Topik diikuti
Pergi ke BHkuBapa, tiga anak lelaki jadi sukarelawan sembelih haiwan korban
Bapa, tiga anak lelaki jadi sukarelawan sembelih haiwan korban
Bapa, tiga anak lelaki jadi sukarelawan sembelih haiwan korban
Bagi kebanyakan keluarga, Hari Raya Aidiladha merupakan masa untuk berkumpul dan meraikan hari kebesaran bersama, tetapi bagi Encik Mohammed Iqbal Ansari, hari itu membawa makna berbeza.
Pada setiap 10 Zulhijah sejak bertahun-tahun lalu, beliau dan ketiga-tiga anak lelakinya akan menyumbang tenaga sebagai sukarelawan untuk ibadah korban, yang kini menjadi seakan-akan tradisi keluarga.
“Sebagai seorang bapa, tiada apa yang lebih menggembirakan daripada melihat anak-anak sendiri mengikuti jejak saya.
“Saya benar-benar gembira dapat melihat mereka menunaikan ibadah, dan apabila orang ramai melihat mereka menyumbang kepada masyarakat, ia memang menyenangkan hati saya,” luah beliau dengan penuh syukur.
Encik Iqbal, 59 tahun, dan ketiga-tiga anak lelakinya antara sekitar 300 sukarelawan di bawah naungan penyedia khidmat korban Aliyah Rizq Holdings, yang akan terlibat dalam ibadah korban 2026 di Masjid Al-Istighfar di Pasir Ris pada 27 Mei.
Bagi anak bongsunya, Encik Muhammad Irfan Mohammed Iqbal, 20 tahun, membantu secara sukarela untuk ibadah korban bukan sesuatu yang baharu.
Malah, beliau mula berkecimpung dalam bidang ini seawal usia 10 tahun sebagai pengendali kambing.
Pada usia 17 tahun, beliau memberanikan diri untuk memikul tanggungjawab sebagai penyembelih atas dorongan bapanya.
“Salah satu kenangan paling manis adalah semasa tahun pertama saya jadi penyembelih.
“Teknik penyembelihan saya dijadikan contoh yang betul buat sukarelawan lain.
“Ini meningkatkan keyakinan saya dalam menjalani ibadah korban dengan sempurna,” kongsi Encik Irfan dengan senyuman.
Namun, pelajar Politeknik Temasek yang mengikuti jurusan Diploma dalam Proses Perniagaan dan Kejuruteraan Sistem itu mengakui tugasan tersebut bukan tanpa cabaran fizikal.
Menurutnya, selepas menyembelih belasan ekor kambing, tangannya akan mula lenguh dan hilang kekuatan.
Dalam keadaan sedemikian, bapanya, Encik Iqbal, yang telah menimba pengalaman luas sebagai penyembelih korban selama bertahun-tahun, akan memberi bimbingan dan membantu mengendalikan haiwan yang lebih besar.
Encik Iqbal sendiri mula menabur bakti di Masjid Al-Taqua, di mana tugas awalnya hanyalah membersihkan pekarangan masjid dan mengendali haiwan korban.
Kini sebagai seorang veteran, beliau bukan sahaja terus menyumbang tenaga, malah mengagihkan tugasan agar penyembelih yang lebih mahir menguruskan kambing besar, serta melatih generasi muda baharu.
Sebagai persiapan menjelang hari korban, pasangan bapa dan anak itu menyertai latihan penyembelihan haiwan korban pada 16 Mei.
Sesi latihan yang diadakan di Rumah Peralihan Pertapis itu dihadiri ratusan sukarelawan, terdiri daripada mereka yang berpengalaman dan juga yang baharu.
Menurut Encik Iqbal, antara perkara yang ditekankan semasa latihan tersebut adalah cara penyembelihan yang betul serta pematuhan terhadap tatacara keselamatan dan kebajikan haiwan.
“Perkara paling utama dalam latihan yang diberikan kepada sukarelawan adalah untuk menerapkan sifat ihsan atau sikap lemah lembut terhadap haiwan korban,” jelasnya.
Menambah kepada perkongsian bapanya, Encik Irfan berkata:
“Selain itu, kami juga memahami emosi di sebalik ibadah ini, khususnya bagi para sohibul korban (individu yang melakukan ibadah korban), lebih-lebih lagi mereka yang kali pertama melakukannya.
“Ada yang beremosi, ada juga yang gembira.
“Kita dapat lihat kepuasan mereka apabila dapat menunaikan ibadah korban, terutamanya apabila daging korban dapat diagihkan kepada golongan yang memerlukan.”
