Daripada video TikTok yang santai dan podcast yang membincangkan isu hangat, kepada laporan mendalam serta kegiatan bersama masyarakat – Berita Harian (BH) mempergiat usaha mendekati generasi muda melalui pelbagai wadah.

Usaha ini bukan sekadar memperbaharui kandungan media sosial, malah sebahagian daripada transformasi lebih menyeluruh yang melibatkan seluruh bilik berita BH.

Pembaharuan tersebut diterajui platform belia OMGxBH yang bakal mendapat sentuhan kreativiti karyawan teater, media dan televisyen, Encik Hafidz Rahman, 38 tahun.

Wartawan Media Sosial yang menjadi ‘wajah’ platform itu juga terdiri daripada kakitangan baharu – Cik Shaza Daliela, 26 tahun; Cik Sofia Daud, 24 tahun; dan Cik Aishah Effendy, 23 tahun.

Namun, selain OMGxBH dan platform media sosial akhbar ini seperti Instagram dan TikTok, pasukan kewartawanan lain turut semakin memberi perhatian kepada minat, keperluan dan cara generasi muda mendapatkan maklumat.

Ini termasuk menghasilkan laporan yang lebih dekat dengan kehidupan golongan muda, menggunakan pendekatan penceritaan digital serta mempersembahkan isu rumit dalam format yang lebih mudah difahami.

Pada masa yang sama, BH kekal komited menyajikan kewartawanan bermutu kepada pembaca setianya, termasuk golongan lebih berusia yang terus bergantung pada BH untuk berita, analisis dan perkembangan masyarakat.

Editor BH, Encik Nazry Mokhtar, berkata usaha mendekati generasi muda bukan bermakna BH perlu mengubah identiti atau meninggalkan khalayak tradisionalnya.

“Matlamat kami bukan untuk memilih antara pembaca muda dengan pembaca lama. Sebaliknya, kami mahu BH kekal relevan kepada pelbagai generasi dengan menyampaikan kandungan yang bermutu melalui wadah dan pendekatan yang sesuai dengan keperluan masing-masing.

“Ini memerlukan seluruh bilik berita berfikir secara berbeza – bukan sahaja tentang cerita yang ingin disampaikan, tetapi juga bagaimana cerita itu dipersembahkan, siapa yang ingin kami dekati dan bagaimana kami boleh membina hubungan lebih bermakna dengan mereka,” katanya.

Dalam pada itu, OMGxBH memberi tumpuan kepada isu yang dekat dengan kehidupan belia – daripada pekerjaan dan kewangan kepada identiti serta budaya – melalui video spontan, wawancara jalanan dan kandungan interaktif.

Platform media sosial utama BH pula, dengan personaliti seperti Cik Natasha Mustafa, 31 tahun; Cik Ameerah Sallehuddin 24 tahun dan Cik Eva Adriana, 22 tahun; akan terus menyampaikan berita yang dipercayai melalui video penerangan, laporan visual dan podcast.

Pembaharuan ini turut mengambil kira maklum balas sekitar 80 peserta perbincangan kumpulan fokus (FGD) yang mahukan kandungan lebih tulen, relevan dan tidak terlalu formal.

Menurut Encik Nazry, dapatan itu mengukuhkan keperluan BH untuk terus mendengar suara audiensnya.

“Generasi muda bukan sekadar mahukan hiburan. Mereka juga mahu memahami isu semasa dan mendapatkan kandungan yang bermanfaat. Cara penyampaian kami boleh berubah, tetapi ketepatan dan kredibiliti kewartawanan BH tetap menjadi keutamaan,” katanya.

Selain kandungan digital, BH turut memperkukuh usaha mendampingi audiens dan masyarakat lebih besar melalui saluran seperti Telegram dan WhatsApp, serta kegiatan bersemuka.

Antaranya termasuk sesi Jom BHerbual, NoTapis Live, kegiatan kampus dan pertemuan santai bersama belia.

Editor Perkembangan Audiens BH, Cik Norhaiza Hashim, berkata hubungan dengan masyarakat tidak seharusnya terhenti apabila mereka selesai membaca artikel atau menonton video.

“Kami mahu beralih daripada sekadar menyampaikan kandungan kepada membina komuniti. Melalui interaksi digital dan kegiatan bersemuka, kami dapat mendengar pandangan audiens kami, memahami keperluan mereka dan memberi ruang kepada mereka untuk turut membentuk perbualan dan kandungan bersama BH,” katanya.

Usaha ini juga membuka peluang untuk membina hubungan lebih akrab dengan generasi muda yang mungkin belum menjadikan BH sebagai sumber berita utama mereka, tambah beliau.

Merumuskannya, Encik Nazry berkata:

“Bagi BH, matlamat bukan sekadar menambah jumlah pengikut atau tontonan, tetapi memastikan kewartawanannya terus dipercayai, relevan dan dekat di hati masyarakat, merentas generasi”.