Topik diikuti
Pergi ke BHkuBekas peniaga TKC berhasrat kembali, tetapi kadar sewa jadi pertimbangan
Bekas peniaga TKC berhasrat kembali, tetapi kadar sewa jadi pertimbangan
Faktor seperti kos sewa, saiz unit jadi keprihatinan apabila buat keputusan untuk kembali buka kedai apabila TKC selesai naik taraf nanti
Bekas peniaga TKC berhasrat kembali, tetapi kadar sewa jadi pertimbangan
Dilema menyelubungi bekas peniaga Melayu/Islam di Tanjong Katong Complex (TKC) lama tentang sama ada mahu kembali ke pusat beli-belah ikonik itu apabila pintunya dibuka semula kepada orang ramai kelak, dengan kadar sewa menjadi keprihatinan utama.
Di sebalik keterujaan menanti TKC yang berwajah baru, beberapa bekas peniaga yang dihubungi Berita Harian (BH) berkata keputusan untuk kembali atau tidak bergantung kepada faktor seperti kos sewa dan juga saiz unit yang ditawarkan di TKC yang dinaik taraf itu.
Pemilik Siti Rugaiyah Collection, Encik Abu Bakar Bagarib, yang dahulunya pernah menyewa tiga unit di tingkat dua TKC lama, melahirkan kemahuannya untuk kembali berniaga di pusat beli-belah itu, namun bimbang kadar sewa yang ditawarkan melampaui harga yang boleh dimampui.
“Kita kalau boleh memang nak balik ke TKC sebab kita pun dah lama di situ dahulu. Cuma sekarang ini, kita tak tahu bagaimana konsep dan cara TKC yang baru ini.
“Dengan keadaan ekonomi yang tidak menentu ini, saya juga rasa bimbang tempat itu (kadar sewa) akan jadi terlalu mahal,” kata beliau ketika dihubungi BH.
Menurut Encik Abu Bakar, kadar sewa terakhir yang dibayarnya sebelum TKC ditutup bagi memberi laluan kepada kerja peningkatan dahulu adalah lebih $2,000 sebulan bagi satu unit.
Kerja-kerja naik taraf TKC – bangunan mercu tanda yang dekat di hati ramai orang Melayu dalam Jalur Budaya Geylang Serai – dijangka selesai pada separuh pertama 2028, yang bermakna ia masih boleh dibuka semula kepada awam pada 2029, sebagaimana yang dilapor BH sebelum ini.
Sekitar 1,500 meter persegi – atau kira-kira 5 peratus – daripada ruang lantai kasar maksimum sekitar 30,000 meter persegi pusat beli-belah berwajah baru itu akan dikhususkan bagi perniagaan dan inkubasi keusahawanan Melayu.
Ruang tersebut akan dibangunkan dan dikelolakan oleh Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS).
DPPMS memberitahu BH bahawa perbincangan kini sedang diadakan dalam usaha memudahkan perniagaan dan usahawan Melayu membuka kedai di TKC, termasuk berhubung harga sewa.
Bahkan, pihaknya juga telah memulakan usaha mendekati bekas penyewa TKC untuk mengetahui sama ada mereka berminat untuk kembali berniaga di pusat beli-belah berwajah baru itu.
Meski berminat kembali ke TKC yang baru, pemilik perniagaan permaidani Fotohi Carpet Gallery, Encik Reza Fotohi, menekankan bahawa harga sewa yang ditawarkan haruslah “munasabah”.
Sebelum ini, Encik Reza menyewa unit seluas 4,000 kaki persegi dengan harga sekitar $13,000 sebulan di TKC yang lama. Kini, beliau mempunyai dua kedai di Guthrie Building, Changi Road dan pusat beli-belah The Centrepoint, Orchard Road.
“Saya faham apabila TKC dinaik taraf, sewa mesti akan naik… tetapi harga sewanya perlu munasabah dan tidak boleh terlalu tinggi berbanding di Joo Chiat atau kawasan sekeliling.
“Kita tak boleh bandingkan dengan harga sewa di PLQ Mall (di Paya Lebar Road) kerana tentunya tidak akan ada bekas penyewa TKC yang mampu (jika harga sewa serupa yang di PLQ Mall),” kata beliau.
Menurut data di laman web Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA), kadar sewa median bagi ruang runcit di kawasan Eunos Road 8, Geylang Road, Paya Lebar Road dan Tanjong Katong Road, adalah antara $76.47 dengan $261.92 bagi setiap meter persegi (psm) setiap bulan (atau antara $7.10 dengan $24.33 bagi setiap kaki persegi (psf) setiap bulan) dalam suku pertama 2026.
