Sedang sebahagian guru cuba menjauhi penggunaan kecerdasan buatan (AI) untuk mengajar, Encik Zulhafiz Zainal, 34 tahun, menerapkannya dalam pembelajaran Bahasa Melayu dalam kelas.
Sistem ‘bot’ dipandukan AI (AI Chatbot), yang dicipta beliau untuk membimbing pelajar dalam penulisan esei dan meringankan beban pentadbiran guru, adalah sebahagian daripada tonggak ‘Pertumbuhan’ bagi wawasan Negara Bijak 2.0.
Demikian diumumkan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, di Daerah Digital Punggol pada 1 Oktober.
Menerangkan mengenai tonggak pertama itu (selain Kepercayaan dan Masyarakat), Encik Wong berkata ia adalah untuk memperkasa warga dan perniagaan bagi menggunakan teknologi agar potensi sebenar Singapura dapat direalisasikan dengan membuat pelaburan dalam kebolehan AI baru.
Encik Zulhafiz, yang merupakan Ketua Subjek Bahasa Melayu di Sekolah Menengah Woodlands Ring, berkata sistem ‘bot’ itu dapat membantu pelajar mengasah kemahiran bahasa dengan cara lebih dinamik.
Untuk menggunakannya, pelajar hanya perlu menaip topik soalan dalam enjin carian dan sistem itu akan memberi bimbingan kepada mereka cara menulis topik karangan yang ditanyakan.
“Sistem ini memudahkan pelajar mencari jawapan kepada pertanyaan mereka. Mereka juga tidak perlu lagi menantikan jawapan daripada guru, terutama selepas kelas berakhir atau di luar masa mengajar.
“Pelajar saya tidak perlu lagi menunggu untuk berjumpa saya selepas waktu sekolah. Mereka boleh mendapatkan huraian bagi pertanyaan mereka walaupun pada waktu malam, sewaktu mereka menyelesaikan tugasan masing-masing,” jelas Encik Zulhafiz.
Memberi maklum balas mengenai AI Chatbot itu, pelajar Menengah 3 sekolah itu, Mohammed Zaheer Mohd Azman, 15 tahun, berkata:
“Melihat soalan yang dijana oleh ‘bot’ membantu memastikan kami berada di landasan yang betul ketika menjawab soalan berpandukan topik yang diajukan.
“Ini amat berguna apabila saya tidak dapat berfikir dengan jelas semasa melakukan tugasan sekolah.”
Mohammed Zaheer menambah bahawa sistem itu memudahkannya melakukan kerja rumah, terutama sekali dalam penulisan karangan Bahasa Melayu.
Dengan penggunaan sofwe AI Chatbot yang direka khas oleh Encik Zulhafiz, dia dapat menghasilkan karangan yang lebih baik dan memenuhi semua keperluan soalan.
Menurut Encik Zulhafiz, sekitar 120 pelajar telah menggunakan sistem AI Chatbot itu untuk membantu menghasilkan karangan yang unik dan menyeluruh.
Namun, sistem AI Chatbot itu bukan satu-satunya huraian AI yang digunakan Encik Zulhafiz dalam bilik darjah.
Beliau turut menggunakan alat penilaian pertuturan dalam Portal Pelajar (SLS) untuk menilai kemahiran lisan pelajar secara automatik bagi membolehkannya memberi maklum balas yang lebih cepat dan menyokong proses penilaian yang lebih cekap.
Dengan menggunakan ciri-ciri yang dibantu AI, beliau dapat memberikan komen dengan segera mengenai penguasaan bahasa pelajar dan meningkatkan kemahiran berkomunikasi secara lisan.
Menurut Encik Zulhafiz, beliau pada mulanya menggunakan teknologi AI untuk menjana idea yang kreatif untuk dijadikan bahan pengajaran.
Namun, apabila menyedari kelebihan menggunakan teknologi AI, beliau mengembangkan cara penggunaan sofwe itu untuk menilai tugasan pelajar.
“Bagi saya, adalah penting bagi seseorang guru belajar memanfaatkan teknologi yang sedia ada untuk membantu pelajar,” ujar Encik Zulhafiz.
Beliau menambah, ini berbeza dengan kaedah pembelajaran tradisional yang memastikan proses pembelajaran sesuatu subjek tidak menggunakan jalan pintas.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg