Siapa sangka sebuah kedai runcit yang dibangunkan untuk membina semula kehidupan selepas bebas dari penjara turut membantu keluarga lain bangkit daripada kesempitan.

Demikianlah usaha Encik Muhammad Haiqal Mohd Aris dan Encik Ahmad Tarmizi Mohamed Amran yang mengasaskan SG Streetsmart, sebuah kedai runcit di Blok 621 Bedok Reservoir Road.

Malah, selepas meninggalkan kehidupan di sebalik jeriji besi, mereka berdua bertekad membina semula kehidupan mereka bersama.

Kedua-dua sahabat yang pernah menjalani hukuman penjara atas kesalahan berkaitan dadah itu telah mengumpulkan sekitar $50,000 daripada simpanan sendiri untuk membuka kedai runcit tersebut pada Februari.

Pada ketika itu, mereka baru sahaja dibebaskan dari penjara - Encik Tarmizi dibebaskan pada Februari 2025, manakala Encik Haiqal pada Mei tahun sama.

Selepas dibebaskan, Encik Tarmizi menghubungi keluarga Encik Haiqal menggunakan nombor yang telah disimpan menerusi surat elektronik atau e-letter yang dihantar semasa di penjara.

“Bila Haiqal keluar, kami berhubung semula dan dari situ kami mula bekerjasama,” kata Encik Tarmizi.

Encik Haiqal, yang mempunyai ibu bapa yang uzur, berkata:

“Mungkin disebabkan umur, saya sedar saya tak ingin masuk dalam lagi. Setiap kali keluarga datang melawat, mereka terpaksa menempuh perjalanan semata-mata untuk berjumpa saya. Itu pun sekejap sahaja, selama 20 minit.

“Melihat mereka berulang kali melalui kesusahan itu kerana kesilapan saya sendiri membuatkan saya sedar bahawa mereka turut menanggung akibat daripada perbuatan saya.

“Saya tidak mahu keluarga saya melalui semua itu sekali lagi,” kata Encik Haiqal, 36 tahun.

Tanpa disangka, usaha membina masa depan sendiri itu akhirnya memberi mereka peluang membantu orang lain memperbaiki kehidupan menerusi usaha kemasyarakatan di kedai tersebut.

Pada mulanya, minuman percuma disediakan kepada penduduk sebagai satu bentuk amal jariah setiap Jumaat.

Usaha itu menjadikan kedua-dua mereka wajah dikenali ramai dalam kalangan penduduk Bedok North – termasuk pelajar dan penduduk warga emas, yang dilihat melambai dan menyapa Encik Tarmizi dan Encik Haiqal ketika Berita Harian (BH) mengunjungi gerai tersebut.

Namun, selepas beberapa bulan menjalankan usaha tersebut, kedua-dua mereka merasakan ia masih belum memadai.

Maka, mereka membuat keputusan untuk menyalurkan hampir 40 peratus hasil pendapatan dari jualan di kedai runcit itu untuk membantu keluarga berpendapatan rendah mendapatkan barangan keperluan.

Ini dilakukan menerusi kerjasama dengan inisiatif badan sukarela, Project Hills.

Menerusi program pengagihan barangan dapur bulanan itu, keluarga yang dikenal pasti oleh Project Hills boleh mendapatkan barangan bernilai sehingga $300 di SG Streetsmart berdasarkan keperluan masing-masing.

Setiap bulan, hampir 40 peratus hasil pendapatan disalurkan untuk membantu keluarga berpendapatan rendah mendapatkan barangan keperluan dengan inisiatif badan sukarela, Project Hills.
Setiap bulan, hampir 40 peratus hasil pendapatan disalurkan untuk membantu keluarga berpendapatan rendah mendapatkan barangan keperluan dengan inisiatif badan sukarela, Project Hills. - Foto AHMAD TARMIZI MOHAMED AMRAN

Pengasas bersama Project Hills dan pekerja sosial, Cik Zulayqha Zulkifli, yang menerima pelawaan mereka untuk bekerjasama, melihat usaha itu sebagai peluang bagi pasangan sahabat tersebut memulakan hidup baru.

Ini kerana Cik Zulayqha, yang juga penerima Anugerah Jauhari Harapan Berita Harian (BH) 2024, cukup sedar bahawa proses kembali ke pangkuan masyarakat selepas menjalani hukuman bukan sesuatu yang mudah.

“Matlamat utama kerjasama ini tentunya untuk memberi bantuan sementara kepada golongan yang memerlukan. Namun, saya juga menganggap ini sebagai satu peluang bagi Tarmizi dan Haiqal untuk memulakan lembaran baru dalam kehidupan mereka,” kata Cik Zulayqha.

“Saya tahu betapa sukarnya proses untuk kembali menyesuaikan diri dalam masyarakat, meskipun seseorang itu sudah meninggalkan kehidupan lamanya dan mencapai beberapa tahap dalam proses pemulihan.

“Pengalaman kami bekerjasama dengan mereka setakat ini amat positif. Mereka menunjukkan kesungguhan dan semangat yang tinggi untuk berubah,” ujarnya.

Encik Muhammad Haiqal Mohd Aris (berlutut) dan sahabatnya, Encik Ahmad Tarmizi Mohamed Amran, mengusahakan SG Streetsmart di Bedok, sebuah minimart yang turut menjadi wadah bagi mereka membantu keluarga berpendapatan rendah melalui kerjasama dengan Project Hills.
Encik Muhammad Haiqal Mohd Aris (berlutut) dan sahabatnya, Encik Ahmad Tarmizi Mohamed Amran, mengusahakan SG Streetsmart di Bedok, sebuah minimart yang turut menjadi wadah bagi mereka membantu keluarga berpendapatan rendah melalui kerjasama dengan Project Hills. - Foto BH oleh FANDY RAZAK

Sejak awal lagi, keuntungan bukan matlamat utama mereka dalam mengendalikan SG Street Smart, kata Encik Tarmizi, yang menambah bahawa prinsip itu menjadi antara asas perniagaan mereka dan mencerminkan keserasian yang terjalin sebagai rakan niaga.

Meskipun terdapat perbezaan dalam cara mereka berdua bekerja, Encik Haiqal menyifatkan hubungannya dengan rakan niaga beliau sebagai “sangat serasi”.

“Sejujurnya, saya tidak pernah terfikir untuk berniaga dengan Mizi. Namun, apabila kami mula berbual di penjara, kami banyak berkongsi pengalaman dan pandangan masing-masing. Semuanya berlaku secara semula jadi.

“Pertemuan ini bukan sahaja membuka peluang untuk dia, tetapi juga untuk saya. Macam ada jodoh dalam persahabatan dan perniagaan ini. Alhamdulillah, banyak perkara berjalan lancar dan itulah yang membawa kami ke tahap ini,” kata Encik Haiqal sambil tertawa.

Melangkah ke hadapan, mereka berharap dapat meluaskan kerjasama itu dengan lebih banyak inisiatif masyarakat, agensi khidmat sosial dan institusi agama lain.

“Kami tidak boleh mengubah apa yang sudah berlaku, tetapi kami boleh menentukan apa yang mahu kami lakukan dengan kehidupan yang ada sekarang.

“Pada tahap kehidupan kami sekarang, kami mahu melakukan sesuatu yang bermakna, membanggakan keluarga dan mudah-mudahan, berguna kepada masyarakat di sekeliling kami,” tambah Encik Haiqal.