Berasal dari kota Carcassonne di selatan Perancis, Encik Mickael Cornac, membesar dalam suasana yang diibaratkannya seperti sebuah kampung, di mana setiap penduduk saling mengenali dan hubungan kejiranan begitu akrab.

Menjelang Hari Raya Aidiladha 2026, beliau berharap dapat rasakan ‘semangat kampung’ itu sekali lagi, tetapi kali ini melalui kebersamaan para sukarelawan yang berganding bahu menjayakan ibadah korban.

“Hari Raya Haji tahun (2026) ini amat istimewa bagi saya kerana ini kali pertama saya terlibat sebagai penyembelih korban.

“Ini satu peluang untuk saya menyumbang kepada masyarakat dan membantu golongan yang memerlukan,” ujar Encik Cornac, 39 tahun, yang memeluk Islam pada 2015.

Beliau antara sekitar 300 sukarelawan di bawah naungan penyedia khidmat korban, Aliyah Rizq Holdings, yang akan menyumbang tenaga untuk ibadah korban di Masjid Al-Istighfar pada 27 Mei.

Menurut Encik Cornac, penglibatan beliau sebagai sukarelawan korban pada 2026 bukanlah satu kebetulan.

Hasratnya untuk menyumbang tenaga sebagai sukarelawan korban tercetus apabila isterinya mendorong beliau mengikuti kelas persediaan korban, kendalian Ustaz Khamsani Karim dan Ustaz Muhammad Tamliikhaa Khamsani, di Nur Insan pada 9 Mei.

“Saya menyedari peluang melakukan ibadah korban secara langsung di Singapura hanya datang setahun sekali, jadi saya tidak mahu melepaskan peluang ini,” jelasnya.

Encik Cornac menetap di Singapura sejak 2004, dan kini bertugas sebagai cef eksekutif.

Meskipun sudah biasa memotong daging setiap hari, beliau berkata pengalaman yang bakal dirasainya pada 10 Zulhijah berbeza kerana terdapat makna rohani di sebalik ibadah korban.

“Saya tidak boleh menyamakan pengalaman korban dengan apa yang saya lakukan di dapur restoran saya.

“Mengendalikan haiwan ternakan memerlukan pendekatan dan kemahiran yang sama sekali berbeza,” terangnya.

Walaupun Encik Cornac tidak sabar menantikan hari korban, beliau mengakui berasa sedikit gementar untuk melakukan penyembelihan.

“Saya rasa perasaan itu biasa, tetapi sebagai penyembelih, kami tidak boleh gugup pada hari korban.

“Apa yang saya boleh buat adalah untuk kekal positif dan tenang. Jika kami gementar, kami tidak dapat melakukan ibadah korban dengan baik,” katanya.

Menurut Encik Cornac, sikap tenang dan positif itu bukan sesuatu yang asing, malah sudah sebati dengan dirinya melalui pengalaman bekerja sebagai cef.

Ini terutamanya di tengah-tengah tempoh sibuk seperti waktu makan malam, di mana beliau perlu menunjukkan contoh yang baik kepada pekerja lain untuk kekal memberi tumpuan dan tenang.

Bagi mempersiapkan dirinya untuk hari korban, beliau menyertai latihan penyembelihan di Rumah Peralihan Pertapis pada 16 Mei, bersama ratusan sukarelawan lain untuk mempelajari teknik penyembelihan yang betul.

Sebagai penyembelih kambing, Encik Cornac menyedari pentingnya tanggungjawab yang dipikulnya serta keperluan untuk melaksanakan setiap langkah dengan penuh teliti.

“Kita tidak melakukan ibadah korban untuk diri sendiri, tetapi kerana Allah.

“Saya sangat menantikannya kerana saya ingin menyumbang kembali kepada masyarakat, dan tidak sabar untuk merasai sendiri suasana pada hari itu,” kongsinya.