Masyarakat
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

BCA: Struktur bangunan Tampines yang dijilat api selamat, perlu ditutup

May 11, 2025 | 5:03 PM
Sebuah bangunan perindustrian di Tampines yang terbakar pada 9 Mei didapati selamat dari segi struktur oleh Penguasa Bangunan dan Pembinaan (BCA) tetapi perlu ditutup untuk pemeriksaan lanjut.
Sebuah bangunan perindustrian di Tampines yang terbakar pada 9 Mei didapati selamat dari segi struktur oleh Penguasa Bangunan dan Pembinaan (BCA) tetapi perlu ditutup untuk pemeriksaan lanjut. - Foto ST

Sebuah bangunan perindustrian di Tampines yang terbakar pada 9 Mei didapati selamat dari segi struktur oleh Penguasa Bangunan dan Pembinaan (BCA).

Menjawab pertanyan media, BCA berkata pada 10 Mei bahawa ia akan mengeluarkan arahan kepada pemilik untuk menutup keseluruhan bangunan tiga tingkat di 18 Tampines Street 92, tidak termasuk pondok pengawal dan tempat letak kereta yang tidak terjejas.

Menurut The Straits Times, BCA berkata juruteranya dibenarkan memeriksa bangunan itu selepas Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) menyelesaikan operasi di sana pada pagi 10 Mei.

SCDF sebelum ini menilai struktur premis itu sebagai tidak stabil.

BCA mendapati kebakaran itu telah merosakkan bahagian struktur konkrit dan bumbung keluli bangunan itu, yang digunakan oleh syarikat peruncit perabot T.C. Homeplus.

“Kekuda bumbung menunjukkan tanda-tanda perubahan bentuk akibat pendedahan kepada haba yang berpanjangan,” kata BCA, sambil menambah bahawa terdapat regangan diperhatikan pada beberapa tiang dan kepingan konkrit.

“Walaupun terdapat tanda-tanda kerosakan akibat kebakaran ini, tiada perubahan bentuk struktur yang ketara pada palang, kepingan konkrit dan tiang konkrit; oleh itu, bangunan itu kekal selamat dari segi struktur,” kata BCA.

Penguasa itu juga telah mengarahkan pemilik bangunan supaya melantik jurutera profesional untuk menjalankan penyiasatan terperinci tentang keadaan struktur, mengesyorkan langkah keselamatan segera dan mencadangkan kerja-kerja pembaikan.

Dalam satu hantaran Facebook pada 9 Mei, SCDF berkata mereka dimaklumkan mengenai kebakaran di sebuah bangunan industri dua tingkat di 18 Tampines Street 92 sekitar 12.50 tengah hari.

Menurut SCDF, kebakaran itu melibatkan barangan tekstil di dalam bangunan berkenaan.

Asap hitam dan tebal dilihat keluar berkepul-kepul daripada bangunan yang dijilat api itu.

Lima jet air, pemantau udara dari tangga platform gabungan dan mesin pemadam kebakaran tanpa pemandu telah dikerahkan untuk memadamkan kebakaran.

Kebakaran itu menyebabkan pekerja pejabat dan pelajar sebuah sekolah berhampiran dipindahkan dari bilik darjah mereka.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg