Bakat-bakat muda yang berminat dalam seni penceritaan Melayu kini berpeluang mengasah kemahiran mereka di bawah bimbingan pencerita berpengalaman.
Sempena pembukaan semula Taman Warisan Melayu (TWM) yang dijadualkan pada April 2026, TWM telah melancarkan Program Bimbingan Penglipur Lara 2026.
Program sulung ini bertujuan memupuk minat belia terhadap Warisan Kebudayaan Tidak Ketara (Intangible Cultural Heritage) dengan memastikan seni penceritaan, yang disampaikan melalui lagu, pergerakan dan bahan warisan seperti topeng atau wayang kulit, kekal relevan dalam mempromosikan warisan Melayu kepada audiens muda hari ini.
Program ini akan dibimbing oleh dua orang penglipur lara tersohor.
Antaranya ialah Cik Jumaini Ariff, atau Penglipur Lara ‘Nek Selampit’. Beliau merupakan pendidik, penulis dan pengasas syarikat kesenian Storyscribblers.
Sebagai Duta Bahasa, beliau aktif mempersembahkan sesi penceritaan sempena kempen kebudayaan dan bahasa nasional.
Penglipur kedua pula ialah Cik Nadya Hashim atau ‘The Storytelling Fairy’.
Beliau telah berjinak-jinak dengan seni penceritaan sejak lapan tahun lalu dan merupakan murid ‘Nek Selampit’. Beliau sering membuat sesi penceritaan di sekolah, perpustakaan dan acara kemasyarakatan.
Program bimbingan ini akan merangkumi 10 sesi latihan yang dijalankan setiap Sabtu dari 17 Januari hingga 11 April 2026.
Peserta akan mengikuti kurikulum tersusun yang merangkumi kemahiran memilih dan mengubahsuai cerita, rentak dan lontaran suara, ekspresi wajah, serta cara mendapatkan penglibatan penonton.
Peserta yang menamatkan sekurang-kurangnya lapan sesi latihan dan membuat persembahan penceritaan berpeluang untuk perkara-perkara berikut:
– Menerima elaun dan kos perbelanjaan bagi bahan-bahan yang digunakan;
– Memasuki rangkaian pencerita di Singapura, yang akan membuka ruang dan peluang untuk membuat persembahan sesi penceritaan yang lain; dan
– Membuat persembahan semasa Pesta Pembukaan Semula TWM. Festival ini dijadualkan berlangsung dari 25 April hingga 3 Mei 2026, meliputi kawasan TWM dan sekitar Kampong Gelam.
Pendaftaran kini dibuka untuk belia yang berminat, tertakluk kepada syarat-syarat berikut:
– Berumur 17-35 tahun.
– Boleh berdwibahasa dalam Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu.
– Selesa bercerita kepada kanak-kanak dan keluarga.
– Berminat menyampaikan kisah-kisah dari Alam Melayu.
Tarikh akhir pendaftaran adalah pada Jumaat, 12 Disember 2025. Pemohon perlu menghantar CV bersama sebuah video satu minit yang menyatakan hasrat mereka untuk menyertai program ini.
TWM, yang terletak di Istana Kampong Gelam dan diuruskan oleh Lembaga Warisan Negara (NHB) dengan kerjasama Yayasan Warisan Melayu (MHF), telah ditutup sejak November 2022 untuk pemulihan dan penambahbaikan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg