Akhbar Berita Harian (BH) telah melancarkan dermasiswa dan program mentor bagi pelajar kurang berkemampuan yang mengikuti pengajian dalam bidang media dan komunikasi serta pengajian Melayu di politeknik serta universiti.

Dilancarkan menerusi kerjasama dengan AMP Singapura, program tahunan ini turut merangkumi peluang latihan industri di bilik berita BH.

Demikian diumumkan oleh Editor BH, Encik Nazry Mokhtar, dalam majlis penyampaian dermasiswa BH-AMP buat julung kalinya. Ia diadakan di Auditorium SPH pada 9 Oktober.

Encik Nazry berkata inisiatif itu bertujuan merapatkan jurang antara pembelajaran akademik dengan alam pekerjaan, di samping mencerminkan komitmen BH untuk berkhidmat kepada masyarakat Melayu/Islam melangkaui peranannya sebagai sebuah organisasi berita.

Empat pelajar dalam dua jurusan tersebut telah menerima dermasiswa yang disampaikan oleh tetamu terhormat, Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Zaqy Mohamad, dalam majlis itu. Di bawah dermasiswa itu, pelajar politeknik menerima $1,500 manakala mahasiswa universiti menerima $2,500.

Menjelaskan lebih lanjut, Encik Nazry berkata:

“Mungkin ada yang tertanya-tanya: Mengapa BH – sebuah institusi media – mengambil inisiatif menganjurkan golf amal dan memberikan dermasiswa?

“Jawapannya mudah. BH mahu terus berbakti kepada masyarakat yang selama ini menyokong perjalanan kami, sekali gus mengeratkan lagi ikatan silaturahim dengan komuniti kita.

“BH bukan sekadar melaporkan berita. Kami juga adalah sebahagian daripada keluarga besar masyarakat Melayu/Islam di Singapura,” ujar beliau.

Dalam ucapannya, Encik Zaqy memuji kerjasama itu untuk membantu pelajar mencapai kejayaan.

“Inilah semangat ihsan yang ingin kita terus suburkan. Bukan sekadar memberi bantuan, tetapi membuka jalan. Bukan sekadar meraikan kejayaan, tetapi membantu lebih ramai untuk berjaya,” katanya.

Menurut Encik Zaqy lagi, adalah penting untuk memastikan setiap anak diberi peluang untuk mengembangkan potensi dan mengejar cita-cita sendiri.

“Mereka sudah menunjukkan kesungguhan untuk berjaya. Tanggungjawab kita pula ialah membantu mereka membuka jalan. Kita tidak harus membataskan cita-cita anak-anak kita. Sebaliknya, kita perlu memberi mereka keyakinan untuk melangkah lebih jauh,” ujar Encik Zaqy.

Selain bantuan kewangan, penerima berpeluang memperluas pengetahuan dan pengalaman di luar bilik darjah, menurut Encik Nazry.

“Melalui dermasiswa ini, para penerima akan berpeluang mendapat bimbingan mentor daripada wartawan di BH, menghadiri lawatan pembelajaran, serta menjalani latihan amali di bilik berita kami. Kami mahu merapatkan jurang antara pengajian dengan dunia pekerjaan agar anda lebih bersedia dan yakin melangkah ke alam kerjaya kelak,” ujar beliau.

Encik Nazry berkata program itu akan dijalankan setiap tahun dan pihaknya berharap untuk meluaskan program ini ke lebih ramai pelajar dengan suntikan dana dari penaja.

Pengarah Eksekutif AMP Singapura, Encik Mohksin Rashid berkata kerjasama dengan BH bermakna sebab ia menyatukan dua organisasi yang lama berkhidmat kepada masyarakat melalui pendekatan yang berbeza namun saling melengkapi.

“Dengan menumpukan kepada pelajar dalam pengajian Melayu serta media dan komunikasi, kami juga ingin mengetengahkan kepentingan bidang-bidang ini dalam membentuk naratif masyarakat, memelihara warisan, serta melahirkan pemimpin dan pengamal komunikasi masa hadapan,” kata beliau.

Lantaran itu, menurutnya, bantuan kewangan ini diharapkan ia dapat menggalak lebih ramai pelajar supaya menceburi bidang tersebut.

Mengenai kriteria pemilihan dermasiswa, beliau berkata selain pencapaian akademik, mereka turut menilai daya tahan, sifat kepimpinan dan komitmen mereka untuk menyumbang kembali kepada masyarakat.

Para penerima dermasiswa itu terdiri daripada dua mahasiswa Universiti Nasional Singapura (NUS), iaitu Encik Ahmad Musoddaq Ahmad Mazhar, yang mengikuti pengajian Sarjana Muda Sains Kemasyarakatan (Kepujian) dalam bidang Komunikasi dan Media Baru; serta Encik Syahmi Akmal Hakim Mohamad Ismail, dalam bidang Pengajian Melayu.

Dua penerima lain ialah pelajar Diploma Pengurusan Komunikasi Media di Politeknik Nanyang (NYP), Cik Haifa Norhaizal dan Cik Siti Nur Syahirah Yusman, penuntut program Diploma Pendidikan (Bahasa Melayu) di Institut Pendidikan Nasional (NIE), Universiti Teknologi Nanyang (NTU).

Dermasiswa itu dibiayai oleh dana kutipan menerusi acara kejohanan Golf Amal BH-AMP pada Julai 2025, yang berjaya mengumpulkan lebih $271,000.

Kira-kira $48,000 diperuntukkan bagi dermasiswa ini. Sebanyak $8,000 akan disalurkan setiap tahun sehingga 2031, atau sehingga dana dermasiswa habis sepenuhnya.

Untuk layak bagi dermasiswa itu, pelajar mesti berwarganegara Singapura, beragama Islam dan berbangsa Melayu, dengan pendapatan kasar bulanan isi rumah tidak melebihi $3,500 atau pendapatan per kapita sebanyak $700.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti