Asatizah boleh memainkan peranan sebagai pembimbing rohani di institusi penjagaan seperti pusat paliatif atau hospital, dengan menyediakan keselesaan rohani kepada pesakit warga emas atau penghidap penyakit kronik yang beragama Islam di sini.
Demikian kata Pengarah dan Pembimbing Rohani Kehidupan Pelajar di Universiti Duke dan Presiden Persatuan Pembimbing Rohani Muslim (Amerika Syarikat), Dr Joshua Salaam.
Beliau berkata pendekatan ini mungkin berkesan di Singapura di bawah model bimbingan rohani atau ‘chaplaincy’, dengan pembimbing rohani atau agama menyediakan penjagaan dan sokongan di institusi sekular.
Singapura berada dalam kedudukan baik, tambahnya, untuk meneroka bimbingan rohani bersifat keislaman kerana ia telah menerapkan struktur dan asas – misalnya Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS) – sedia ada bagi asatizah di sini.
“Bimbingan rohani bersifat Islami di Singapura akan menjadi pendamping yang sangat baik bagi para asatizah di sini kerana ia satu wadah pendengaran aktif dari hati ke hati.
“Ini di samping membantu individu tersebut untuk merujuk mereka kepada seseorang yang lebih arif,” ujarnya.
Dr Joshua berkata demikian ketika ditemui di Masjid Al-Muttaqin di Ang Mo Kio Avenue 6 pada 21 November.
Beliau telah bertemu beberapa pegawai kanan masjid-masjid dan Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) bagi membincangkan perihal bimbingan rohani dan penjagaan kesihatan.
Beliau berada di sini atas undangan Sektor Satu Masjid atau ‘One Mosque Sector’, dari 19 hingga 25 November, untuk menyampaikan beberapa siri perkongsian, termasuk pada Pertemuan Sektor Satu Masjid yang berlangsung pada 22 November.
Pada pertemuan itu, beliau bakal membentangkan ceramah Penjagaan Rohani bersifat Islami, hasil pengalamannya sebagai pembimbing rohani di Amerika.
Beliau berkata terdapat tanggapan istilah ‘chaplaincy’ sering terkait dengan masyarakat Kristian, namun intipatinya ialah konsep yang ingin diterapkan, iaitu mengutamakan kemaslahatan manusia dengan unsur bimbingan rohani.
Bahkan beliau akur di Amerika, ramai dalam kalangan golongan Muslim di sana masih tidak begitu memahami erti atau konsep bimbingan rohani.
“Mereka keliru dan sering mengaitkan bimbingan rohani ini dengan seorang Imam. Sebenarnya model (bimbingan rohani) ini berpaksikan pada nilai mendengar dan memahami.
“Ia harus tertumpu pada nilai ini dan kemudiannya, barulah membantu individu tersebut bagi memikirkan langkah seterusnya yang perlu diambil,” jelas Dr Joshua.
Sehubungan itu, Konsultan Kanan dalam Geriatrik dan Perubatan Paliatif di Hospital Besar Ng Teng Fong (NTFGH), yang juga Naib Pengerusi Masjid Darussalam, Dr Norhisham Main, berkata sudah tiba masanya penyembuhan dari sudut rohani tidak dilihat secara berasingan.
Beliau merupakan antara mereka yang hadir di Masjid Al-Muttaqin bagi menghadiri sesi perkongsian bersama Dr Joshua.
Menurut Dr Norhisham, penjagaan paliatif sebagai contoh, menitikberatkan bantuan fizikal, kewangan dan psikologi terhadap si pesakit secara umumnya, tetapi aspek rohani merupakan sesuatu yang kurang diberi perhatian.
“Dalam kerjaya saya merawat pesakit, ada dalam kalangan mereka yang memerlukan panduan rohani, jadi saya lihat wujud keperluan ini. Justeru, ada baiknya untuk menghubungkan masjid-masjid dan asatizah (demi menangani aspek ini),” ujarnya.
Beliau berkata buat masa ini, rangka kerja bagi model bimbingan rohani untuk masyarakat Islam di sini masih sedang dibangunkan, tetapi tidak mendedahkan bila atau bagaimana ia akan dibentangkan kelak.
Namun, beliau memberi contoh yang boleh diterapkan berpaksikan model berpusat mahupun model nyahpusat.
Beliau berkata: “Apa yang kita perlu lakukan adalah kita perlu betul-betul memahami keperluan masyarakat terdahulu, barulah model ini akan dibangunkan dengan mengambil kira keperluan tersebut.
“Kita sedia maklum bimbingan rohani ini tidak terhad pada penjagaan kesihatan semata-mata.”
Hal serupa turut dikongsi Ketua Jabatan, Kehidupan Masyarakat Beragama di Masjid Darussalam, Ustaz Hariz Ramli, yang turut hadir di sesi perkongsian itu.
Masjid Darussalam, yang terletak di kawasan Clementi, menawarkan khidmat pastoral untuk warga emas dan mereka yang memerlukan sokongan emosi dan rohani.
Beliau berkata salah satu aspek yang beliau pelajari bagi mempertingkatkan khidmat pastoral yang ditawarkan adalah kemahiran mendengar secara tekun dan teliti.
“Dengan kemahiran ini, kami dapat memenuhi keperluan warga emas atau pesakit (yang disantuni) selaras dengan keperluan mereka,” katanya, sambil menambah, adalah penting asatizah tidak melihat bimbingan rohani ini “bukan sebagai satu penentu hukum”.
Sebaliknya, peranan asatizah dalam aspek ini adalah lebih sebagai “pembimbing dan penenang” hati, ujarnya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg