaktif di beberapa mercu tanda setempat.

Bengkel memasak bagi kanak-kanak berusia enam hingga 12 tahun turut diadakan, serta ceramah kecerdasan buatan (AI) dan perancangan harta pusaka.

Ditubuhkan pada 1976, CC Ang Mo Kio telah berkembang daripada sebuah ruang kecil di kolong blok flat kepada pusat kegiatan masyarakat pada 1982. Ia dirasmikan oleh Encik Goh Chok Tong, yang ketika itu Menteri Pertahanan merangkap Menteri Kedua Kesihatan.

CC tersebut kemudian diperluas pada 1992 dan dinaik taraf pada 1997, sebelum dirasmikan semula oleh Encik Lee, yang ketika itu menggalas jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri (DPM).

Memandang ke hadapan, Cik Aini berharap semangat kejiranan terus terpelihara agar penduduk berbilang kaum dapat saling mengambil berat dan membantu antara satu sama lain.

“Harapan saya agar kita terus hidup harmoni tanpa mengira kaum. Kalau ada jiran yang memerlukan pertolongan, kita boleh saling membantu,” katanya.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti