Setiap bulan, Encik Salamian Salbri, 45 tahun, dan keluarganya perlu melunaskan bil sewa rumah serta utiliti mencecah hampir $300, di samping perbelanjaan dapur sekitar $350 hingga $400.

Bagi sebilangan orang, angka tersebut mungkin sekadar rutin biasa dan boleh dilunaskan.

Namun, buat Encik Salamian, ia merupakan satu cabaran yang perlu diimbangi dengan penuh cermat setiap bulan.

Cabaran kewangan itu terasa semakin berat apabila Encik Salamian dan isterinya, Cik Norbaini Yusoff, 54 tahun, tidak lagi mampu bekerja dek masalah kesihatan yang menimpa masing-masing sejak 2019 dan 2022.

Encik Salamian menghadapi komplikasi darah beku di seluruh badan, penyakit tulang belakang yang kronik, serta pinggul yang lemah, manakala isterinya pula mengalami masalah bahu beku yang membataskan pergerakan harian.

Keluarga tersebut mendapat bantuan kewangan daripada beberapa agensi berasingan, tetapi beban menyara hidup keluarga tersebut terpaksa dipikul Cik Norsyaqilah Salamian, 21 tahun, iaitu anak sulung Encik Salamian.

Justeru, kelangsungan hidup keluarga itu bergantung pada pendapatan anaknya, selain bantuan kewangan daripada beberapa agensi.

“Saya sebagai bapa, rasa sedihlah... tanggungjawab saya dipikul oleh anak perempuan saya.

“Bapa mana tak sedihkan? Kerana kita menjadi seorang ketua, ini adalah tanggungjawab kita.

“Jadi bila tengok apa yang beliau buat, saya rasa macam saya gagal sebagai seorang bapa,” luah Encik Salamian kepada Berita Harian (BH), sambil menitiskan air matanya.

Walaupun anak sulungnya itu mempunyai pekerjaan tetap sebagai jururawat berdaftar di Hospital Alexandra, Encik Salamian tidak mahu bergantung sepenuhnya kepada beliau.

Ini kerana beliau percaya anaknya itu juga mempunyai keperluannya tersendiri.

“Kita juga kena ambil giliran untuk membantunya.

“Kita faham satu hari nanti dia pun teringin nak berkahwin, jadi tak mungkin nak harapkan beliau seorang sahaja,” ujar Encik Salamian, yang mempunyai dua lagi anak.

Mereka ialah Encik Muhd Syahmie Salamian, 19 tahun, yang sedang menjalani Perkhidmatan Negara (NS); dan Cik Norsyaqirah Salamian, 18 tahun, pelajar tahun kedua Nitec dalam jurusan teknologi mekanikal di Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej Central.

Keluarga lima beranak itu mendiami di rumah sewa dua bilik di Havelock Road.

Encik Salamian Salbri (belakang, kanan), bersama keluarganya, (ikut putaran jam, dari belakang, kiri) Cik Norsyaqirah Salamian, Encik Muhd Syahmie Salamian, Cik Norsyaqilah Salamian, dan Cik Norbaini Yusoff.
Encik Salamian Salbri (belakang, kanan), bersama keluarganya, (ikut putaran jam, dari belakang, kiri) Cik Norsyaqirah Salamian, Encik Muhd Syahmie Salamian, Cik Norsyaqilah Salamian, dan Cik Norbaini Yusoff. - Foto ihsan SALAMIAN SALBRI

Masalah kesihatan Encik Salamian bermula pada Februari 2019 apabila betis kirinya bengkak ketika sedang berehat di rumah selepas menjalani pembedahan hernia pada November 2018.

Pemeriksaan doktor mengesahkan terdapat darah beku yang telah menjejas organ dalaman, termasuk jantung dan paru-parunya.

Beliau juga menghidap penyakit tulang belakang, Ankylosing Spondylitis (penyakit artritis yang menghasilkan kekakuan dan pembongkokan spina).

“Setiap dua minggu sekali saya harus menyuntik ubat doktor.

“Saya perlu kerap mendapatkan ubat itu kerana ia akan bantu atasi rasa sakit tiga hingga empat hari. Jika tidak, sakit itu akan kembali,” luah Encik Salamian, menceritakan isu tulang belakangnya.

Sejak 2023, masalah keretakan tulang serta kehausan sendi pada pinggul kanan menyebabkan kaki Encik Salamian lemah, sekali gus menyukarkannya berjalan jauh atau berdiri lama.

Dugaannya bertambah apabila isterinya turut mengalami bahu beku dan koyak pada ototnya pada 2022 semasa bekerja sambilan.

Ujian yang dihadapi keluarga Encik Salamian sedikit sebanyak mencerminkan cabaran yang dialami sebahagian rakyat Singapura dalam keadaan geopolitik dan ekonomi tidak menentu kini.

Lantas, untuk mengurangkan tekanan kos sara hidup, pemerintah Singapura telah memastikan warganya, terutama golongan berkeperluan, mendapat bantuan berterusan menerusi pelbagai pakej sokongan.

Sebagai contoh, pada Julai lalu, pemerintah mengumumkan bantuan kedua bagi meredakan kesan kos sara hidup ekoran konflik di Timur Tengah.

Menerusi daya usaha itu, semua isi rumah Singapura bakal menerima $300 dalam bentuk baucar Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) pada Januari 2027.

Ini menyusuli baucar CDC $500 yang diberikan pada Jun 2026.

Dengan itu, jumlah keseluruhan Baucar CDC bagi tahun kewangan 2026 sebanyak $800.

Selain itu, isi rumah turut mendapat kelegaan daripada rebat U-Save tambahan pada Oktober 2026 dan Januari 2027, yang melengkapi rebat Belanjawan 2026 yang disediakan pada April dan Julai 2026.

Bagi keluarga Encik Salamian, sokongan pemerintah itu diperkukuh dengan bantuan khusus daripada Pusat Khidmat Keluarga (FSC) serta pelbagai skim zakat daripada Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS).

Antaranya termasuk bantuan zakat sekali beri – Sokongan Kos Sara Hidup MUIS sebanyak $450 – yang diagihkan sejak Ogos lalu dan diberikan berdasarkan pendapatan per kapita (PCI) mereka.

“Alhamdulillah, bila dapat duit bantuan itu, kita utamakan bayar sewa rumah dan bil utiliti.

“Walaupun terasa kecil bagi sesetengah orang... tetapi ia beri kami ruang bernafas jugalah,” luahnya yang turut memanfaatkan bantuan itu untuk membeli keperluan harian seperti barang runcit.

Walaupun bantuan sekali sahaja itu tidak menyelesaikan kekangan kewangan keluarga secara menyeluruh, ia bertindak sebagai pelengkap untuk menampung kos asas isi rumah Encik Salamian, yang juga merupakan penerima zakat MUIS.

Merenung masa depannya, Encik Salamian masih menyimpan secebis harapan agar diberikan kesembuhan supaya dapat kembali bekerja dan memberikan kehidupan yang lebih selesa serta ruang privasi buat anak-anaknya.

“Saya memohon pada Allah agar saya diberi kesembuhan dan dapat kembali bekerja,” katanya.

Sikap saling memahami dan empati turut dikongsi oleh anak bongsunya, Cik Norsyaqirah, yang turut terkesan dengan ketabahan keluarganya.

Lantas, beliau menyimpan azam untuk turut sama memikul beban keluarganya pada masa akan datang.

“Perasaan saya tentunya bersyukur dan gembira bila ada bantuan untuk beli barang rumah.

“Walau saya belum mampu sekarang, satu hari nanti saya tekad nak bantu ayah dan ibu untuk cukupkan segala keperluan rumah,” ujar beliau.

Encik Salamian Salbri (kiri), bersama isterinya, Cik Norbaini Yusof (kanan), dan anak mereka, Cik Norsyaqirah Salamian.
Encik Salamian Salbri (kiri), bersama isterinya, Cik Norbaini Yusof (kanan), dan anak mereka, Cik Norsyaqirah Salamian. - Foto BH oleh FANDY RAZAK

“

“Saya sebagai bapa, rasa sedihlah... tanggungjawab saya dipikul oleh anak perempuan saya. Bapa mana tak sedihkan? Kerana kita menjadi seorang ketua, ini adalah tanggungjawab kita. Jadi bila tengok apa yang beliau (anak sulung) buat, saya rasa macam saya gagal sebagai seorang bapa.”
Encik Salamian Salbri.