Topik diikuti
Pergi ke BHkuBukan sekadar cipta ‘konten’, OMGxBH mahu jadi suara generasi muda
Dengan sentuhan kreatif Hafidz Rahman dan barisan personaliti baharu, platform kandungan belia BH, OMGxBH, tampil lebih spontan, dekat dengan realiti hidup belia
Bukan sekadar cipta ‘konten’, OMGxBH mahu jadi suara generasi muda
Nak beli rumah atau melancong dahulu? Gaji lebih tinggi atau kerja yang lebih fleksibel? Bagaimana pula hendak bertahan dengan bajet terhad dalam sekitaran kos sara hidup tinggi?
Soalan-soalan sebegini mungkin kedengaran seperti perbualan biasa antara rakan, tetapi itulah antara isu yang bakal menjadi tumpuan OMGxBH dalam usaha terbaharunya mendekati golongan muda.
Platform kandungan belia Berita Harian (BH) itu kini menjalani pembaharuan dengan pendekatan lebih segar, spontan dan interaktif – bukan sekadar mengejar trend atau menghasilkan video hiburan untuk meraih tontonan.
Sebaliknya, OMGxBH mahu menjadi ruang untuk anak muda membincangkan perkara yang mempengaruhi kehidupan mereka – daripada pekerjaan dan kewangan kepada identiti, budaya serta cabaran melangkah ke alam dewasa.
Mengemudi arah kreatif baharu ini ialah Encik Hafidz Rahman, 38 tahun, selaku Pengarah Kreatif OMGxBH, yang akan membantu membentuk identiti kandungan, membimbing bakat dan memperkenalkan pendekatan penceritaan yang lebih dekat dengan cita rasa belia.
Menurut Encik Hafidz, seorang personaliti media sosial dan televisyen yang berpengalaman menghasilkan kandungan untuk audiens muda, OMGxBH perlu memahami cara golongan tersebut berkomunikasi agar penyampaiannya tidak kelihatan ‘terlalu mencuba’ atau janggal.
Beliau percaya kandungan perlu pantas menarik perhatian, ringkas dan padat dengan maklumat, memandangkan perhatian pengguna media sosial semakin singkat.
“Jika kita mahu anak muda lebih peka dengan isu semasa, kita harus memberikan maklumat tersebut mengikut cita rasa mereka,” katanya.
Hafidz turut menekankan pendekatan entertain before educate atau menghibur kemudian mendidik – iaitu menarik perhatian melalui hiburan sebelum menyampaikan pengetahuan – tanpa mengetepikan peranan BH sebagai sumber berita yang sahih dan dipercayai.
Turut menjadi wajah utama OMGxBH ialah tiga wartawan media sosial – Cik Shaza Daliela, 26 tahun; Cik Sofia Daud, 24 tahun; dan Cik Aishah Effendy, 23 tahun.
Ketiga-tiganya akan membawa personaliti dan gaya penyampaian tersendiri, sambil membina hubungan lebih akrab dengan penonton menerusi kandungan yang bersahaja dan tidak terlalu mengikut skrip.
Encik Hafidz berharap dapat membimbing mereka supaya lebih yakin di hadapan kamera, berani bereksperimen dan membina identiti kreatif masing-masing.
Antara rancangan yang akan diperkukuh ialah Cakap Sini, Habis Sini, yang membawa mikrofon terus kepada anak muda untuk mendapatkan pandangan mereka tentang isu semasa dan kehidupan seharian.
Menerusi Apa-Apa Je, isu rumit pula akan dihurai dalam gaya santai, termasuk melalui lakonan pendek, wawancara spontan dan perbualan ketika melakukan aktiviti harian.
Sementara itu, Cuba Try akan membawa penonton mengikuti pengalaman hos mencuba sesuatu yang baharu termasuk cabaran berkaitan pekerjaan dan kos sara hidup.
Pembaharuan ini menyusuli sesi perbincangan kumpulan fokus (FGD) BH yang mendapati belia mahukan kandungan lebih tulen, berguna dan tidak dibuat-buat.
Namun, OMGxBH tidak mahu hubungan dengan pengikutnya terhenti selepas mereka menekan butang like atau berkongsi video.
Antara rancangan yang sedang diusahakan ialah membangunkan komuniti Telegram, yang membolehkan pengikut memberi idea, mengundi topik dan berpeluang menyertai penghasilan video.
OMGxBH juga merancang turun ke kampus politeknik, Institut Pendidikan Teknikal (ITE) dan universiti, selain mengadakan pertemuan santai serta kegiatan bersama kumpulan belia.
Bagi Hafidz, kejayaan sebenar bukan sekadar diukur melalui jumlah tontonan.
“Saya mahu content creators OMGxBH untuk mencipta identiti mereka tersendiri, yang lebih besar dari platform itu sendiri. Saya juga berharap bahawa mereka lebih yakin dan kreatif untuk mencipta konten sendiri dan memberikan personaliti yang lebih terserlah di hadapan kamera, sambil menyedari tanggungajawab lebih besar BH untuk mendidik dan menghibur.
“Kejayaan OMGxBH bagi saya ialah jika anak muda di luar sana menonton kami sebagai wadah yang pertama untuk mengenali isu semasa, untuk memperkasa bahasa Melayu mereka dan melihat OMGxBH bukan sahaja sebagai akaun media sosial biasa tetapi yang berkualiti dan relevan”.