Masyarakat
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Golf Amal BH-AMP kumpul $139,000 sejauh ini bagi bantu golongan memerlukan

Jun 10, 2025 | 6:28 PM
Golf amal BH-AMP, bantu golongan memerlukan
Sebanyak $139,000  telah berjaya dikumpulkan setakat ini bagi acara Golf Amal BH-AMP, yang dijadual berlangsung pada 22 Julai di Orchid Country Club, yang bertujuan mengumpul dana bagi menyokong usaha memperkasa golongan rentan serta melabur dalam pembangunan generasi masa hadapan. - Foto fail

Jumlah sebanyak $139,000 berjaya dikumpulkan sejauh ini sempena acara Golf Amal BH-AMP, yang dijadual berlangsung pada 22 Julai di Orchid Country Club.

Daripada jumlah tersebut, separuh merupakan sumbangan daripada rangkaian pasar raya Sheng Siong, yang tampil selaku satu-satunya penaja peringkat Berlian (Diamond).

Inisiatif tersebut bertujuan mengumpul dana bagi menyokong usaha memperkasa golongan memerlukan serta melabur dalam pembangunan generasi masa hadapan.

Editor Berita Harian (BH), Encik Nazry Mokhtar, merakamkan penghargaan atas sumbangan dan sokongan yang telah diterima setakat ini sambil menegaskan bahawa setiap sumbangan mampu membawa kesan kepada para penerima bantuan.

“Kami berbesar hati dengan sumbangan penaja yang diterima sejauh ini dan sokongan yang diberikan tentunya amat bermakna dalam usaha amal kami ini.

“Setiap sumbangan yang diterima akan memberikan impak yang bermakna kepada para penerima manfaat,” kata beliau.

Justeru beliau turut berharap lebih ramai akan tampil untuk menyertai acara amal ini menerusi pelbagai pakej sumbangan yang ditawarkan.

Karva, yang merangkumi Karva Travel and Tours dan salon Muslimah, Karva Salon, turut menyumbangkan sebanyak $10,000 bersama penaja lain yang terdiri daripada Singapore Airlines (SIA), Mustafa Centre, Maybank, Tang Tea House dan The Malayan Council.

Jumlah dana yang dikumpulkan daripada acara Golf Amal BH-AMP akan dibahagikan kepada kededua pihak dan disalurkan kepada pelbagai inisiatif kebajikan dan pembangunan masyarakat.

Separuh daripada jumlah tersebut akan diberikan kepada program sokongan sosial bagi keluarga kurang berkemampuan di bawah naungan AMP.

Sebanyak 40 peratus lagi akan diperuntukkan kepada Persatuan Kanak-Kanak Singapura (SCS) bagi menyokong usaha badan itu membantu kanak-kanak dan keluarga yang memerlukan.

Baki 10 peratus akan dikhususkan bagi pemberian hadiah buku kepada sekurang-kurangnya dua pelajar institusi pengajian tinggi dalam bidang komunikasi, media atau pengajian Melayu.

Acara amal itu diadakan sempena meraikan sambutan ulang tahun ke-60 kemerdekaan Singapura, atau SG60, dan diadakan sehari selepas Hari Keharmonian Kaum pada 21 Julai.

Ia juga merupakan julung-julung kalinya BH menganjurkan golf amal dan dipengerusikan bersama oleh Encik Nazry dengan Pengarah Eksekutif AMP Singapura, Encik Mohksin Mohd Rashid.

Mantan Presiden Puan Halimah Yacob akan menjadi tetamu terhormat bagi majlis Makan Malam Gala acara itu, manakala Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Encik Zaqy Mohamad, akan menjadi tetamu terhormat bagi permulaan pusingan golf amal tersebut.

“Kami amat terharu dengan sokongan yang begitu menggalakkan yang diterima melalui acara golf amal ini.

“Sokongan sedemikian memainkan peranan penting dalam memastikan kesinambungan dan kejayaan usaha kami, sekali gus membolehkan kami menyalurkan sumber yang penting bagi membantu golongan memerlukan serta memberi impak yang berpanjangan kepada masyarakat,” kata Encik Mohksin.

Pihak penganjur mengalu-alukan sumbangan dan pertanyaan yang boleh dihantar ke e-mel BHAMPcharitygolf@amp.org.sg.

Apa kata Editor BH, Encik Nazry Mokhtar

“Setiap sumbangan yang diterima akan memberikan impak yang bermakna kepada para penerima manfaat. Kami berharap lebih ramai akan tampil untuk menyertai acara amal ini menerusi pelbagai pakej sumbangan yang ditawarkan.”
Encik Nazry Mokhtar, Editor BH.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg