Topik diikuti
Pergi ke BHkuBagaimana ketua pejabat dasar masjid jadi ‘orang kuat’ SGSecure
Pimpin usaha lakar respons masjid hadapi kecemasan sejak 2018
Bagaimana ketua pejabat dasar masjid jadi ‘orang kuat’ SGSecure
Mungkin tidak ramai yang sedar, tindakan susulan yang dilaksanakan kakitangan masjid apabila berdepan dengan keadaan mencurigakan atau berisiko tinggi di tempat kerja mereka itu sebenarnya mula-mula ditulis hampir sedekad yang lalu.
‘Protokol’ tersebut, yang merangkumi pelbagai senario, termasuk apabila masjid menerima bungkusan atau pakej mencurigakan, terkandung dalam manual kecemasan yang diusahakan oleh pasukan yang dipimpin Encik Yacob Ahmad pada 2018.
Pada ketika itu, beberapa kejadian keganasan melibatkan masjid telah berlaku di tempat lain, seperti Pusat Budaya Islam Kota Quebec pada 2017, apabila seorang penembak bertindak sendiri membunuh enam orang dan mencederakan lagi lima orang sejurus selepas mereka melaksanakan solat jemaah.
Pada tahun yang sama, Masjid Al-Rawdah di Sinai, Mesir, pula diserang kumpulan militan yang berkait dengan ISIS, membunuh 305 orang.
Menurut Encik Yacob, beliau yang pada ketika itu baru saja menyertai Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) sebagai Ketua Pejabat Dasar Masjid, telah ditugaskan untuk mengusahakan manual bagi mempersiap masjid setempat apabila menghadapi sebarang keadaan kecemasan.
Usaha Encik Yacob dan pasukannya boleh dilihat pada masa ini.
Sebagai contoh, masjid setempat kini memperuntuk peranan khusus bagi kakitangan, daripada pegawai yang bertanggungjawab bagi tindak balas awal hingga ke pegawai yang perlu menghubungi agensi Home Team atau agensi pihak berkuasa lain.
Menjawab pertanyaan Berita Harian (BH), Encik Yacob, 59 tahun berkata:
“Kalau berlakunya sesuatu insiden, ada pasukan yang bertindak balas kepada kes itu, dan pada masa yang sama, sebuah pasukan lain akan berhubung dengan agensi Home Team. Ada juga pasukan media dan logistik yang masing-masing mempunyai peranan dalam menguruskan keadaan.”
Encik Yacob berkata demikian semasa wawancara sempena ulang tahun ke-10 SGSecure, iaitu usaha negara menggalak masyarakat kekal berwaspada, bersatu dan berdaya tahan dalam menghadapi ancaman pengganasan.
Menurut Encik Yacob, manual yang diusahakan pasukannya itu adalah ‘dokumen hidup’ yang kerap dikemas kini untuk mengambil kira perkembangan di seluruh dunia perkara baru, supaya terus kekal relevan.
Sebagai contoh, pendekatan melatih kakitangan masjid telah beralih daripada tumpuan kepada usaha memberi respons kepada sesuatu kejadian kepada usaha mengesan ancaman lebih awal.
Usaha itu, katanya, disokong dengan kerjasama rapat berbilang agensi seperti Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA), Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY) serta MUIS.
“Kami perlu terus meningkatkan langkah keselamatan apabila sifat dan tahap ancaman berubah,” kata Encik Yacob.
“Sebelum ini, banyak tumpuan diberikan kepada bagaimana kita bertindak selepas sesuatu berlaku. Sekarang, apabila asas tindak balas itu sudah lebih kukuh, kita mahu bergerak lebih awal – melihat tanda-tanda yang mungkin menunjukkan sesuatu tidak kena dan mengambil tindakan sebelum keadaan menjadi lebih serius.
“Selain terus melatih kakitangan, menyemak proses membuat persiapan menghadapi kecemasan dan bekerjasama dengan agensi Home Team, kami juga berusaha melibatkan jemaah dalam usaha mengesan dan mencegah ancaman, sambil membina daya tahan masyarakat,” tambah beliau.
Antaranya ialah latihan Sistem Berintegrasi Pemeriksaan Penumpang yang Berorientasikan Ancaman (Topsis) yang bertujuan melatih kakitangan dalam mengesan tingkah laku mencurigakan dan potensi ancaman, yang dijalankan di Akademi Home Team.
“Masjid ialah ruang terbuka. Ramai orang keluar masuk setiap hari, jadi kakitangan perlu tahu apa yang patut diperhatikan tanpa menjejas sifat masjid sebagai tempat yang terbuka kepada masyarakat,” kata Encik Yacob, yang sejak Julai 2020, menggalas peranan sebagai Superintenden Daerah Masjid bagi 16 masjid di daerah utara.
Pada 2025, sebuah bungkusan mencurigakan telah dikirimkan kepada salah sebuah masjid dalam kelompok tersebut, iaitu Masjid Al-Istiqamah di Serangoon North Avenue 2, menurut laporan akhbar ini.
Lelaki berusia 62 tahun yang menghantar bungkusan tersebut juga didapati menghantar bungkusan serupa ke enam lagi masjid.
Dia dihukum penjara 15 bulan selepas didapati bersalah melukai perasaan keagamaan tiga orang yang membuat laporan polis.
Encik Yacob enggan mengulas lebih lanjut mengenai kes itu.
Beliau menekankan bahawa memastikan rumah ibadah seperti masjid terus menjadi ruang selamat adalah tugas masyarakat, dan bukan bergantung pada usaha pihak masjid dan agensi keselamatan semata-mata.
Baginya, masyarakat perlu bersama terus berwaspada, saling menyokong dan kekal bersatu, terutama ketika berdepan ancaman atau krisis.
“Dalam keadaan krisis, antara perkara pertama yang boleh terjejas ialah perpaduan masyarakat, apabila orang mula menyalahkan satu sama lain. Sebab itu kita perlu terus bersatu, hidup harmoni dan kekal rapat sebagai sebuah masyarakat.
“Jika kita dapat mengekalkan perpaduan dan keharmonian itu, kita akan berada dalam kedudukan yang lebih baik untuk menghadapi sesuatu krisis bersama,” kata Encik Yacob.
Bagi Encik Yacob, kerjasama antara masjid, masyarakat dengan agensi berkaitan penting kerana setiap pihak mempunyai peranan dan pengalaman berbeza yang boleh dimanfaatkan ketika berlaku krisis.
“Masjid boleh membina keupayaan kakitangan dan sukarelawan, tetapi kita tidak mempunyai semua kepakaran. Sebab itu kita perlu belajar daripada agensi keselamatan, rakan masyarakat dan juga pengalaman tempat ibadat lain.
“Apabila berlaku sesuatu insiden, pengajarannya tidak sepatutnya berhenti di tempat itu sahaja. Kita bawa kembali pengajaran tersebut, lihat semula proses kita dan gunakan ia untuk mempersiapkan masjid serta masyarakat dengan lebih baik bagi kejadian seterusnya,” katanya.
Dalam pada itu, Encik Yacob berkata beliau kini juga menumpukan perhatian terhadap usaha mempelawa belia memainkan peranan dalam memastikan Singapura kekal selamat dan berdaya tahan.
Ini boleh dilihat dalam usaha bersama Harmony Circle, IMSSA dan SGSecure, apabila sebuah bengkel khas untuk golongan belia turut diadakan pada Julai 2026, sebagai sebahagian acara ‘Our Rojak Nation’.
“Golongan muda banyak bergerak dalam lingkungan rakan sebaya mereka. Sebab itu penting untuk mereka sendiri tahu mengenal pasti jika seorang rakan mula menjauhkan diri, terpengaruh dengan pemikiran melampau atau memerlukan bantuan.
“Pada masa sama, kita ingin belia daripada latar belakang berbeza mempunyai peluang untuk bergaul dan memahami satu sama lain. Apabila hubungan itu sudah terbina, lebih sukar untuk perbezaan atau sesuatu krisis memecahkan mereka,” katanya.
Menurut Encik Yacob, manfaat usaha SGSecure sejak ia dibentuk sedekad lalu telah meraih manfaat tetapi usaha tersebut perlu diteruskan.
Singapura kini lebih bersedia menghadapi krisis berbanding sedekad lalu, ujarnya.