Satu artikel berita boleh diolah menjadi komik, kuiz atau kad imbasan bagi memenuhi keperluan pembelajaran pelajar yang berbeza dengan menggunakan kecerdasan buatan generatif (Gen AI).

Cara memanfaatkan teknologi itu dipelajari 80 guru sekolah rendah dan menengah dalam bengkel anjuran Berita Harian (BH) pada 20 November.

Dikendalikan oleh jurulatih StoryLab Academy, bengkel berbentuk amali itu memberi peluang kepada peserta mencuba alat AI seperti ChatGPT dan Gemini Notebook untuk mengolah artikel daripada Gen G, akhbar pelajar terbitan Berita Harian (BH), menjadi bahan pembelajaran interaktif.

Ini termasuk menyesuaikan bahan pelajaran untuk mengikut keperluan pembelajaran serta tahap penguasaan pelajar berbeza.

Pengasas dan Pengarah Urusan StoryLab Academy, Encik Sanjay Muthukumaran, berkata kemajuan AI kini membolehkan guru mengolah kandungan yang sama dalam pelbagai format.

“Kebelakangan ini, AI telah digunakan oleh para guru dalam bilik darjah dan semakin biasa dengan teknik memberikan arahan (prompt engineering) untuk menghasilkan lembaran kerja, komik dan pelbagai bahan pengajaran kreatif.

“Namun, kini terdapat banyak alat AI baru seperti Gemini Notebook yang membolehkan guru menghasilkan infografik, kuiz dan kad imbasan dengan pantas, sekali gus menjimatkan masa mereka,” kata Encik Sanjay.

Beliau menambah: “AI sebenarnya menyeronokkan untuk digunakan. Semuanya bergantung pada sejauh mana kita kreatif memanfaatkannya dan memilih alat yang sesuai.”

Lihat berita utama daripada semua kategori di satu tempat.

Guru Sekolah Rendah Shuqun, Encik Razzali Aziz, berkata bengkel itu mengubah tanggapannya terhadap penggunaan AI dalam pengajaran.

“Sebelum ini, saya agak ragu-ragu untuk menggunakan AI secara menyeluruh dalam kelas. Namun, selepas mengikuti bengkel ini, saya dapati penyediaan bahan pengajaran seperti video dan lembaran kerja menjadi lebih mudah,” katanya.

Beliau bercadang memanfaatkan artikel BH yang menyentuh isu semasa, khususnya bagi murid Darjah 5 dan 6, dengan mengolahnya menjadi slaid persembahan yang lebih menarik menggunakan AI.

“Kebanyakan murid sekarang lebih mudah belajar melalui bahan visual. Apabila melihat gambar yang menarik, mereka lebih berminat untuk mengetahui perkara yang diajar,” katanya.

Begitu juga pendapat guru Sekolah Menengah Junyuan, Cik Rohani Abdul Rahim, yang berkata bengkel tersebut telah membuka peluang kepada pendidik untuk meningkatkan kemahiran menggunakan AI seiring perkembangan teknologi.

Beliau berharap kemahiran yang diperoleh dapat membantunya memanfaatkan teknologi tersebut untuk menarik minat pelajar dan meningkatkan penguasaan Bahasa Melayu mereka.

“Sebagai guru, kita perlu sentiasa memperkaya pengetahuan tentang AI supaya kita tahu apa yang dapat menarik minat pelajar dan bagaimana teknologi ini boleh membantu kita mengajar mereka,” katanya.

Bengkel itu juga menyaksikan perkongsian daripada Ketua Subjek/Sokongan Pendidikan Sekolah Menengah Woodlands Ring, Encik Zulhafiz Zainal.

Ketua Subjek/Sokongan Pendidikan di Sekolah Menengah Woodlands Ring, Encik Zulhafiz Zainal antara guru yang meneroka penggunaan alat kecerdasan buatan (AI) bagi menjadikan bahan pembelajaran lebih menarik dan interaktif bagi para pelajar.
Ketua Subjek/Sokongan Pendidikan di Sekolah Menengah Woodlands Ring, Encik Zulhafiz Zainal antara guru yang meneroka penggunaan alat kecerdasan buatan (AI) bagi menjadikan bahan pembelajaran lebih menarik dan interaktif bagi para pelajar. - Foto BH oleh KHALID BABA

Beliau sendiri menerapkan AI dalam bilik darjah menerusi sistem ‘bot’ dipandukan AI (AI Chatbot), demi membimbing pelajar dalam penulisan esei dan meringankan beban pentadbiran guru.

Usaha itu sejajar dengan inisiatif Negara Bijak 2.0 yang dilancarkan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, pada 2024, yang antara lain menekankan penggunaan teknologi untuk meningkatkan keupayaan rakyat dan membuka peluang baru.

Encik Zulhafiz, yang terus memanfaatkan teknologi AI dalam pengajarannya, berkata penggunaan alat tersebut membantu meningkatkan minat dan pemahaman pelajar terhadap bahan bacaan.

“Sebelum ini, kegiatan membaca agak sukar dijalankan kerana murid kurang memahami apa yang dibaca. Apabila mereka kurang berminat, tumpuan mereka dalam kelas turut terjejas.

“Namun, dengan bantuan alat AI dan teknologi pendidikan, saya dapati murid lebih terdorong untuk membaca dan memahami kandungan artikel.

“Bahan yang lebih bersifat visual juga membantu mereka membina pengetahuan sendiri daripada apa yang dibaca. Ini antara perubahan positif yang saya lihat, khususnya dari segi pembelajaran secara berdikari,” katanya.

Dalam pada itu, beliau akur penggunaan teknologi baru mungkin menimbulkan kebimbangan dalam kalangan guru, khususnya apabila cara pembelajaran pelajar kini semakin berubah.

“Saya akur bahawa sesuatu yang baru mungkin agak menakutkan, terutama apabila kita sedar cara pelajar hari ini belajar berbeza daripada apa yang kita biasa lakukan.

“Namun, saya harap perubahan ini menjadi pendorong untuk kita terus mengasah kemahiran kerana sebagai pendidik, kita perlu mendidik pelajar mengikut konteks dan pengalaman mereka.

“Ini merupakan amanah yang perlu terus kita pegang teguh,” katanya.