Siapa sangka sebuah kedai runcit yang dibangunkan untuk membina semula kehidupan selepas bebas dari penjara turut membantu keluarga lain bangkit daripada kesempitan.

Itulah usaha Encik Muhammad Haiqal Mohd Aris, dan Encik Ahmad Tarmizi Mohamed Amran, yang mengasaskan SG Streetsmart, sebuah kedai runcit di Blok 621, Bedok Reservoir Road.

Malah, selepas meninggalkan kehidupan di sebalik jeriji besi, mereka berdua bertekad membina semula kehidupan.

Kededua sahabat yang pernah menjalani hukuman penjara atas kesalahan berkaitan dadah itu telah mengumpulkan sekitar $50,000.

Ia merupakan hasil daripada syarikat pengangkutan dan penghantaran, Sumoveo Pte Ltd, yang mereka tubuhkan bersama.

Dana tersebut kemudian digunakan sebagai modal untuk membuka kedai runcit berkenaan pada Februari 2026.

Pada ketika itu, mereka baru sahaja dibebaskan dari penjara – Encik Tarmizi dibebaskan pada Februari 2025, manakala Encik Haiqal pada Mei tahun sama.

Selepas dibebaskan, Encik Tarmizi menghubungi keluarga Encik Haiqal menggunakan nombor yang telah disimpan menerusi surat elektronik atau e-letter yang dihantar semasa di penjara.

“Bila Haiqal keluar, kami berhubung semula dan dari situ kami mula bekerjasama,” kata Encik Tarmizi, 40 tahun.

Encik Haiqal, 36 tahun, yang ibu bapanya kini uzur, pula berkata:

“Mungkin disebabkan umur, saya sedar saya tak ingin masuk dalam lagi. Setiap kali keluarga datang melawat, mereka terpaksa menempuh perjalanan semata-mata untuk berjumpa saya. Itu pun sekejap sahaja, selama 20 minit.

“Melihat mereka berulang kali melalui kesusahan itu kerana kesilapan saya sendiri membuatkan saya sedar bahawa mereka turut menanggung akibat daripada perbuatan saya.

“Saya tidak mahu keluarga saya melalui semua itu sekali lagi.”

Siapa sangka, langkah membina hidup baharu itu akhirnya bertukar menjadi wadah buat mereka membantu orang lain mengubah nasib dengan memperbaiki kehidupan menerusi usaha kemasyarakatan di kedai tersebut.

Pada mulanya, minuman percuma disediakan kepada penduduk sebagai satu bentuk amal jariah setiap Jumaat.

Usaha itu menjadikan wajah mereka dikenali dalam kalangan penduduk Bedok North.

Ketika Berita Harian (BH) mengunjungi kedai berkenaan, kelihatan pelajar dan warga emas melambai mesra ke arah mereka serta menyapa Encik Tarmizi dan Encik Haiqal.

Namun, selepas beberapa bulan menjalankan usaha tersebut, kededua mereka berasakan ia masih belum memadai.

Didorong rasa prihatin, mereka membuat keputusan menyalurkan hampir 40 peratus hasil pendapatan kedai runcit itu bagi membiayai barangan keperluan keluarga berpendapatan rendah.

Ini dilakukan menerusi kerjasama dengan inisiatif badan sukarela, Project Hills.

Menerusi program pengagihan barangan dapur bulanan itu, keluarga yang dikenal pasti oleh Project Hills boleh mendapatkan barangan bernilai sehingga $300 di SG Streetsmart berdasarkan keperluan masing-masing.

Setiap bulan, hampir 40 peratus hasil pendapatan disalurkan untuk membantu keluarga berpendapatan rendah mendapatkan barangan keperluan mereka dengan inisiatif badan sukarela, Project Hills.
Setiap bulan, hampir 40 peratus hasil pendapatan disalurkan untuk membantu keluarga berpendapatan rendah mendapatkan barangan keperluan mereka dengan inisiatif badan sukarela, Project Hills. - Foto AHMAD TARMIZI MOHAMED AMRAN

Pengasas bersama Project Hills yang juga pekerja sosial, Cik Zulayqha Zulkifli, menerima pelawaan mereka untuk bekerjasama.

Beliau melihat usaha itu sebagai peluang bagi pasangan sahabat tersebut memulakan hidup baharu.

Ini kerana Cik Zulayqha, yang juga penerima Anugerah Jauhari Harapan Berita Harian 2024, cukup sedar proses kembali ke pangkuan masyarakat selepas menjalani hukuman bukan sesuatu yang mudah.

“Matlamat utama kerjasama ini tentunya untuk memberi bantuan sementara kepada golongan yang memerlukan.

“Namun, saya juga menganggap ini sebagai satu peluang bagi Tarmizi dan Haiqal untuk memulakan lembaran baharu dalam kehidupan mereka,” kata Cik Zulayqha.

“Saya tahu betapa sukarnya proses untuk kembali menyesuaikan diri dalam masyarakat, meskipun seseorang itu sudah meninggalkan kehidupan lamanya dan mencapai beberapa tahap dalam proses pemulihan.

“Pengalaman kami bekerjasama dengan mereka setakat ini amat positif. Mereka menunjukkan kesungguhan dan semangat yang tinggi untuk berubah,” ujarnya.

Encik Muhammad Haiqal Mohd Aris (berlutut), dan sahabatnya, Encik Ahmad Tarmizi Mohamed Amran, mengusahakan SG Streetsmart di Bedok, sebuah kedai runcit yang turut menjadi wadah bagi mereka membantu keluarga berpendapatan rendah melalui kerjasama dengan Project Hills.
Encik Muhammad Haiqal Mohd Aris (berlutut), dan sahabatnya, Encik Ahmad Tarmizi Mohamed Amran, mengusahakan SG Streetsmart di Bedok, sebuah kedai runcit yang turut menjadi wadah bagi mereka membantu keluarga berpendapatan rendah melalui kerjasama dengan Project Hills. - Foto BH oleh FANDY RAZAK

Sejak awal lagi, keuntungan bukan matlamat utama SG Streetsmart.

Menurut Encik Tarmizi, prinsip tersebut menjadi antara teras perniagaan sekali gus mencerminkan keserasian erat mereka sebagai rakan niaga.

Meskipun terdapat perbezaan dalam cara mereka berdua bekerja, Encik Haiqal menyifatkan hubungannya dengan rakan niaga beliau sebagai “sangat serasi”.

“Sejujurnya, saya tidak pernah terfikir untuk berniaga dengan Mizi.

“Namun, apabila kami mula berbual di penjara, kami banyak berkongsi pengalaman dan pandangan masing-masing. Semuanya berlaku secara semula jadi.

“Pertemuan ini bukan sahaja membuka peluang untuk dia, tetapi juga untuk saya. Macam ada jodoh dalam persahabatan dan perniagaan ini.

“Alhamdulillah, banyak perkara berjalan lancar dan itulah yang membawa kami ke tahap ini,” kata Encik Haiqal sambil tertawa.

Melangkah ke hadapan, mereka berharap dapat memperluas kerjasama dengan lebih banyak agensi khidmat sosial, institusi keagamaan, serta penggerak inisiatif kemasyarakatan yang lain.

“Kami tidak boleh mengubah apa yang sudah berlaku, tetapi kami boleh menentukan apa yang kami mahu lakukan dengan kehidupan yang ada sekarang.

“Pada tahap kehidupan kami sekarang, kami mahu melakukan sesuatu yang bermakna, membanggakan keluarga dan mudah-mudahan, berguna kepada masyarakat di sekeliling kami,” tambah Encik Haiqal.

“

“Kami tidak boleh mengubah apa yang sudah berlaku, tetapi kami boleh menentukan apa yang kami mahu lakukan dengan kehidupan yang ada sekarang.”
Encik Muhammad Haiqal Mohd Aris, pemilik bersama SG Streetsmart.