Bilangan gerai Bazar Kampong Gelam dikurangkan, tapi dijangka kekal meriah
Bilangan gerai Bazar Kampong Gelam dikurangkan, tapi dijangka kekal meriah
103 gerai bazar di Sultan Gate Park, Muscat St dan Kandahar St; tiada gerai di Baghdad St tetapi hiasan lampu semarakkan suasana
Edisi bazar Ramadan 2026 di Kampong Gelam akan menampilkan jumlah gerai lebih rendah berbanding 2025, namun akan terdapat pelbagai kegiatan untuk menyemarakkan suasana di kawasan warisan itu bagi pengunjung.
Kali ini, kawasan bazar akan tertumpu di sekitar Sultan Gate Park, Muscat Street dan Kandahar Street.
Sultan Gate Park – sebuah kawasan tanah lapang antara Gedung Kuning dengan Serambi Kampong Gelam di 45 Sultan Gate – akan menjadi lokasi utama bagi kegiatan bazar, dengan pentas disediakan buat julung-julung kalinya pada tahun ini bagi persembahan dan hiburan.
Sebanyak 22 gerai makanan dan minuman (F&B) serta 13 gerai runcit yang terpilih akan ditempatkan di Sultan Gate Park itu.
Ini bermakna kawasan bazar kali ini lebih kecil dan tidak merangkumi Baghdad Street dan juga tempat meletak kereta berhampiran dengannya, yang biasanya ditutup bagi memberi laluan kepada bazar itu setiap tahun.
Bagaimanapun, Baghdad Street akan dihiasi dengan lampu bagi menghidupkan suasana meriah Ramadan di kawasan bersejarah itu.
Bertemakan Gemilang Kampong Gelam 2026, bazar itu secara keseluruhannya akan menampilkan 103 gerai terdiri daripada 91 gerai F&B serta 12 gerai runcit pada 2026, berbanding sekitar 120 gerai pada tahun sebelumnya.
Ia akan dilancarkan secara rasmi pada 13 Februari, diadakan selama 33 hari iaitu dari 11 Februari hingga 15 Mac – beberapa hari sebelum Hari Raya Aidilfitri yang dijangka jatuh pada 21 Mac.
Dalam sidang media yang diadakan pada 23 Januari, pengerusi Perikatan Kampong Gelam (KGA), Encik Zaki Ma’arof, menjelaskan keputusan untuk meniadakan bazar di Baghdad Street dan tempat meletak kereta yang berhampiran itu adalah atas sebab kos, dan juga untuk memastikan lebih banyak tempat meletak kenderaan buat pengunjung.
KGA merupakan kumpulan lembaga yang memantau kegiatan di Kampong Gelam.
Menurut beliau, kos bagi menutup jalan raya itu dan mengerahkan pengawas trafik bagi keselamatan selama 33 hari itu sahaja akan menelan belanja sekitar $275,000, iaitu lebih 30 peratus daripada seluruh bajet menganjurkan bazar itu, jika ia dilakukan.
“Kami turut mengambil kira maklum balas yang diterima tahun lepas (dalam memutuskan untuk tiadakan bazar di Baghdad Street), dan juga untuk memenuhi permintaan kedai perniagaan di kawasan itu,” tambah Encik Zaki.
Meski kurang gerai kali ini, bazar di Kampong Gelam akan tetap meriah, dengan Syed Muhammad Farit Syed Ahmad, pengarah Syed Trader’s, yang merupakan penganjur bazar, berkata:
“Sumber yang kami dapat jimatkan akan digunakan untuk menjalankan pelbagai kegiatan harian di bazar ini untuk memeriahkan lagi suasana di kawasan Sultan Gate.”
Pengunjung boleh mendapatkan pelbagai makanan dan minuman daripada peniaga baru dan lama di bazar itu, termasuk di gerai House of Lemang, Picanhas, Satay Ummi, Smashed Burger, Pesta Tomahawk Kak Ummi, ALYUMNI Bakes dan Cahaya Timur Briyani House.
Kegiatan akan dimulakan sebelum Ramadan, dengan satu acara berjalan pada waktu malam dengan pelita – Night Walk with Pelita: A Journey of Light & Reflection – di sekitar kawasan Kampong Gelam pada 30 Januari.
Sekitar 150 belia dan anggota masyarakat akan terlibat dalam acara itu bagi menyebarkan mesej tentang bahaya vape dan kempen Dadah Itu Haram dengan kerjasama Drugfree SG.
Bazar kali ini juga akan mengadakan kegiatan setiap hari, berbanding pada hujung minggu sahaja sebelum ini, seperti pertandingan hafalan Al-Quran, persembahan nasyid dan juga persembahan nyanyian oleh artis dari dalam dan luar negara.
Artis tempatan dan juga dari Malaysia dan Indonesia yang akan membuat penampilan termasuk Iskandar Ismail, Alyph, Abang Sapau, Tenxi dan Nadhif Basalamah.
Acara utama, iaitu majlis berbuka puasa beramai-ramai, pula akan diadakan pada 28 Februari.
Pihak penganjur juga akan menyediakan khidmat jagaan anak-anak apabila ibu bapa melakukan ibadah solat tarawih di Masjid Sultan yang berdekatan, namun mereka perlu mendaftar bagi khidmat ini terlebih dahulu.
Butiran lanjut mengenai khidmat penjagaan ini akan diumumkan kelak.
Berita Harian (BH) sebelum ini melaporkan bahawa sambutan menyewa gerai amat menggalakkan di Kampong Gelam dengan lebih 90 peratus gerai telah ditempah.
Kadar sewa juga kekal stabil, dengan kos sewa bagi gerai runcit kekal dalam lingkungan $3,000 hingga $3,500, manakala bagi makanan dan minuman pula dalam lingkungan $6,000 sehingga $13,500, bergantung kepada lokasi gerai tersebut.

