Masyarakat
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

BH, AMP meterai MOU sedia dermasiswa bantu pelajar pengajian tinggi

Jan 8, 2026 | 6:09 PM
Singapore, Berita Harian, AMP, dermasiswa, bursary
Editor Berita Harian (BH), Encik Nazry Mokhtar (kiri), dan Pengarah Eksekutif AMP Singapura, Encik Mohksin Rashid, memeterai Memorandum Persefahaman (MOU) di bilik berita BH pada 8 Januari, bagi menyokong pembangunan akademik pelajar institusi pengajian tinggi daripada keluarga kurang bernasib baik dalam masyarakat Melayu/Islam. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Berita Harian (BH) telah memeterai satu Memorandum Persefahaman (MOU) bersama AMP Singapura bagi menyediakan sokongan dermasiswa kepada pelajar pengajian tinggi daripada latar belakang kurang bernasib baik.

Di bawah perjanjian itu, sebanyak $8,000 akan disalurkan bagi dermasiswa itu setiap tahun sehingga 2030.

Seramai empat pelajar akan dianugerahkan dermasiswa itu setiap tahun – dua pelajar politeknik akan menerima bantuan kewangan bernilai $1,500 setiap seorang, manakala dua lagi pelajar universiti akan menerima sebanyak $2,500 setiap seorang.

Anugerah itu disasarkan kepada mereka yang sedang mengikuti pengajian dalam jurusan media dan komunikasi atau pengajian Melayu.

Ini kali pertama BH memberi anugerah dermasiswa, dengan kerjasama sebuah badan Melayu/Islam.

MOU tersebut dimeterai oleh Editor BH, Encik Nazry Mokhtar, dan Pengarah Eksekutif AMP, Encik Mohksin Rashid, pada 8 Januari, dengan kehadiran wakil kedua-dua pihak di bilik berita BH.

Dalam ucapannya, Encik Nazry berkata:

“Melalui kepakaran AMP dalam mendekati golongan yang memerlukan, kita dapat memastikan sumbangan ini sampai ke tangan mereka yang benar-benar layak, sekali gus menyuntik semangat buat para pelajar kita untuk terus mengejar kecemerlangan dalam bidang komunikasi dan media atau pengajian Melayu.

“Kami berharap agar kerjasama erat ini akan terus berkembang pada masa hadapan demi melahirkan generasi pelapis yang berilmu, berdaya saing, dan mampu menyumbang kembali kepada masyarakat,” tambah beliau.

Encik Mohksin dalam ucapannya pula menegaskan kepentingan kerjasama masyarakat, dengan pendidikan dalam dua bidang pengajian yang disokong di bawah dermasiswa itu, menjadi antara kunci membentuk masyarakat pada masa hadapan.

“Keutamaan AMP hari ini adalah memastikan kesejahteraan ekonomi masyarakat, agar kita mampu berdikari dan menjaga mereka di sekeliling kita.

“Namun, usaha ini tidak boleh digalas secara bersendirian, dan sebaliknya memerlukan perkongsian kukuh, nilai bersama serta komitmen jangka panjang dalam membina peluang untuk masyarakat,” kata beliau.

“Dua bidang yang disokong menerusi dermasiswa ini amat penting kepada masyarakat kami kerana ia membentuk suara, naratif serta pemahaman masyarakat kita,” tambahnya.

Pelajar yang menerima dermasiswa tersebut boleh menggunakannya bagi keperluan pendidikan seperti pembelian buku, bahan pembelajaran dan peralatan akademik lain.

Dana bagi skim dermasiswa tersebut akan diperolehi hasil kutipan di acara kejohanan Golf Amal BH-AMP yang diadakan pada Julai 2025, yang berjaya mengumpulkan lebih $271,000 secara keseluruhannya bagi tujuan amal.

Daripada jumlah itu, sekitar $21,000 akan digunakan bagi skim itu, dengan $8,000 akan disalurkan setiap tahun sehingga 2030 atau sehingga kesemua dana dermasiswa itu telah disalurkan sepenuhnya.

Tambahan dana turut dijangkakan melalui Geran Tote Board Singapura, menurut kenyataan bersama BH dan AMP Singapura.

Baki dana akan digunakan untuk menyokong program AMP dan Persatuan Kanak-Kanak Singapura untuk mempertingkat kehidupan golongan yang memerlukan, termasuk kanak-kanak, belia dan keluarga kurang bernasib baik.

Untuk layak bagi dermasiswa itu, pelajar mesti berwarganegara Singapura, beragama Islam dan berbangsa Melayu, dengan pendapatan kasar bulanan isi rumah tidak melebihi $3,500 atau pendapatan per kapita sebanyak $700.

Selain itu, pemilihan penerima turut mengambil kira penglibatan aktif pelajar dalam kegiatan kokurikulum, kerja sukarela atau peranan kepimpinan, serta sifat ketabahan mereka dalam mengatasi cabaran peribadi atau urusan keluarga demi meneruskan pelajaran.

Skim itu dibuka kepada pelajar sepenuh masa di lima politeknik tempatan serta universiti awam seperti Universiti Nasional Singapura (NUS), Universiti Teknologi Nanyang (NTU), Universiti Pengurusan Singapura (SMU), Institut Teknologi Singapura (SIT) dan Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS), selain institusi swasta yang diperakui.

Butiran lanjut bagi permohonan dermasiswa akan diumumkan pada awal Mac, dengan pemberian dermasiswa dijangka pada sekitar Jun.

Semasa sesi jamuan malam selepas acara Golf Amal itu pada 22 Julai, Encik Nazry menjelaskan bahawa pendekatan itu menjadi teras transformasi BH sejak 2023 yang bukan sahaja tertumpu pada pelaporan berita, malah turut melibatkan peranan aktif dalam masyarakat.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg