Topik diikuti
Pergi ke BHkuAtlet muda berjiwa mesra alam
Atlet muda berjiwa mesra alam
Penerima Biasiswa Industri-NEA tukar bidang pengajian susulan kecederaan, teruja bawa perubahan dalam sekitaran
Atlet muda berjiwa mesra alam
Apa yang bermula sebagai satu cabaran akibat kecederaan sukan akhirnya membuka laluan baharu buat, Encik Abdul Haq Mohamad Amin, meneruskan pengajian dalam Diploma Pengurusan Kemudahan Bersepadu di Politeknik Temasek (TP).
Bekas atlet lumba lari itu pada awalnya ingin mengambil kursus Diploma Pengurusan Sukan sebab ia seiring dengan minat dan nyala rasanya selama ini.
Namun, beliau akur disiplin serta ketabahan yang dibina melalui sukan dengan serta-merta membantunya mencorak cara dirinya menelaah pelajaran dan membangun masa depan dalam kerjaya yang dicita-citakan.
Anak sulung dua beradik itu memberitahu Berita Harian (BH): “Sukan mengajar saya tentang ketekalan dan kekuatan mental. Nilai itu saya bawa dalam setiap perkara yang saya lakukan.”
Kini, beliau yang berusia 25 tahun teruja kerana menerusi kursus Diploma Pengurusan Kemudahan Bersepadu, dirinya lebih memahami bagaimana sistem bangunan, perancangan penyelenggaraan dan operasi harian boleh memberi kesan kepada penggunaan tenaga, tahap kebersihan serta alam sekitar.
“Ia membuka mata saya tentang betapa pentingnya perancangan dan sistem yang baik dalam menjaga alam sekitar,” katanya, yang menerima Biasiswa Industri – Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA), pada 12 Mac lalu, di Dewan Kementerian Kemampanan dan Sekitaran (MSE), Environment Building di Scotts Road.
Beliau merupakan antara 11 penerima biasiswa berkenaan, dengan syarikat pengurusan kemudahan dan khidmat pembersihan, Hong Ye Group Pte Ltd, menjadi penaja biasiswa untuknya.
Tajaan biasiswa meliputi yuran pengajian, yuran wajib, dan elaun sara hidup.
Hong Ye Group memberikan sehingga $15,000 setahun untuk pelajar politeknik dan $8,000 setahun untuk pelajar Institut Pendidikan Teknikal (ITE).
Menurut Encik Abdul Haq, kesedaran terhadap kemampanan sekitaran itu turut diterapkan dalam kehidupan hariannya.
Encik Abdul Haq mengamalkan tabiat mengurangkan pembaziran dengan mencuci dan menggunakan semula bekas plastik makanan dan tidak membuangnya.
Menurut beliau, ibunya memainkan peranan penting dalam membentuk nilai tersebut sejak kecil, dengan menekankan kepentingan berjimat dan bertanggungjawab terhadap penggunaan sumber.
Bagi Encik Abdul Haq, amalan kecil itu mencerminkan perubahan lebih besar.
“Jika setiap orang lakukan sedikit perubahan, lama-kelamaan ia akan memberi kesan yang besar,” katanya.
Menerusi pengajian dan projek yang beliau kendalikan, dirinya telah mempelajari bagaimana kemudahan dan operasi mempengaruhi penggunaan tenaga, kebersihan, serta kesan pada alam sekitar.
“Pengalaman ini membantu saya memahami bahawa impak alam sekitar yang bermakna selalunya terhasil daripada sistem yang tekal dan diurus dengan baik, dan bukannya melalui inisiatif bersifat sekali sekala.
“Saya amat berminat untuk meneroka bagaimana perancangan, penyelarasan, dan pemikiran jangka panjang dapat menyokong operasi yang boleh dipercayai serta hasil yang mampan,” jelasnya.
Encik Abdul Haq berharap dapat menyumbang kepada pembangunan persekitaran binaan yang lebih lestari sambil terus berkembang dalam sektor yang semakin penting bagi masa depan Singapura.
“Industri Perkhidmatan Alam Sekitar adalah penting bagi kesihatan awam, keselamatan, dan kelestarian, tanpa mengira keadaan ekonomi.
“Kebanyakan tugasan ini dilakukan secara senyap di sebalik tabir, namun ia memainkan peranan penting dalam menyelenggara persekitaran yang bergantung kepadanya oleh orang ramai setiap hari.
“Melalui Biasiswa Industri-NEA, saya berharap dapat menerapkan apa yang telah saya pelajari ke dalam persekitaran kerja yang sebenar.
“Memahami bagaimana sistem beroperasi di lapangan dan belajar daripada karyawan lain yang berpengalaman akan membantu saya berkembang melangkaui bilik darjah,” tambahnya.
“
“Melalui Biasiswa Industri-NEA, saya berharap dapat menerapkan apa yang telah saya pelajari ke dalam persekitaran kerja yang sebenar. Memahami bagaimana sistem beroperasi di lapangan dan belajar daripada karyawan lain yang berpengalaman akan membantu saya berkembang melangkaui bilik darjah.”