Satu kebakaran berlaku di sebuah bangunan di Tampines, menyebabkan pekerja pejabat serta pelajar sebuah sekolah berhampiran dipindahkan dari bilik darjah mereka.
Dalam satu hantaran Facebook pada 9 Mei, Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) berkata mereka dimaklumkan mengenai kebakaran di sebuah bangunan industri dua tingkat di 18 Tampines Street 92 sekitar 12.50 tengah hari.
Menurut carian di Google, dua syarikat beroperasi di alamat tersebut – peruncit perabot T.C. Homeplus dan kedai tilam Jean Perry.SG, lapor The Straits Times (ST).
Asap hitam dan tebal jelas kelihatan dari bangunan yang terjejas.
SCDF menggunakan lima pancutan air untuk menjalankan operasi memadamkan api di lokasi kejadian.
Apabila wartawan ST tiba di lokasi sekitar 1.15 petang, pelajar dari Middleton International School yang berhampiran dilihat meninggalkan bangunan sekolah melalui tangga secara berkumpulan dan berhimpun di tingkat satu kawasan sekolah.
Seorang jurucakap EtonHouse, pengendali Middleton, berkata sebagai menjawab pertanyaan bahawa semua kanak-kanak dan anggota masyarakat telah dipindahkan dengan selamat.
Beliau menambah, pihak sekolah sedang bekerjasama rapat dengan SCDF dan agensi lain.
Seorang saksi, yang hanya mahu dikenali sebagai Encik James, berkata beliau sedang dalam perjalanan pulang ke pejabat selepas makan tengah hari di Our Tampines Hub (OTH) apabila terlihat asap tebal.
Setibanya di tempat kerjanya yang terletak bertentangan dengan bangunan terjejas, beliau melihat pekerja sedang dipindahkan sementara kenderaan SCDF memenuhi kawasan kejadian.
Pekerja berusia 35 tahun itu berkata adalah sukar untuk memastikan kehadiran semua orang kerana kebakaran berlaku ketika waktu makan tengah hari, di mana ramai berada di luar.
Seorang pekerja di T.C. Homeplus yang hanya mahu dikenali sebagai Cik Lee berkata:
“Saya sedang makan tengah hari bersama kira-kira 10 rakan sekerja di kantin bangunan itu apabila kami terdengar seseorang menjerit ‘api’, dan kami semua segera keluar.”
Wanita berusia 45 tahun itu menambah, kereta bomba dan bantuan lain tiba sekitar 10 minit selepas beliau melihat kebakaran itu sekitar 1 petang.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg