Topik diikuti
Pergi ke BHkuBH70: Meraikan Kisah Kita
BH70: Meraikan Kisah Kita
Berita Harian (BH) bakal menyambut ulang tahunnya yang ke-70 pada 1 Julai 2027, menandakan tujuh dekad perjalanan bersama masyarakat Melayu/Islam Singapura.
Sejak diterbitkan pada 1957, BH bukan sekadar menjadi wadah penyampai berita dan maklumat, malah turut merakam suka duka, perjuangan, pencapaian dan perubahan masyarakat sepanjang perjalanan pembangunan negara.
Bertemakan ‘Kisah Kita’, sambutan BH70 bertujuan meraikan hubungan erat antara BH dengan masyarakat yang menjadi nadi dan sumber kekuatannya selama ini.
Sepanjang beberapa bulan mendatang, pelbagai kandungan editorial, program kemasyarakatan dan kegiatan khas akan dianjurkan bagi mengimbau sejarah, meraikan pencapaian serta mengajak masyarakat bersama-sama menelusuri masa depan.
Sebagai permulaan, BH hari ini memperkenalkan logo khas BH70 yang akan menghiasi kepala akhbar ini sepanjang tempoh sambutan ulang tahun tersebut.
Direka oleh Koresponden Media Sosial BH, Hisyam A Rahman, logo itu menggabungkan angka ‘70’ dalam bentuk geometri yang melambangkan helaian akhbar, sekali gus mencerminkan perjalanan BH daripada penerbitan cetak kepada wadah berita digital.
Gabungan warna biru, kuning, jingga dan hijau pula memberikan sentuhan segar dan dinamik, manakala corak yang diinspirasikan daripada seni batik menyerlahkan identiti dan warisan Melayu.
Reka bentuk yang moden namun tetap mengekalkan ciri jenama BH ini mencerminkan aspirasi kami untuk terus berkembang seiring perubahan zaman, tanpa melupakan akar dan tanggungjawab kepada masyarakat.
Tujuh dekad telah berlalu, namun kisah kita masih terus ditulis.
Dan kami mengundang anda untuk terus menjadi sebahagian daripadanya.